Mula-mula lagi saya telah mengsyaki sesuatu yang tidak baik
kepada bekas Ketua Polis Negara, Musa Hasan bila dia secara tiba-tiba
menunjukkan minat kepada Pakatan Rakyat dan dalam masa sama mengkritik
bekas pasukannya.
Asas kesangsian saya mudah, Musa ialah polis, polis merupakan peribadi
yang tidak boleh dipercayai kerana mereka sangat menghormati pasukan
mereka. Setiap dari mereka akan bersumpah taat setia dan memegang piagam
perkhidmatan. Piagam itu mereka akan genggam hatta hingga ke saat akhir
hayatnya. Ada orang kata kalau dia polis jangan dipercayai ketegasannya
dalam jawatan baik dia ayah, abang, adik, isteri atau suami kita.
Saya pernah menonton sebuah filem Barat mengenai ketinggian peribadi
seorang tentera. Tentera ini sangat menghormati kepada ikrar dan sumpah
setia perkhidmatannya. Dia sangat menghormati kepada ketua dan sedia
berkorban untuk negara atas arahan bosnya. Kerana semangat tentera itu
sudah 'menjelirat' ke dalam darahnya, hingga ke saat beliau hendak
menghebuskan nafas terakhirnya dia masih angkat tangan, (tabik) kepada
ketuanya yang menziarahi dia saat di sakaratumaut itu.
Nah.. begitu juga dengan polis, apa lagi orang
seperti Musa Hasan, bekas IGP. Orang yang bertaraf sepertinya tidak
mungkin akan terbalik ketaatanya kepada kerajaannya dengan begitu mudah
kalau tanpa ada sebab musabab besar. Apa lagi kenaikannya menjawat
jawatan itu dengan melangkau beberapa orang pegawai senior lain lagilah
dia perlu berdisiplin. Dalam kata lain kenaikan Musa menjadi IGP kerana
ada sebab bersebab tentulah dia berterima kasih banyak kepada
'rekmendor'nya.
Jadi apabila dia menunjukkan angin kepada Pakatan Rakyat menyebabkan
saya berburuk sangka mengira ada sebab bersebab dan ada undang di
sebalik batu. Saya mengambil pedoman bidalan orang tua-tua; tempuan
tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada. Justeru apabila
Musa menunjukkan baik hati dan buang tabiat ingin berbudi dengan Pakatan
Rakyat tertentu ia ada motif tersirat.
Lantaran itu sebaik saya mengetahui dia sedang merisik untuk menyertai
PAS, saya terus menembaknya awal-awal lagi. Saya memberi ingatan kepada
PAS agar tidak mudah terpesona dan tertawan dengan perubahan fiil
perangai Musa Hasan. Gara-gara itu menyebabkan Musa terpaksa menafikan
dan PAS juga terpaksa membuat penelitian semula terhadap sikap ganjil
Musa.
Wahasilnya dia tidak jadi mengisi borang PAS. Terima kasih kepada tokoh
veteran Umno yang memecahkan maklumat ini kepada saya. Mungkin kalau
maklumat ini tidak terpecah awal boleh jadi Musa kini sudah pun berada
dalam PAS, dan telah pun hadir ke muktamar PAS di Kota Bharu yang lalu.
Apabila beliau gagal untuk menyusup di dalam PAS dan memecah belah
kepaduan PAS dengan parti Pakatan Rakyat khasnya PKR, beliau membuat
tektik dan strategi lain. Musa memang seorang hebat dan tidak tahu malu
muka. Seorang tali barut yang bagus. Bayaran atau pun benefit yang bakal
diperolehinya kalau misinya berjaya mungkin dapat membayar segala malu
aid dan maruahnnya yang tergadai kerana aksi itu.
Selepas gagak mengetuk pintu PAS dia berjinak-jinak pula dengan Anwar
Ibrahim. Langkah pertama dia menarik balik saman ke atas Anwar Ibrahim
berhubung dakwaan Anwar di dalam satu laporan polis menuduh dia terlibat
dalam menyembunyikan maklumat bersama Ghani Petail. Penarikan balikan
saman itu mengejutkan bukan saja Anwar tetapi orang ramai juga. Apa lagi
ianya bukan atas kehendak Anwar.
Semua orang naik bingung dan mula merasakan Musa seorang yang baik dan
lebih diharapkan dia akan membantu perjuangan Anwar kononnya atas rasa
insaf kerana menyusahkan Anwar sewaktu era reformasi dulu. Mereka yang
berhati lembut mulai merasa lunak dengan Musa dan suka sangat kalau dia
berbalik hati memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat. Kehadiran Musa
itu akan disambut dengan pulut kuning dan ayam panggang.
Keberanian diambil oleh bekas Pengarah Siasatan Jenayah, Fauzi Shaari
dijadikan ukuran bagaimana hati nurani Musa terbuka dan menginsafi apa
yang berlaku. Begitulah selalunya rakyat bersangkat baik kepada penjawat
awam, walaupun rekod penjawat awam itu cemar dan buruk dan menyakitikan
hati mereka sewaktu memegang kuasa.
Sebenarnya beberapa bulan sebelum Musa cuba menjinak diri dengan PAS
sudah ditaburkan propoganda kononnya Musa seorang yang kuat
bersembahyang. Nama ayahnya Hassan Azhaari digunakan untuk mernunjukkan
akan ketinggian budi dan akhlak bekas IGP ini. Saya sudah hairan kenapa
nama Musa tiba-tiba dijaja dengan sebegitu rupa. Belum pernah selama
beliau berkhidmat di dalam pasukan polis nama baik dan maruah ayahnya
ditimbulkan bersama namanya. Rupa-rupanya ada muslihat di sebaliknya.
Seperti kata tadi selepas gagal menjinakkan PAS dia cuba menjinakkan
Anwar pula. Anwar juga mulanya sudah mulai termakan dengan perangkap
Musa dan mulai hendak jinak dengan Musa Hasan. Begitulah Anwar seorang
yang tidak tahu berdendam dan pemafaat serta redha atas takdir yang
berlaku mudah bersangka baik. Dia tidak tahu implikasi di sebalik
bersangka baik sebab itu dia selalu kena main dalam manis oleh
konspirator yang hendak menjatuh dan memusnahkan kerjaya politiknya.
Ketika saya berjumpa dengannya di mahkamah, dengan bangga Anwar
bercerita kepada saya yang Musa telah berubah hati dan bersedia membantu
Pakatan Rakyat. Kononnya Musa akan mendedah berberapa tembelang polis
dan kerajaan yang masih menjadi msiteri sebelum ini. Cara Anwar
bercerita hari itu beliau yakin sangat dengan madah berhelah Musa itu.
"You tahu Musa Hassan pun telah mula berubah," begitulah Anwar
membuka cerita. Saya tahu dia mahu menarik perhatian saya. Saat itu kami
kebetulan sedang minum di kantin kompleks mahkamah selepas rihat
pendengaran bicara satu kesnya. Meja kami berdekatan dan dia datang
berdiri di meja kami.
"Dia dah tarik saman ke atas saya," sambungnya lagi dengan wajah ceria.
Saya tidak memberi respon pantas dan hanya mendengar saja.
Entah macam mana hati saya mendidih dengan tiba-tiba apabila mendengar
nama Musa Hasan yang terus disebut-sebutnya itu lantas bekata; "saya
ingat Pak Sheikh jangan percayakan Musa, dia ada udang di sebaoik batu.
Dia nak kenakan Pak Sheikh saja," kata saya. Anwar tercenggang dan
mengenyitkan kening macam Ziana Zain seakan tidak percaya dengan apa
yang saya katakan.
"Jangan mudah percaya Pak Sheikh, dia ada motif," tekan saya lagi dengan
lebih tegas. Adik Anwar, Rosli yang berdiri di sampng kami terus
menyampuk; "aku dah kata dah...," Rosli bersetuju dengan pandangan saya
dan dia terus meninggalkan saya bercacangan dengan Anwar. Mungkin Rosli
berbulu dengan sikap dan perangai abangnya yang mudah kesian dan
percayakan orang itu.
"Tetapi... ok la...," Anwar sambung lagi sekaan kurang senang dan cuba
menyenangkan saya. "Itu...pun bersama kita," tingkah lagi Anwar sambil
memberi isyarat kepada bekas Ketua Pendakwa yang mengendalikan kes liwat
II nya dulu dan kini telah bertindak membelanya pula. Anwar mengambil
contoh pendakwa itu terhadap apa yang berlaku ke atas Musa Hasan.
Bila saya menunjukkan kejengkilan kepada Musa, Anwar jadi serba salah
hari itu untuk menceritakan perubahan Musa. Dia tidak senang dengan
gelagat saya. Hari itu juga dia menyebut, Musa ada hendak berjumpa
dengannya. "Dia nak jumpa saya, tetapi saya suruh jumpa orang lain
dululah..." ceritanya menyebabkan saya sekali lagi menegaskan; "lebih
baik you jangan layan, bahaya."
Saya tidak tahu apakah Anwar jumpa Musa atau tidak. Tetapi dari makluman
dalaman saya dapat tahu Anwar tidak berjumpa dengan Musa. Musa terus
juga hasratnya hendak jumpa dengan Anwar. Dia meminta bantuan bekas
seorang pegawai polis tetapi Anwar tetap tidak mahu berjumpa. Mungkin
Anwar menemui petanda baru bahawa tujuan Musa berbaik dengannya itu
adalah tektik untuk memecahkan hubungannya dengan rakan dalam Pakatan
dan membuat onar dalam PKR.
Dan, Musa Hasan ternyata frust dengan dua kegagalan itu;
menyertai PAS dan berbaik dengan Anwar. Rasa kecewa Musa ini jelas
sekali apabila beliau telah meralatkan semula kritikan beliau ke atas
polis yang agak lantang sebelum ini dengan mengatakan jangan salah
anggap sikap vokalnya kepada polis. Sebelum ini, sewaktu hendak berbaik
dengan Anwar bukan main lagi dia mengkritik kepimpinan polis yang
kononnya berlaku penyalahgunakan kuasa.
Penjelamaan beliau dalam majlis Bicara Mahathir, di Karangkraf
beberapa minggu lalu pula menjelaskan siapa dia Musa sebenarnya.
Kehadiran itu menunjukkan keakraban dia dengan Mahathir dan masih
melaksanakan misi atas kehendak Mahathir? Dia masih belum berubah dan
apa yang cuba dilakukan sebelum ini adalah strategi dan sandiwara
semata-mata.
Terbaru tuduhan Musa kononnya Pakatan Rajkyat akan menghidupkan semula
akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Apa tujuan dan motifnya. Tuduhan
itu jelas berniat jahat ke atas Anwar Ibrahim. Dia mahu agar orang
Melayu marah kepada Anwar. Tuduhan itu menjelaskan betapa busuk pahitnya
hati Musa Hasan.
Dia ini sanggup melakukan saja untuk survivenya. Kalau dia tahu
asal usul dan perjuangan menentang ISA dia tidak akan buat tuduhan itu.
Dia tidak akan tergamak untuk bercakap bohong dan menyatakan sesuatu
yang semua tahu. Siapakah yang memperjuangkan untuk memansuhkan ISA.
Apakah Umno dan Mahathir atau pun Anwar dan Pakatan Rakyat?
'Debek' dan 'ngor' sangatlah sebagai bekas IGP tidak mengetahui sejarah
mengenai ISA dan perjuangan menentang akta berkenaan. Jadi sekali lagi
tindakan dan fitnah Musa itu menggambarkan rupa dirinya sebenar. Dalam
banyak hal saya nampak Musa sama mempunyai watak dan bentuk hati seperti
Mahathir. Suka melempar batu sembunyi tangan dan mengamalkan politik
kotor tanpa mengira masa dan ketika. Yang penting semua itu akan
memuaskan hatinya.
Bila mengenangkan kecelaruan Musa hari ini saya merasa bahagia kerana
apa yang saya bimbangi terhadapnya tidak sempat menjadi kenyataan. Musa
gagal untuk memecah belahkan PAS, Anwar dan Pakatan Rakyat dengan
menjadi tali barut atau pun musang berbulu ayam dalam mana-mana parti
Pakatan Rakyat. [wm.kl.1:19 pm 02/02/13] -MSO