Ikuti Blog ini

Pakatan urus Selangor cara terbaik

SHAH ALAM, 9 Mac: Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berjaya mengurus sumber kewangan negeri dengan berkesan malah menggunakan hasil itu pula untuk kesejahteraan rakyatnya.

Banyak kejayaan dicapai termasuk peningkatan jumlah pelaburan masuk sepanjang 2009 kepada RM6.76 bilion dan mengutip RM50 juta daripada hutang Talam Corporation sebanyak RM392 juta.

Pengumuman itu dibuat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam tadi ketika menyampaikan syarahan perdana sempena perayaan dua tahun kerajaan baharu Pakatan Rakyat memerintah negeri itu.

Turut berucap dalam majlis yang adiadakan di Stadium Malawati dekat sini adalah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Mohd Ali, Exco Teresa Kok, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Dun Selangor, Azmin Ali dan bekas timbalan menteri, Datuk Kalakau Untul yang menyertai PKR, baru-baru ini.

Tan Sri Khalid juga berkata, daripada hasil RM50 juta yang berjaya dikutip itu telah digunakan pula untuk membiayai program tabung mikro kredit bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Selangor.

“Jumlah hutang yang sebesar itu dilupa atau digelapkan tapi kita dapat cungkil,” tegasnya dengan mendapat sambutan ribuan orang ramai yang memenuhi ruang di stadium tertutup itu.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa berkaitan dengan proses mengadakan tabung itu dipengerusikan oleh Datuk Dr Hasan dengan dipantau oleh Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid sendiri.

Tabung bantuan kepada mereka yang berhak itu berkonsepkan kredit secara Islam yang dikenali sebagai al-Qardhul-Hasan, jelasnya lagi.

Menteri besar seterusnya berkata, sepanjang dua tahun PR memerintah Selangor, kerajaan berjaya memperkenalkan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kesemua tujuh pendekatannya mengembalikan hasil sumber negeri kepada rakyat.

Untuk rekod, ketujuh perkara itu meliputi pemberian 20 meter pertama air secara percuma, Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas), Mesra Usia Emas, sumbangan pelajar ke universiti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, Pusat Khidmat Krisis Sehenti dan Peningkatan Hasil Bahan Mineral dan Galian.

A Samad Said - “Kalau PPSMI tak mansuh, kita akan demo lagi”


Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menegaskan iltizamnya bahawa hal pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) menjelang 2012 itu hanya penangguhan dan bukan pemansuhan.

"Jadi, kalau tidak dimansuhkan juga, kita tak akan teragak-agak untuk melakukan demonstrasi sekali lagi," katanya sempena pelancaran buku esei Budayawan Bertindak untuk menyokong perjuangannya selama ini.

Bercakap di Muzium Shah Alam kelmarin, A Samad Said berkata, pihaknya merakamkan rasa terima kasih terhadap Pas dan Harakah yang banyak membantu dalam usaha menggerakkan seluruh masyarakat untuk berhimpun dalam kejadian setahun yang lalu.

"Tanpa Pas dan bantuan Harakah untuk menyebarkan maklumat berhubung PPSMI, nescaya perjuangan memansuhkan PPSMI tidak berlaku seperti yang kita lihat pada hari ini," tambah beliau lagi.

Pengarang novel Salina yang terkenal itu berkata, kehadiran beliau selama ini sebenarnya cuma mengisi kesusasteraan Melayu dan tidak lebih daripada itu.

"Saya bukan 'organization man', jadi mengapa seorang sasterawan negara yang tugas sebenarnya mengisi gerbang kesusasteraan, akhirnya telah turun ke jalan raya?" kata beliau membangkitkan soalan.

Ketika membangkitkan kenangan lalu, dalam peristiwa 7 Mac tahun lalu, beliau berkata, pihak polis pernah memujuk Hassan Ahmad bersurai, tapi hal itu ditangani rakannya itu dengan bijaksana sekali.

"Dalam keadaan polis meminta Hassan memujuk demonstran agar menyuraikan perhimpunan itu, beliau dengan warasnya telah memberitahu bahawa tugas pihak polis ialah untuk mengamankan perhimpunan itu.

"Tetapi, ada yang tersirat di situ yang tidak diluahkannya kepada pihak polis, iaitu tugas kamilah pada hari itu yang menggelorakan perhimpunan tersebut," kata beliau, lalu disambut ketawa hadirin.

Sementara itu, berucap dalam majlis yang sama, Pengerusi GMP, Datuk Hassan Ahmad dengan bergurau berkata, perhimpunan menyerahkan memorandum itu tidak sepatutnya diganggu oleh pihak polis.

"Mula-mula mereka beri permit perhimpunan, kemudian tarik balik, jadi kita tiada pilihan, apa yang kita nak beritahu kepada orang-ramai kalau mereka bertanya?

Lagi pun, ini sebenarnya demonstrasi, atau perhimpunan demonstrasi, tetapi ia macam suatu perarakan saja, ia seolah-olah macam perarakan untuk menyambut Maulud Nabi, salahkah?" kata beliau, disambut ketawa orang-ramai.

Majlis itu diakhiri dengan penyampaian hadiah daripada Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad kepada keluarga demonstran; Ismadei Sahnam bersama isterinya, Nur Asyikin Ahmad Saibi, empat anak mereka; Nur Isma Dalilah, Mohd Isma Danish, Nur Isma Dania, dan Mohd Isma Danial.

Keluarga Ismadei Sahnam adalah antara keluarga yang mana setiap anggotanya telah turun semuanya untuk menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI tersebut.

Perutusan Sempena Dua Tahun Pakatan Rakyat

Selama ini kita tidak berfikir untuk menyebar Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebar Islam sesama orang Islam. Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan Umno, bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam. Sebenarnya, perpaduan melalui Pakatan Rakyat telah membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.

Sebaliknya, PAS ada alasan dan sebab-musababnya kenapa menolak perpaduan dengan Umno. Antaranya,

1) Perjuangan Umno sebenarnya amat dhalalah (sesat sesesatnya), kerana menolak Islam dan mengasingkan politik dengan agama. Kesan menolak Islam itulah, banyak pihak tidak faham Islam, termasuk rakan kita yang bukan Islam.

2) Tindak tanduk Umno jelas mengkhianati perjuangan Islam, khususnya terhadap PAS. Berpandukan pengalaman lepas, PAS pernah membuat persetujuan masuk BN, maka ada yang menyokong dan menentang, sehingga ada kecelaruan dan munculnya golongan yang menentang kemasukan PAS dalam BN, seperti mana munculnya Bebas Bersatu sebagai serpihan PAS. Akibatnya lagi muncul pula Berjasa ketika PAS diambang kekalahan selepas diganyang Umno melalui peristiwa darurat 1977. Semuanya adalah nilai dan kesan pengorbanan besar PAS atas semata-mata ingin bersama Umno. Namun, pengorbanan itu tidak dihargai oleh Umno. Malah, PAS telah ditendang keluar. Ia sungguh perit bagi PAS untuk berbaik semula dengan Umno atau masuk balik BN.

3) Oleh sebab itu, PAS rela dan menyatakan komitmen tinggi bersama mengukuhkan perpaduan Pakatan Rakyat.

4) Begitu pula, semenjak pilihan raya umum 2008 lalu sampai ke hari ini, Umno menuduh PAS sebagai boneka DAP. Sedangkan apa yang berlaku di Pulau Pinang sebelum ini, Umno yang mendapat kuasa majoriti. Pun begitu, pemimpin parti Gerakan yang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Jelas, dalam keadaan itu, meletakkan kedudukan Umno sebagai parti yang menjadi kuda tunggangan (boneka) parti Gerakan. Di samping tidak kurang pula, ada sejumlah kerusi yang sepatutnya Umno bertanding (di kawasan majoriti Melayu), tetapi secara tidak beradab telah menyerahkan kepada pemimpin Gerakan, MCA dan MIC bertanding dengan alasan, kononnya ia simbol permuafakatan kuasa dalam BN.

5) Sekarang PAS dilihat berjaya bersama Pakatan Rakyat. Ia suatu perkembangan baik, memandangkan dulu PAS sendiri rela tidak berkawan dengan DAP, kerana ada pemimpinnya yang menyerang Islam. Sebaliknya sekarang, para pemimpin DAP termasuk Karpal Singh tidak lagi menyerang Islam. Malah berlaku perkembangan yang agak baik apabila sudah ada kalangan pemimpin Pakatan Rakyat (termasuk DAP) sudah mula pandai baca Al-Quran dan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah berani berikrar mengambil contoh gaya pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Sedangkan Gerakan, MCA dan MIC begitu lama (sejak merdeka) bersama Umno dalam BN, mereka itu tetap tidak faham-faham agama Islam.

Jadi, bersempena dengan dua tahun usia Pakatan Rakyat ini, sukacita kiranya para pemimpin dan pendukung perjuangan Pakatan Rakyat dapat menguatkan lagi tekad ke arah membina perpaduan dan persefahaman serta keyakinan agar terus utuh di atas prinsip keadilan untuk semua rakyat. Ini kerana prinsip tersebut adalah sejajar dengan ajaran Islam yang mengutamakan keadilan untuk semua kaum di negara.

Sehubungan dengan itu, demi mengukuhkan lagi Pakatan Rakyat dan bagi mempersiapkan diri mendepani banyak lagi cabaran mendatang, maka pihak PAS sewajarnya mengadakan satu seminar atas isu ”hak-hak bukan Islam di dalam pemerintahan berteraskan Islam” bersempena Muktamar PAS akan datang.

Ada baiknya seminar itu dapat menjadikan tulisan As-Syeikh Dr. Yusoff al-Qaradhawi, bertajuk ”Ghairul muslimin fil mujtama’ul-Islami” sebagai bahan rujukan penting untuk perbincangan. Mungkin dengan penganugerahan tokoh Maal Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia kepada as-Syeikh Dr. Yusoff adalah suatu titik persetujuan awal kita bagi menerima idea-idea baik daripada beliau untuk difahami dan diamalkan dalam kerajaan. Sekaligus ia boleh diajak bersama para pemimpin politik bukan Islam menyertai seminar tersebut.

Sebenarnya, melalui seminar sedemikian, PAS boleh melakukan pendekatan yang baik dalam menghubungkan kefahaman antara pemimpin Islam dengan bukan Islam. Di samping PAS tidak seharusnya lupa terhadap jasa dan pengorbanan para ulama’ dan pemimpin Islam terdahulu. Dan sesungguhnya, pemimpin PAS sekarang begitu terhutang budi kepada para ulama’ terdahulu, kerana berkat hasil usaha mereka jugalah, sekarang ’orang Kelantan’ sudah berada di mana-mana sahaja dalam pelbagai sektor pembangunan Negeri dan Negara.

Dan, apa yang telah dilaksanakan di Kelantan hari ini adalah suatu simbol kejayaan politik Pakatan Rakyat. Maka, PAS dan kerajaan Kelantan hari ini sudah membuat banyak penambahbaikan kepada kedudukan dan kefahaman Islam itu sendiri. Ia turut merangkumi kehendak politik rakyat pelbagai kaum. Semuga akan datang, akan lahir kalangan pemimpin Islam yang mewakili pelbagai kaum – kalangan orang Cina atau India – layak menyambung sejarah Islam. Ini kerana sejarah awal Islam membuktikan orang Cina dan India terlebih dahulu menerima Islam daripada orang Melayu. Ia bermakna, orang Cina dan India layak dan mustahak turut sama menyebarkan Islam di negara ini.

Apa yang utama, penglibatan semua kaum dalam politik dan dakwah akan menyuburkan lagi nikmat persaudaraan di sebalik Allah Subhanahu wa taala jadikan manusia itu pelbagai kaum. Firman-Nya,

Maksudnya, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).
[al-Hujuraat, 49: 13]

Semuga amalan dan kebajikan yang kita lakukan mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa taala. Panjang usia Pakatan Rakyat, panjanglah keadilan untuk semua rakyat.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Mursyidul Am PAS,
merangkap Menteri Besar Kelantan.

Ceramah Ulangtahun ke-2 PR Wilayah.





























PANGLIMA UMNO PENANG DOK NYOROK DLM TONG?




Sebagaimana yang telah dijadualkan 07 Mac 2010, di tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Perai tepat jam 8.45 malam majlis ‘DEBAT PERDANA RAKYAT 2010’ yang dianjurkan oleh Sekretariat Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat Pulau Pinang telahpun berlangsung tanpa kelibat seorang pun PANGLIMA UMNO PULAU PINANG yang dicabar turut sama ke majlis tersebut. Yang dicabar mereka iaitu Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Norman Zahalan, Rizal Faris Mohideen Yang DiPertua DPMM Pulau Pinang dan Jais Abdul Karim Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.
Ribuan hadirin yang telah hadir di sini memang tidak sabar untuk mendengar sendiri hujah-hujah dari PANGLIMA UMNO PULAU PINANG yang dinanti-nantikan bersama dengan fakta yang mengatakan bahawa Melayu dan Islam di Pulau Pinang ditindas dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Namun buah yang ditunggu tidak juga gugurnya. Kelibat ketiga-tiga batang hidung panglima tersebut tidak juga kelihatan. Khabarnya mereka bertiga lari sehingga kehujung dunia tanpa meninggalkan khabar entah dimana gerangannya. Ayam yang berkokok nyaring sebelum ini rupanya ditangan mereka penuh berbau tahi.

PEGUAM MINTA MAJISTRET TANGKAP SAKSI - JURUGAMBAR POLIS YANG BERBOHONG



PULAU PINANG, 8 Mac: Perbicaraan kes Haji Mohamad Sabu dan sembilan yang lain di Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang hari ini bertukar menjadi panas apabila peguambela KEPADA Mohamad Sabu meminta Tuan Majistret menangkap saksi pendakwa iaitu jurugambar polis.

Saksi pendakwa tersebut iaitu Korporal Khairi yang menjadi saksi pendakwa yang pertama memberikan keterangan bahawa pada hari kejadian (9/12/2007) beliau telah mengambil gambar di tempat kejadian iaitu di Tol Bukit Tambun dan beliau telah mengambil 32 keping gambar kesemuanya.

Saksi pendakwa yang ketiga Lans Korporal Kamarudin pula menyatakan beliau juga mengambil gambar tetapi kesemua gambar yang beliau ambil adalah gambar-gambar di IPK Seberang Serai Selatan.

Semasa menyoal balas Lans Korporal Kamaruddin, Hanipa bertanya adakah beliau bersetuju bahawa salah satu gambar yang beliau ambil di IPK itu (gambar orang bersembahyang) adalah juga gambar yang sama dengan gambar yang diambil oleh Korporal Khairi dan saksi itu menjawab beliau bersetuju.

Hanipa seterusnya bertanyakan saksi itu dengan soalan berikut :-

Hanipa: Apabila Korporal Khairi menyatakan gambar itu (gambar yang sama itu) diambil di Tol Bukit Tambun manakala kamu pula mengatakan gambar itu diambil di IPK bermakna salah seorang dari kamu berbohong di Mahkamah?

Kamarudin: Diam.

Hanipa: Saya katakan sekali lagi salah seorang dari kamu pasti telah berbohong ! Kamu atau Korporal Khairi yang berbohong?

Kamaruddin: Korporal Khairi yang berbohong!

Sebaik sahaja saksi itu menyatakan Korporal Khairi yang berbohong maka Hanipa meminta Mahkamah menggunakan kuasanya di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah untuk menangkap saksi pendakwa tersebut kerana saksi
tersebut telah membuat kesalahan di bawah seksyen 191 Kanun Keseksaan iaitu memberi keterangan palsu di Mahkamah.

Hanipa berhujah di bawah seksyen 30 Kanun Prosedur Jenayah seorang Majistret boleh menangkap atau mengarahkan seseorang untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan di hadapan Majistret.

Jelas saksi polis ini telah memberikan keterangan yang palsu dan oleh itu, hujah Hanipa, majistret boleh menangkap saksi tersebut.

Pihak Pendakwa meminta Mahkamah menangguhkan keputusan permohonan peguambela itu hanya setelah kesemua keterangan pendakwaan diberi.

Pendakwa seterusnya berhujah isu tersebut adalah melibatkan satu keeping gambar sahaja dan meminta Mahkamah tidak menangkap saksi tersebut.

Hanipa menjawab bahawa sama ada ianya melibatkan satu keping gambar atau banyak gambar ianya tidak penting. Apa yang penting adalah saksi pendakwa telah berbohong di Mahkamah.

Hanipa berhujah jika menggunakan hujah pendakwa, adakah pendakwa ingin menyatakan bahawa tidak salah kalau seorang mencuri atau rasuah RM1.00 tetapi hanya salah jika jumlahnya RM1000.00? RM1.00 atau RM1,000.00 ia adalah rasuah.

Oleh itu sama ada satu gambar atau banyak gambar jika saksi berbohong ia adalah berbohong dan ia adalah satu kesalahan jenayah.

Majistret kemudiannya menangguhkan keputusan permohonan peguambela pada esok pagi.

Mohamad Sabu dan sembilan yang lain didakwa di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan di atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Perbicaraan ditetapkan pada 8, 9 dan 10 Mac.

Mohamad Sabu dan 9 yang lain diwakili oleh Mohamed Hanipa Maidin, Aminuddin Zulkifli dan Yusnita Yusuf manakala pendakwa diwakili oleh Tuan Suhaimi dan Yusaini Amir.

Fatwa Yusuf al-Qaradhawi


Liwat II: VCD fatwa Yusuf al-Qaradhawi diedar

Satu cakera padat (CD) yang berupa rakaman sidang video ulama tersohor Prof Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung fatwa terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diedarkan kepada orang ramai malam tadi.

Dalam rakaman sidang video itu antara lain mengandungi mengenai fatwa ulama dunia Islam itu terhadap pertuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar yang juga ketua pembangkang.

Sidang video itu telah dirakamkan pada 14 Februari selama 33 minit itu di kediaman Dr Yusuf di Doha, Qatar termasuk terjemahan percakapan beliau yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa PAS Pusat, Abdul Ghani Shamsuddin.

Cakera padat yang bertajuk "Fatwa Mutakhir Dr Yusuf al-Qaradawi berhubung konspirasi II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim" telah diterbitkan oleh Women's Institute of Research Development dan Advancement (WIRDA) diedarkan secara percuma.

Anwar dalam ceramahnya malam tadi berkata Dr Yusuf - yang merupakan Ketua Ulama Islam Sedunia - menegaskan kepadanya bahawa isu yang dihadapinya itu berkaitan dengan hukum Islam dan akhlak.

Tambahnya, dalam sidang video itu tokoh Islam itu membawa hujah al-Quran dan Hadis serta alasan-alasan beliau mengeluarkan fatwa tersebut.

"Ini bukan soal PAS, atau PKR, tetapi ini soal akidah dan akhlak. Beliau berkata kepada saya, bahawa beliau bertanggungjawab di akhirat kelak (dengan fatwanya)," kata Anwar ketika berceramah di Kampung Baru di ibunegara malam tadi.

Ceramah itu disampaikan sempena sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat sejak memenangi pilihan raya umum pada 2008, termasuk menguasai sembilan daripada 10 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam ceramahnya, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata Dr Yusuf telah mengeluarkan fatwa bahawa sesiapa yang merancang dalam fitnah tersebut, sama ada secara langsung atau tidak langsung maka hukumnya adalah "munafik"

Anwar juga berkata fatwa Dr Yusuf juga menyebut, bahawa sesiapa yang membantu menyebarkan berita fitnah tersebut maka jatuh hukumnya sebagai fasik.

Kata Anwar, orang yang fasik tidak boleh diterima kesaksiannya dan kebenaran percakapannya sepanjang hidup.

"Dr Yusuf berkata kepada saya, tolong selamatkan mereka... Ini merupakan satu amanah, tolong sampaikan, dan sebarkan kepada semua," kata Anwar.

Sehubungan itu, Anwar meminta hadirin memperbanyakkan salinan CD tersebut dan menyebarkan kepada orang ramai.

"Ada orang kata saya ada kepentingan (dengan CD itu), (tapi) saya rasa tidak tergugat (dengan pertuduhan itu) kerana tidak ada kes, (dan) laporan doktor menyebelahi kita," katanya.

Dalam ceramahnya juga, Anwar juga mengulas mengenai ujian yang dihadapi oleh negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan mengambil iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW.

Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat harus bersedia untuk menghadapi sebarang ujian daripada Umno/BN demi menegakkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat di negara ini dapat tercapai.

"Mereka pukul dan aibkan kita. Kalau patah dayung, dengan jari ku dayung jua. Namun mengalah, tidak sesekali," katanya.

Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri, turut menyindir wakil rakyat PKR melompat parti kerana tidak sabar dengan ujian sehingga mereka membuat keputusan untuk keluar daripada parti.

"Dulu Anwar kata, kita akan dapat ke Putrajaya. Oleh kerana lambat, jadi mereka patah balik. Tengok satu juta bertahan, tengok duit dua juta, hati berdebar," katanya berseloroh diiringi gelak ketawa hadirin.

"Sokong (Pakatan Rakyat) kerana prinsip keadilan, bukannya untuk dapat wang".

Sebelum itu, berlaku kekecohan apabila polis cuba menghentikan perhimpunan sambutan ulang tahun kedua Pakatan Rakyat itu.

Bagaimanapun, ceramah itu diteruskan apabila penganjur meneruskannya di dalam bangunan kelab tersebut, yang dimiliki oleh kerajaan Selangor.

93% Berpendapat Yang Keluar Parti Perlu Juga Kosongkan Kerusi

Undian SMS Edisi 7 menyatakan 93% berpendapat mereka yang kelaur parti perlu juga mengosongkan kerusi mereka. Itulah suara rakyat.

Sementara itu, semalam, Pengerusi DAP Karpal Singh mencabar empat anggota Parlimen yang keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula 15 Mac ini.

"Saya mencabar mereka tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat kelak bagi membolehkan kerusi dalam Dewan Rakyat dikosongkan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya perkara 52 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang anggota Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat selama satu penggal maka jawatan ahli Parlimen akan gugur secara automatik.

Empat anggota Parlimen terbabit ialah Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Zulkifli Nordin (Kulim/Bandar Baru).

Karpal Singh berkata oleh kerana DAP merupakan anggota dalam pakatan pembangkang, beliau menyifatkan mereka sebagai satu keluarga dan berhak mencampuri urusan PKR.

"Jika mereka mengatakan pemilihan mereka berdasarkan pilihan rakyat, saya cabar mereka meletak jawatan dan satu pilihan raya (kecil) diadakan untuk membuktikan kemenangan mereka memang dipilih oleh rakyat dan mereka harus ingat, jangan bermegah kerana mereka menang pun atas tiket PKR," katanya.

Anggota Parlimen Bukit Gelugor yakin tiada lagi pemimpin PKR akan keluar parti kerana mendakwa "pengkhianat" dalam PKR sudah tiada.

"Saya yakin selepas ini tiada lagi yang akan keluar parti walaupun Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui PKR menghadapi masalah apabila beberapa wakil rakyat keluar parti itu namun saya lihat ia satu proses pembersihan parti," katanya.




(Video&Gambar)Polis halang himpunan sambutan Pakatan di KL


















KUALA LUMPUR — Polis menghentikan perhimpunan Pakatan Rakyat di Kelab Sultan Sulaiman di sini — tindakan malam kedua berturut-turut pihak berkuasa, yang diadakan sempena ulang tahun kedua kemenangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Naib Presiden PKR Azmin Ali dihalang oleh anggota polis rusuhan Unit Simpanan Persekutuan ketika sedang berucap ratusan hadirin.

Ketika polis mendekatinya, Azmin yang juga Ahli Parlimen dan ADUN memberitahu mereka yang hadir bahawa kelab itu adalah milik kerajaan negeri Selangor, bukannya “harta Umno.”

“Saya minta anggota polis menerima perjuangan Pakatan Rakyat,” kata beliau dengan disambut mereka yang hadir.

“Jika kita diberikan mandat untuk mengambil alih (kerajaan), kita akan menjaga kepentingan anggota polis,” kata beliau sebelum ucapannya dihentikan.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kemudian polis menghantar kenderaan perisai air untuk menyuraikan penyokong Pakatan Rakyat agar meninggalkan kelab itu.

Kemudian Ahli Parlimen Batu dan pengarah strategi PKR Tian Chua meminta hadirin masuk ke dalam dewan, untuk memenuhi syarat polis yang melarang mereka berhimpun di kawasan padang.

Malam tadi polis menghentikan majlis makan malam dianjurkan DAP di Kepong, tidak jauh dari lokasi malam ini.

Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008 Pakatan Rakyat menguasai lima negeri dan 82 kerusi Parlimen — buat julung kali, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat kehilangan Perak awal tahun lalu manakala tiga Ahli Parlimennya menjadi wakil rakyat Bebas.

Selain tiga Ahli Parlimen dengan sendiri keluar PKR, semalam parti itu memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin yang memutuskan untuk tidak merayu dan mahu bertindak menjadi wakil rakyat Bebas.

Kembara Amal Semarak Hijau (KASEH) PAS Puchong

Puchong : Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Serdang bersama Dewan Pemuda PAS Puchong telah mengadakan Program Kembara Amal Semarak Hijau atau ringkasnya “KASEH” pada 7 Mac 2010 , jam 9 am hingga 5.00 petang di Dewan Masyarakat JKP Serdang Jaya.

Program ini secara dasarnya telah direka Pra PRU12 oleh Penerangan DPPNS dan pada masa itu program ini hanya dikenali sebagai Semarak Hijau. Dengan sedikit penambahbaikan program ini terus dinamakan “KASEH”oleh DPPNS pasca PRU12.

Berdasarkan pengalaman AJK DPP Puchong sesi lepas sebagai Pengarah Program sulung Semarak Hijau, DPP Puchong mengorak langkah mengadakan “KASEH” peringkat Kawasan sabagai warm up bagi menanti “KASEH” yang akan diperturunkan oleh DPPNS ke DUN Seri Serdang.

Dalam program tersebut banyak aktiviti-ativiti untuk masyarakat setempat seperti futsal persahabatan, smart solat, pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, daftar pengundi dan konvoi bermotor dari pemuda PAS dan Jabatan Amal.


Konvoi Bermotor







Daftar Pengundi
Pertandingan mewarna




Smart Solat

Tazkirah selepas zohor oleh Ust. Nasir

Kehadiran YDP PAS Kawasan Puchong





Sumbangan kepada mesyarakat setempat yang layak menerimanya.


TG Nik Aziz: Harussani Terlibat Dengan Politik Dengan Jubah Seorang Mufti

Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan.

Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan. Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya.

Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,


“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku.

Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar. Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?

Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS!

Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.


NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar Kelantan.
21 Rabiul Awal 1431 / 7 Mac 2010

Gambar-Gambar Untuk Tatapan Mohsin

Demontrasi....pengundi Parlimen Bagan Serai mendesak Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

Demo telah diadakan diperkarangan rumah Paksu karim di Sg. Bogak petang tadi jam 4.00pm 7 mac. 2010.

Betul ke dia di tawarkan rm5 juta..? sebelum dia bersetuju untuk lompat menjadi bebas dia telah ditunjukkan wang tunai 1juta didalm beg..? selepas pengumuman dia hanya dibayar rm100ribu sebagai pendahuluan.?. ini cerita-cerita yang bermain di demontrasi tadi..dan juga ketua keadilan sdr naseeb memberitahu bahawa mohsin sekarang berada di Indonesia..(banjar masin)..?

HANYA KERANA DUIT YANG TIDAK DAPAT DIBAWA BERSAMA BILA MENJADI MAYAT, MEREKA SANGGUP HILANG MARUAH, SANGGUP MENGKHIANATI PENGUNDI-PENGUNDI DAN PETUGAS YANG TELAH SOKONG MEREKA SEWAKTU PRU YANG LEPAS.
HALAL KE DUIT ITU, APA KESANNYA MEMBERI MAKAN ANAK BINI MEREKA....kena tanya ularmak anak Nordin dari kulim..












Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .