Pakatan Rakyat Selangor mahu menjadikan 13 Mei ini sebagai "tarikh
pepaduan" pelbagai kaum dan agama dengan menganjurkan perhimpunan
menuntut pemansuhan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau.
Ahli
parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, sebelum ini tarikh tersebut
diperingati sebagai "hari perkauman dan perpecahan" rakyat di negara
ini.
"Sehubungan
itu kita nak ingatkan (tarikh itu) sebagai hari perpaduan dan kesatuan
rakyat iaitu kita menuntut supaya tol tersebut dimansuhkan," tambahnya.
Bercakap
dalam sidang media di Shah Alam pagi ini, Khalid berkata pemansuhan tol
itu merupakan janji Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum 2008 dan
pihaknya bertujuan memberikan tekanan kepada Pusat bagi memansuhkannnya.
Katanya,
sudah sampai masanya kerajaan menamatkan konsesi syarikat yang terlibat
kerana mendakwanya "tol yang terlama dan pulangan pelaburan yang cukup
sedikit telah dinikmati oleh syarikat konsesi berkenaan".
Menurut
Khalid, pihaknya mahu membuat perhimpunan aman dan tidak bertujuan
untuk menganggu lalu lintas di kedua-dua tol tersebut.
Ia akan
berlangsung selama sejam bermula jam 2 petang di kedua-dua tol tersebut
yang dijangka dihadiri kira-kira dua hingga tiga ribu orang.
Dewan Negeri lulus mansuhkan tol
Katanya,
peserta yang hadir dikehendaki berhimpun di sepanjang jalan dari
kedua-dua arah dan meletakkan kereta di kawasan Rehat dan Rawat yang
berdekatan bagi mengelakkan kesesakan dan mengganggu lalulintas.
Beliau juga berharap pihak keselamatan dapat mengawal keadaan di situ sepanjang perhimpunan berlangsung.
Katanya,
sejak mula tol tersebut dibina pada lewat tahun 1980-an, beliau antara
pemimpin yang ditahan kerana membantah pembinaan tol tersebut.
Sementara
itu, keputusan untuk memansuhkan tol tersebut telah dibincangkan dan
dibahaskan dalam sidang DUN Selangor pada 27 Mac lalu.
Bahkan, sebulat suara meluluskan cadangan pemansuhan tol tersebut.
"Rasionalnya,
kita mahu kerajaan Pusat mengkaji konsesi tersebut, sebab ada klausa
membenarkan kerajaan membeli balik atas kepentingan nasional.
"Kita
mahu ia dikaji, tamat pada 2023, apakah ia telah menguntungkan pihak
yang membinanya... Kerajaan wajar beli balik dan mansuhkan," kata Exco
Selangor Rodziah Ismail.
Katanya, berdasarkan statistik sebanyak
30,000 kenderaan menggunakan tol tersebut, tidak ada sebab ia tidak
menguntungkan pihak yang membinanya. -M'kini