Ikuti Blog ini

Tarik balik RUU p'raya adalah kemenangan rakyat


KUALA LUMPUR, 10 Mei: Tindakan kerajaan menarik balik Rang Undang-Undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 adalah kemenangan rakyat yang menyemarakkan perhimpunan Bersih 3.0, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Ini adalah kemenangan rakyat. Tindakan kerajaan menarik balik  rang undang-undang itu adalah hasil kejayaan langsung rakyat yang menjadikan perhimpunan Bersih 3.0 benar-benar satu perhimpunan raksaksa.

"Umno dan Barisan Nasional (BN) terkejut sungguh dengan ratusan ribu rakyat yang keluar duduk dan bantah," katanya.

Dengan pelbagai tindakan ganas yang dilakukannya ke atas perhimpunan-perhimpunan aman rakyat sebelum ini, kerajaan Umno BN sama sekali tidak menyangka Bersih 3.0 menjadi salah satu perhimpunan yang terbesar dalam sejarah, kata Mahfuz.

"Umno BN tidak sangka rakyat sudah melihat dengan jelas tipu daya mereka.


"Mereka tersentak dengan semangat dan tuntutan rakyat itu, mereka serba ketakutan kerana selepas ini, sebarang bentuk penipuan dalam pilihan raya akan disanggah oleh rakyat dan mereka sedar bahawa hayat pemerintahan mereka semakin hampir ke penghujung," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pokok Sena itu memperingatkan rakyat bahawa langkah penarikan balik rang undang-undang tersebut hanyalah sandiwara dan taktik Umno BN untuk memadam aspirasi rakyat yang terjelma dalam tuntutan Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.

"Umno BN sama sekali tidak akan bersetuju dengan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

"Mereka tidak berani sama sekali menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat sejauh mana bersihnya daftar pemilih.

"Mereka tidak berani sama sekali menubuhkan suruhanjaya diraja bagi mengkaji tuntutan-tuntutan Bersih," kata Mahfuz.

Beliau juga yakin kerajaan Umno BN juga tidak berani sama sekali meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah pengawasan Parlimen melalui satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk tujuan itu.

"Kerajaan Umno BN tidak berani sama sekali meminta Pengerusi dan Timbalan Pengurusi SPR meletak jawatan setelah sikap tidak memihak mereka dipertikaikan dan semakin tidak dipercayai," katanya.

Bagi Umno BN, kata beliau lagi, SPR adalah kuda tunggangan mereka.

Meskipun begitu, jika kerajaan terus berkeras dengan keengganan untuk memastikan pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil, Mahfuz yakin rakyat akan bangkit sendiri dan berhimpun beramai-ramai dalam perhimpunan-perhimpunan raksaksa tanpa diinisiatifkan oleh sesiapa pun.

"Selepas ini, saya yakin rakyat akan bangkit sendiri tanpa perlu diinisiatifkan oleh sesiapa pun dengan kebangkitan yang jauh lebih besar dari Bersih 1.0, Bersih 2.0 dan Bersih 3.0," kata beliau dengan penuh keyakinan.

Rakyat, katanya, semakin sedar bahawa "hanya suara rakyat suara keramat".

"Hanya tuntutan dan kebangkitan yang lebih besar akan dapat memastikan pilihan raya yang adil dan bersih," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz semalam mengumumkan kerajaan akan menarik balik cadangan pindaan kepada rang undang-undang tersebut berikutan bantahan dari pelbagai pihak terhadap rang undang-undang itu. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .