Tiga musim tampaknya,
kita membiarkan sahaja lalang-lalang meliar dan tembok-tembok merkah,
genting-genting retak dan parit-parit turut pecah,
kita membiarkan khalayak sukan menderita.
Di Tengah-tengah kemegahan Negara yang sangat marak,
kita seolah lebih bersedia diasuh menjadi perosak.
Tanpa kita membahagiakan mahligai sukan beransur menjadi kawasan yang amat hantuan,
kita seolah tidak pun terasa apa lagi malu malah kita tak langsung rasa terganggu,
kita sedia rela melihat mahligai sukan terus cacat rosak serta sakit tanpa rawatan.
Kita memang mampu,
tapi oleh lagak bermegah tampaknya kita lebih selesa jadi pemusnah,
kerana dalam dendam hasrat yang amat hangat,
kita lebih bang menjadi kuasawan lebih bersiasah,
kita tidak tulus bagi memerintah negeri,
mungkin amat ramai kita dibakar api dengki.
Dan kita sengaja biarkan gedung riadah retak,
malah terus mereput ditengah minyak yang mewah,
kita terus menggerunkan warga penyu yang pilu,
tidak rela bertelur tidak mendamai disitu.
Kita memang mula kurang mampu lagi mencipta resahnya,
kita tak ternampak segak memerintah!
Kita patut malu kepada penyu samudera,
juga wajar segan kepada ikan dikuala,
kita telah lama melukakan perut buana,
dengan keangkuhan peribadi kurang bermakna.
Kini,
kita mula jadi bangsa yang saling berhasad,
teramat sedikit kita cuba menurut hajat.
Kita dengan pilu kini mengenangi pondok sukan,
yang terhindar tersingkir dan terbiar penuh segan.
Kerana di tengah kekayaan minyak Negara,
anehnya kita lebih pintar dan santai memusnah,
kita tak membangun semula mahligai riadah sebab….
sesame saudara kita massih bertelagah!
*** Dideklamasikan oleh penulisnya SN Dato’ A. Samad Said Dihadapan Rutuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Bersama Program ‘Himpun dan Ingat’ Jumaat 8 Jun 2012.