Ikuti Blog ini

PANAS: Waytha SENYUM bila Uthaya kena JAILED

The Hindraf brothers: Uthaya jailed the day Waytha becomes senator



More than five years after he was first charged under the sedition act, Hindu Rights Action Force de facto leader P Uthayakumar has now been sentenced to two-and-a-half years in prison.

As Uthayakumar was in court this morning, his estranged brother P, Waythamoorthy was being sworn in as a senator in parliament, taking on the position of a deputy minister in the prime minister's department

Uthaya dipenjara 30 bulan


Pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) P Uthayakumar dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah membuat kenyataan hasutan pada 2007.

Beliau didakwa memuatkan bahan hasutan dalam surat yang ditulis antara 15 November hingga 8 Disember 2007 kepada perdana menteri British ketika itu Gordon Brown, yang mendakwa terdapat pembersihan etnik India miskin di Malaysia.

Dia juga memuatkannya di laman web Police Watch yang tidak lagi beroperasi.

Pada Isnin, Uthayakumar menolak untuk menyambung pembelaannya atas alasan bahawa keadaan kes itu tidak membenarkannya untuk meneruskannya. Dia juga enggan membuat penghujahannya pagi ini.

Kes itu dikendalikan oleh Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

UMNO Baru Terjaga Ketika Matahari Sudah Tegak Di Atas Kepala - TGNA



Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kenyataan Perdana Menteri mahu meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen adalah bukti SPR sangat pincang sebelum ini.

"Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Bagi beliau, jika sebelum ini, ada pemimpin Umno yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden Umno itu sendiri?.

Sehubungan itu beliau mengingatkan para pemimpin Umno dan lain-lain pihak jangan memperlekehkan pandangan rakyat.

"Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen," tegasnya.

Sementara itu, pandangan Tuan Guru Nik Aziz dikongsi oleh anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong (gambar kanan).

"Saya berpendapat ini merupakan taktik terbaru Umno-BN untuk menghalalkan sebarang tindakan SPR di masa depan bagi mengekalkan kuasa mereka," katanya.

Jika Perdana Menteri betul-betul ikhlas untuk melaksanakan pembaharuan sistem pilihan raya, beliau menyeru supaya segera dilaksanakan tuntutan Bersih 3.0 iaitu

1) melaksanakan lapan tuntutan Bersih 2.0,

2) pimpinan SPR meletak jawatan segera kerana kehilangan keyakinan rakyat terhadap SPR, dan

3) membenarkan pemantau antarabangsa bebas untuk memantau pilihan raya.

"Jika ini tidak dilaksanakan terlebih dahulu, maka sebarang perubahan hanyalah perubahan kosmetik dan bakal menjadi satu lagi projek penipuan Barisan National," katanya.


Matahari Tegak dan UMNO Baru Terjaga

Saya membaca laporan muka hadapan Sinar Harian hari ini yang memuatkan pengumuman YAB Perdana Menteri Malaysia bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Khabarnya ini bertujuan untuk memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara.

Saya memetik kata-kata Datuk Seri Najib yang antara lain menyatakan bahawa langkah ini bagi memastikan peranan suruhanjaya itu sebagai badan bebas tidak lagi dipersoalkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranannya mengadakan pilihan raya secara telus dan lancar.

Pada saya, ini sebenarnya tidak lain hanyalah sebesar-besar bukti bahawa proses perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh SPR sangat pincang.


Inilah yang saya tegaskan kepada para wartawan yang bergegas ke rumah saya meminta ulasan di atas pengumuman Perdana Menteri itu.

Jika sebelum ini, ada pemimpin Umno yang mencadangkan agar sesiapa yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pilihanraya boleh keluar dari bumi Malaysia, di mana agaknya wajahnya ingin diletakkan dengan pengumuman Presiden Umno itu sendiri?

Saya ingatkan, jangan sesekali memperlekeh pandangan pandangan rakyat marhaen.


Jika dahulu pemecatan Tun Salleh Abbas daripada jawatannya selaku Ketua Hakim Negara turut dipertikai oleh rakyat jelata tetapi kerajaan bermati-matian mempertahankan pemecatan tersebut. Alih-alih apabila teraju pemerintahan negara diambil alih oleh orang lain, Tun Salleh Abbas tidak semena-mena menerima pampasan daripada 'kesilapan kerajaan'. Siapa yang kata kerajaan tidak pernah silap?

Hari ini dengan pelbagai persepsi masyarakat terhadap SPR, sewajarnya kerajaan mengakui sahaja kesilapan.

Isu dakwat kekal yang bertukar menjadi tidak kekal dan senarai yang tidak bersih memperlihatkan seolah-olah kerajaan hari ini berdiri di atas mandat yang tidak betul.

Itu belum lagi dicampur isu undi awal yang jelas sekali prosesnya benar-benar menguntungkan Barisan Nasional.

Benar sangatlah reaksi langsung daripada rakyat di seluruh negara yang bangkit beramai-ramai menuntut pembersihan di dalam pilihanraya. Perlu diingatkan, PAS bukan tidak pernah kalah di dalam pilihanraya, bahkan PAS lebih banyak kalah daripada menang.

Namun dalam masa yang sama, PAS tidak boleh menerima penipuan di dalam pilihanraya. Ingatlah, amanah yang diperolehi daripada jalan yang haram hanya menjadi beban yang sangat berat untuk ditanggung di akhirat kelak!

Saya fikir mustahil Barisan Nasional ingin menurut jejak langkah rejim Hosni Mubarak di Mesir yang menang hampir seratus peratus di dalam pilihanraya tetapi akhirnya kecundang di jalan raya.

Dengarlah suara hati rakyat. SPR wajar dirombak, perbetulkan kembali sistem pilihanraya.

Sayangnya, Umno lambat sedar. Dalam pada rakyat bangkit beramai-ramai mempersoalkan kredibiliti SPR, ada pemimpin Umno masih bermain madah pujangga menegakkan benang yang basah.


Jika umpama orang yang tidur, Umno hanya terjaga ketika matahari tegak di atas kepala!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Perhimpunan aman 15 Jun di Padang Merbok



KUALA LUMPUR: Perhimpunan aman Black505 bagi menolak penipuan serta menuntut reformasi pilihan raya akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur 15 Jun ini bermula jam 2 petang.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, lokasi itu dipilih selepas mengambil kira pandangan pihak polis yang menggesa supaya perhimpunan tidak melibatkan Dataran Merdeka.

“Pilihan utama kita semestinya Dataran Merdeka, tetapi buat masa ini kita tetapkan dahulu Padang Merbok dan akan mendapatkan kebenaran dari polis untuk menggunakan Dataran semasa menghantar surat makluman nanti,” jelas Rafizi dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, surat makluman kepada pemilik Padang Merbok, DBKL dan Balai Polis Dang Wangi akan dihantar pada hari ini sebagai memenuhi peraturan dalam Akta Perhimpunan Aman iaitu notis dalam tempoh 10 hari.

Surat tersebut ditandatangani Rafizi bersama wakil PAS iaitu Syed Azman Syed Nawawi dan Anthony Loke dari DAP.

“Kita harap tidak akan berlaku sebarang tangkapan lagi kerana kita sudah memenuhi peraturan yang ditetapkan,” kata Rafizi dipetik KeadilanDaily.

Sementara itu, Pengarah Programm Datuk Johari Abdul berkata keselamatan peserta yang mengikuti himpunan menjadi keutamaan penganjur.

“Paling penting adalah keselamatan peserta, berhimpun dalam suasana aman dan santai,” katanya. -Hrkh

Rakyat Selangor mencipta sejarah


ULASAN Saya terasa teringin untuk menulis sesuatu hari ini. Agak lama tidak menyatakan pandangan, mungkin kerana terpaksa menahan diri dari melakukannya kerana ada tugas penting yang perlu diselesaikan tanpa memberi peluang kepada mana-mana pihak mentelaah secara negatif. Hari ini setelah semuanya selesai maka sementara duduk di rumah elok dituliskan sesuatu agar mampu memberi sedikit pencerahan.

Ramai melihat agenda melantik menteri besar di Selangor dan barisan Exco dengan kanta pandang dekat. Ramai mungkin yang mahu memberi pandangan walaupun dalam banyak masa mereka tidak mempunyai sebarang maklumat tepat untuk membuat komen. Maka wujudlah beberapa siri perbincangan panas antaranya Istana campurtangan dalam pemilihan Exco, politik kuno berpaksikan kaum, politik order lama yang tidak sensitif gender dan bermacam lagi.
 
Bila ada ura-ura kononnya istana atau lebih khusus lagi DYMM Sultan cuba memberi nasihat dan pandangan dalam pelantikan Exco maka terus sahaja kita membuat kesimpulan bahawa Tuanku mahu campurtangan dalam pentadbiran negeri, baginda seorang yang rasis dan hanya memihak kepada orang Melayu.
Tidak sedikit yang menyatakan rasa marah dan tersinggung serta kesedihan mereka dengan berita tersebut. Ramai kita terlupa bahawa politik Pakatan Rakyat yang kita bawa adalah politik baru dengan semangat politik inklusif, yakni ruang bersuara dan memberi pandangan terbuka luas kepada semua pihak dan saya berpandangan ianya tidak terkecuali kepada pihak istana.

Lebih malang apabila timbul cerita bahawa pihak istana mahu formula 6:4 (Melayu: Bukan Melayu) digunapakai dan isu kaum terus dimainkan tanpa cuba melihat mungkin ada sudut lain yang lebih positif dan membina yang boleh dilihat. Bila kita lihat keputusan 15:15:14 PAS DAP dan PKR, ini bermakna keputusan tersebut telah melonjakkan kerusi PAS yang dahulunya hanya lapan kepada 15 kerusi.
Sedar atau tidak dengan lonjakan tersebut telah sekaligus membenamkan tohmahan Umno-Najib bahawa PRU 3 adalah Tsunami Cina hingga membawa kepada keceluparan melampau apabila mereka mengatakan “Apa Lagi Cina Mahu”. Kawasan majoriti Melayu di Sepang dan Sabak yang dimenangi oleh PAS telah memusnahkan ego Najib dan kuncu utamanya Md Zin.

Justeru, dengan memperolehi 15 kerusi amat wajar PAS diberikan penghargaan kerana bukan sahaja memang mereka telah melonjakkan kerusi Pakatan Rakyat hingga mendapat 3/4 majoriti di dalam Dewan, malahan telah menafikan jolokan Tsunami Cina yang cuba dimainkan oleh Umno. Ianya saya lihat telah menggagalkan usaha Umno untuk memalukan masyarakat Melayu di Selangor hingga boleh mewujudkan ketegangan kaum.
 
Saya berpendapat inilah yang cuba dibayangkan oleh Tuanku semasa membuat keputusan untuk tetap memberi pandangan kepada MB bahawa rayuan MB di saat akhir dengan tujuan memberi 4 kerusi Exco kepada DAP tidak boleh dirai. Namun, benar percakapan umum bahawa politik terbaca atas persepsi dan bukan dari niat sebenar. Maka persepsi menggambarkan Tuanku seperti anti-Cina dan hanya mementingkan politik orang Melayu.

Bagaimana pula hari ini? Setelah melihat pentadbiran PR Selangor dengan berani mencipta sejarah melantik YB Puan Hannah Yeoh sebagai Speaker lantas menjadi Wanita (Cina) pertama yang menduduki kerusi tersebut adakah persepsi di atas masih terpakai? Terbukti hari ini politik Selangor telah menjangkau ke hadapan - meninggalkan politik rasis dan gender ke belakang. Tidak terfikirkah kita bahawa DYMM Tuanku juga memainkan peranan besar di dalam sejarah yang kita cipta ini?
Sejarah mampu dicipta di Selangor ekoran dari proses konsultasi, tawar menawar, tikaman lidah hingga mewujudkan kerjasama erat dan kebijaksanaan Menteri Besar, pemimpin Pakatan Rakyat hatta dari keperihatinan DYMM Tuanku sendiri.
 
Sebenarnya saya tidak hadir pada majlis angkat sumpah Exco yang penuh istidat dan bersejarah hari ini kerana khuatir kokokan batuk yang saya alami sejak PRU dahulu akan mengganggu keharmonian upacara. Meskipun saya dijemput sendiri oleh Dato Pengelola Istana tapi saya terpaksa menolaknya walau dengan hati yang berat.
Biarlah acara gemilang berlangsung cemerlang tanpa ada bunyi atau suara sumbang-garau yang mencemar majlis. Cukup sekadar menyediakan teks sembah ucapan Dato Menteri Besar kepada Tuanku menjadikan saya seolah-olah berada di sana merai hari bahagia rakyat Selangor.

Memandangkan saya ada kelapangan berada di rumah, saya mengambil kesempatan membuat catatan ini dengan hasrat mahu mengimbangi keghairahan kita memberi pendapat dengan harapan dapat mengecapi politik ideal. Ghairah mengetengahkan harapan agar tiada campurtangan istana dalam pentadbiran negeri.
Harapan agar politik tidak diukur dengan ras dan kaum. Harapan agar politik kita terkeluar dari kekangan gender. Saya akui semua harapan itu memang baik dan ideal;  tidak keterlaluan jika saya katakana itulah suasana politik yang didambakan oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
 
Namun pada saya, apa yang lebih penting ialah natijah dan hasil dari proses yang kita ambil dalam berpolitik. Maksud saya, apa yang kita lihat di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang. Pentadbiran Selangor membariskan barisan Exco yang mempunyai cukup representasi dari Melayu, Cina dan India. Selangor lengkap dengan reprentasi Wanita dalam Exco yakni sebanyak 40 peratus.
elangor mencipta sejarah apabila buat julung-julung kalinya melantik seorang Speaker wanita berbangsa Cina dan timbalan speaker termuda di dalam sejarah politik negara. Pakatan Rakyat Selangor berjaya membariskan barisan Exco profesional pelbagai bidang dan jurusan; Peguam, doktor, arkitek, dentis hatta seorang ilmuan agama seperti Ustaz Solehin Muhyi.

Rakyat Selangor pula semuanya berbangga menjadi rakyat di negeri Selangor yang telah memilih pimpinan mereka yang pelbagai bidang. Cuma satu perkara yang ingin saya ketengahkan, di sebalik kegembiraan dan kebanggaan yang kita semua rasai ketika ini, harus diketahui juga ianya bukan datang dengan sendiri.
Bukan juga dengan campurtangan mana-mana pihak. Ianya adalah hasil dari proses bertikam lidah, konsultasi, perbincangan serta tawar menawar yang dilakukan semua pihak; parti-parti politik, pegawai eksekutif di pejabat Menteri Besar dan pegawai di istana.
Malah yang lebih besar lagi apabila DYMM Tuanku sendiri yang ada ketika pada siri menghasilkan barisan Exco dan speaker,  telah sanggup mencemar duli. Pada saya, sejarah hari ini telah dicipta semua orang baik dari keturunan raja hinggalah pacal rakyat marhaen dan budak suruhan pejabat serta para bentara di istana.

Syabas rakyat Selangor dan tahniah kepada pimpinan yang dilantik menerajui pentadbiran negeri. Selamat menjalankan tugas - bekerja demi rakyat tanpa memihak kepada sesiapa dan tanpa rasa takut kepada manusia. Sesungguhnya rakyat hakim negara dan Allah pemilik sekalian alam. 
FAEKAH HUSIN setiausaha politik kepada menteri besar Selangor.

Khir Toyo Selangkah Lagi Ke Penjara, Mengadu Dikambinghitamkan Najib



Khir Toyo dakwa dijadikan ‘kambing hitam’ dalam perang anti-rasuah Najib

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Bekas menteri besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo mendakwa dirinya menjadi mangsa “kambing hitam” dimanipulasi untuk kepentingan politik pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Semalam Mahkamah Rayuan menolak rayuan Dr Mohamad Khir dan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan berhubung kes rasuahnya.

“Saya sudah tidak peduli lagi jika keputusan telah dibuat untuk memenjarakan saya sebagai ikon untuk menunjukkan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ini telus dan mahu membanteras rasuah,” kata beliau dalam tulisan di blognya www.drkhir.com.

“Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya,” tambah beliau lagi.

Menurut Dr Mohamad Khir, beliau didakwa melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia.

“Sepanjang perbicaraan, keterangan pegawai PKNS jelas menunjukkan saya menyokong puluhan surat cadangan memajukan tanah PKNS secara usahasama. Ada sokongan saya yang diluluskan dan yang ditolak oleh jawatan kuasa teknikal.

“Sebab tu saya dituduh melakukan Criminal Breach Trust (CBT) atau pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan bukannya kesalahan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Namun SPRM dengan bangganya menyatakan bahawa kejayaan pendakwaan ke atas saya merupakan bukti kerajaan serius membanteras rasuah,” katanya.

Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan hakim perbicaraan tidak membuat apa-apa kesilapan dalam membuat keputusan berhubung kes rasuah bekas menteri besar Selangor itu.

Tiga panel hakim yang diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin bagaimanapun membenarkan peguam perayu Datuk Seri Mohamad Shafee Abdullah agar menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menantikan keputusan rayuan Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Azahar Mohamed yang membacakan penghakimannya selama hampir dua jam berkata panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Aziah Ali telah sebulat suara berpendapat bahawa tiada sebab untuk Mahkamah Rayuan mengganggu dapatan fakta serta penyabitan yang dibuat oleh hakim mahkamah tinggi pada 23 Disember, 2011.

Beliau berkata setelah meneliti semua rekod rayuan, serta hujah daripada kedua-dua pihak, panel bersetuju bahawa hakim perbicaran telah membuat keputusan yang tepat dan tidak terkhilaf dalam menyabitkan Dr Mohamad Khir dengan pertuduhan itu.

Dr Mohamad Khir didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember, 2011 kerana dikatakan membeli dua bidang tanah dan rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam lebih murah dari harga sebenar di pasaran.

Beliau didapati bersalah menggunakan pengaruhnya sebagai menteri besar untuk membeli kediaman mewah dan tanah sehingga potongan sebanyak RM3 juta lapan tahun lalu.

Peguamnya, Muhammad Shafee memberitahu pemberita semalam beliau akan memfailkan satu notis rayuan di pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini. TMI

Mahasiswa tunjuk perasaan desak Zahid letak jawatan


PUTRAJAYA: Sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan pejabat Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan, ekoran penahanan aktivis yang bermotifkan politik.

Kira-kira 30 mahasiswa berkumpul berhampiran pintu masuk utama KDN, dengan membawa kain rentang bagi menunjuk perasaan secara aman selepas solat Jumaat.

Ketua Solidariti Mahasiswa Malaysia, Mohammad Safwan Anang yang baru dibebaskan dengan ikat jamin hari ini turut turun padang dan dengan lantang mendesak Zahid letak jawatan kerana mencemar profesionalisma Kementerian Dalam Negeri.

Beliau ditahan Rabu lepas dan disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada program Malam Anak Bangsa Malaysia di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu, yang didakwa berbaur hasutan.

“Kita rasa Datuk Seri Zahid Hamidi perlu berundur, letak jawatan sekiranya beliau masih gagal untuk menangani isu ini.

“Yang kedua, yang cukup jelas dan terang beliau juga telah menyalahgunakuasa apabila mengarahkan polis untuk membuat tuduhan secara berpilih dan itu yang kita rasa beliau telah menggunakan jentera kerajaan untuk motif politik,” kata Safwan.

Mahasiswa juga menuntut KDN dan polis dibebaskan dari campurtangan politik yang bagi mereka telah menyebabkan dua badan tersebut bersikap berat-sebelah.

Selain Safwan, aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim juga ditahan dan disiasat dibawah akta yang sama kerana kenyataan beliau di forum yang sama.

Turut ditahan dan didakwa di bawah akta dan sebab yang sama adalah, Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis PAS Tamrin Ghafar dan pemimpin NGO anti-Umno Haris Ibrahim. -Hrkh

Safwan Anang Dibebaskan Jam 10.20 Pagi Tadi



Aktivis pelajar yang enggan diikta jamin, Safwan Anang telah dibebaskan tepat jam 10.20 pagi tadi.

Beliau dibebaskan dari penjara Sungai Buloh selepas bersetuju menandatangani borang ikat jamin.

“Safwan bersetuju untuk tanda tangan ikat jamin. Dia akan dibebaskan jam 9 pagi ini dari penjara Sungai Buloh,” kata Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath membuat pengesahan, lapor Keadilandaily.

Pada 29 Mei lalu, Safwan menolak ikat jamin sebagai bantahan kepada kerajaan berhubung isu tangkapan bermotif politik. Safwan didakwa dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan berhubung ucapannya di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) 13 Mei lalu.

Turut didakwa ialah Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, penyelaras Asalkan Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim, aktivis Pas, Tamrin Ghafar, aktivis sosial Hishamuddin Rais dan pimpinan mahasiswa Adam Adli.

Kesemua mereka diikat jamin dengan jumlah RM 5,000 setiap seorang dan mahkamah menetapkan 2 Julai bagi pendengaran kes.

Sementara itu, Khalid Ismath memaklumkan, satu serahan memorandum bantahan akan dibuat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya jam 2.30 petang ini.

“Kami mendesak Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Zahid Hamidi menghentikan tangkapan bermotif politik yang melampau,” katanya.

UMNO/BN Semakin Fobia Dengan Pimpinan PR



Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar telah tidak dibenarkan oleh pihak imigresen Sabah memasuki negeri ini.

Menurut ahli Parlimen (MP) Lembah Pantai itu, pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sedang mengatur untuk menghantarnya pulang.

"Saya ditahan oleh imigresen Sabah dan diarah pulang oleh pejabat ketua menteri Sabah. Beginilah nasib demokrasi pasca-PRU13. Just you wait BN" tulis Nurul dalam twitter pada kira-kira jam 7.30 petang ini.

Katanya, beliau tidak dibenarkan berjumpa MP Penampang, Darell Leiking yang bertindak sebagai peguamnya.

Nurul Izzah adalah naib presiden PKR yang kedua tidak dibenarkan masuk ke Sabah. Sebelum ini, naib presiden PKR yang juga MP Batu Tian Chua disenaraihitam oleh imigresen Sabah tidak lama selepas kejadian Lahad Datu berlaku pada bulan Februari.

"Terdapat MP lain yang tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah. Apabila ditanya nama (mereka yang tidak akan) dibenar masuk, (pihak imigresen berkata ia) dianggap rahsia," kata Nurul Izzah.

Sebelum ini, Hilman Idham, pembantu Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, juga tidak dibenarkan memasuki negeri ini, bersama-sama dengan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 Syukri Razab, yang berasal Sabah.

Pada kira-kira 8.20 malam, Nurul menulis dalam twitter bahawa beliau tidak dibenarkan bertemu peguamnya dan diiringi tiga pegawai imigresen Sabah menaiki kapal terbang. -mk


Mohamad Sabu beri 8 punca kekalahan PAS


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu memberikan lapan sebab yang biasanya menjadi punca kekalahan PAS dalam setiap kali pilihan raya.

Sebab-sebab itu adalah:

1. Media yang tidak adil.

2. Pemerintah (BN) gunakan jentera kerajaan dalam kempen sebelum dan semasa pilihan raya.

3. Parti pemerintah (BN) menggunakan wang terlalu banyak dalam sogokan kepada pengundi.

4. Politik ugutan, projek dan pembangunan terhadap rakyat yang disyaki enggan mengundi kepada parti pemerintah.

5. Daftar pemilih yang tidak bersih dan dimanipulasikan daftar pemilih oleh BN.

6. Masa berkempen yang pendek, sebelum hari mengundi dan halangan berkempen sebelum pilihan raya terutama di kawasan Felda.

7. Polis didapati memihak dan ejen pula mengugut rakyat untuk kepentingan parti pemerintah (BN).

8. Undi pos yang amat diragukan kesahihannya. -Hrkh

‘SPR Bukan Parti Politik, Wan Ahmad Pun Bukan YB’



Bekas Ketua Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim membidas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Omar yang mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim memboikot parlimen jika benar-benar yakin berlaku penipuan dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu.

Beliau berkata, kenyataan itu adalah tidak wajar dan tidak sepatutnya datang dari seorang Timbalan Pengerusi SPR.

“SPR bukan parti politik dan Wan Ahmad tidak sepatutnya bertindak seolah beliau seorang wakil rakyat.

“(Dan) SPR sepatutnya bertindak secara berkecuali dan profesional dengan menangani segala kritikan dan dakwaan dari mana-mana pihak sekalipun secara berhemah dan mengikut prosedur undang-undang.

“Mereka sepatutnya mampu mengawal diri dalam apa jua keadaan dan tidak melenting seperti cacing kepanasan apabila dikritik keras,” kata Mat Zain dalam suratnya kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof hari ini.

Salinannya dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ali Hamsa, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun.

Ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong

Setiap ahli SPR dilantik khas oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 114 Perlembagaan untuk mengendalikan pilihan raya Persekutuan atau Negeri dengan bersih dan adil mengikut prosedur undang-undang.

Menurut Mat Zain, sekiranya benar pihak SPR sebuah badan berkecuali dan profesional, mereka sepatutnya boleh membuat siasatan sendiri bagi mengesahkan sama ada benar atau tidak, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri Ke-6 pada 3.April 2009.

Katanya, ini kerana sumpah itu dengan tidak mengikut Jadual Keenam Perlembagaan seperti yang didakwa.

“SPR hanya perlu menonton semula rakaman upacara mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri oleh Najib di-hadapan Yang di-Pertuan Agong Ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 3 April 2009, serta membandingkan apa yang dilafazkannya dalam upacara tersebut, dengan perkataan sumpah yang wajib beliau angkat sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Keenam Perlembagaan.

“Verifikasi ini boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai 5 minit pun. Malahan orang ramai juga boleh membuat semakan sendiri dengan menggunakan kaedah yang sama,” kata Mat Zain lagi.

Beliau juga menyarankan SPR mendapatkan kerjasama Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru Datuk Seri Ahmad Shabbery Cheek untuk menyiarkan acara angkat sumpah Perdana Menteri pada 3.April 2009 itu.

`Filem Tanda Putera’

Ini supaya lebih ramai rakyat yang tidak mempunyai ekses kepada internet, peluang untuk membuat verifikasi yang sama serta sekaligus, dapat memahami isu yang dibangkitkan ini.

“Jika Menteri Penerangan telah menunjukkan keghairahannya untuk filem Tanda Putera ditayangkan kepada umum,maka saya yakin beliau tidak keberatan menayangkan rakaman majlis angkat sumpah yang ringkas itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, rakyat boleh membuat penilaian samada Perdana Menteri dan Jemaah Menteri-nya memang sentiasa menghormati dan mematuhi peraturan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan seperti yang mereka sering laungkan, atau ianya sekadar retorik.

Katanya, beliau yakin rakyat akan lebih menyanjung Menteri Penerangan yang baru ini, jika beliau dapat menyiarkan proses perlantikan Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan di kalangan Ahli Dewan Negara yang belum dilantik sebagai Senator seperti kekalutan yang berlaku baru-baru ini, sebagai penambahan ilmu kepada rakyat.

Menurutnya, penerangan seperti ini-lah yang akan dialu-alukan oleh segenap lapisan rakyat khasnya masyarakat luar Bandar dimana mereka boleh menilai sama ada Menteri dan Timbalan Menteri mereka itu jujur ataupun mereka sekadar kaki temberang sahaja.

Mat Zain berkata, persoalan undang-undang melibatkan Perlembagaan hendaklah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan sepertimana yang dinyatakan dalam Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, (Akta 91.

Harap SPR nyatakan pendirian

Untuk itu beliau berharap SPR dapat menyatakan pendirian mereka secara terbuka sama ada mereka bersedia merujukkan perkara dalam persoalan ini kepada badan tersebut atau sebaliknya.

Dalam isu berkaitan, bekas pegawai kanan polis itu mengulas mengenai dua menteri dan tiga timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong tetapi belum dilantik sebagai Senator.

Kata Mat Zain ia perbuatan yang sangat biadap terhadap Yang Di Pertuan Agong kerana telah meletakkan susunan keutamaan Baginda, di-belakang kedudukan Yang Di-Pertua Dewan Negara.

Sekiranya perbuatan ini bukan suatu pengkhianatan dan penghinaan serta mencemarkan keadaulatan Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, Mat Zain berkata, Najib wajar menjelaskan kepada rakyat apakah maksud tindakan beliau.

Perdana Menteri, tambahnya juga wajar menjelaskan kepada rakyat sama ada dua orang menteri dan tiga orang timbalan menteri tersebut layak melaksanakan fungsi jawatan masing-masing setelah peruntukan Perlembagaan Persekutuan ditunggang-langgangkan. Jika di kalangan sejumlah 61 orang menteri dan timbalan menteri yang ada sekarang ini,terdapat lima orang atau lebih 8% daripada jumlah itu adalah “ahli haram”, maka keseluruhan Kabinet itu juga terpalit menjadi haram.

Disebabkan nila setitik,rosak susu sebelanga, kata Mat Zain. -FMT

Isteri Safwan Berdiri Teguh Dengan Pendirian Suaminya



Suami saya memperjuangkan kebenaran, suami saya bukan pesalah. Semalam kami diserbu oleh 15-20 orang polis di kawasan parking di kediaman. Rasa terkejut diserbu seolah-olah penjenayah dan rasa sedih disebabkan beliau didakwa hari ini atas kesalahan yang tidak beliau lakukan masih tak hilang.

Dalam keadaan mengandung, emosi, mental dan fizikal cukup berat menghadapi dugaan sebegini besar. Turun naik mahkamah, berkejar ke sana sini, bekerja, tak hirau masa makan dan berehat, saya tak mampu berdiri sendiri tanpa sokongan. Hasbunallahu wani'mal wakeel.

"Hari ini suami saya sanggup masuk ke dalam penjara dan menolak sebarang jaminan untuk memprotes kezaliman dan kebatilan yang terus berlaku dalam negara hari ini. Dan saya sanggup berkorban dengan menerima keputusan beliau. Semoga kami terus diberikan kekuatan.

Mohon solidariti malam ini jam 8 di hadapan Penjara Sungai Buloh. Jangan biarkan suami saya keseorangan." Isteri Safwan Anang.

-JANGAN BIARKAN SAFWAN KESEORANGAN-



Safwan Anang enggan diikat jamin



Salah seorang aktivis yang ditahan di bawah Akta Hasutan semalam, Safwan Anang dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) enggan diikat jamin.

Menurut Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) Mohammed Bukhairy Mohammed Sofian, semasa pendengaran perbicaraan, Safwan menyatakan bahawa beliau tetap menjunjung sistem raja berperlembagaan serta menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah.

Namun apa yang mendukacitakannya ialah seluruh sistem di negara ini telah menjadi tunggangan untuk kepentingan politik Umno-Barisan Nasional (BN), kata Bukhairy dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Bukhairy, Safwan sempat menyampaikan tiga pesanan penting untuk disampaikan kepada seluruh rakyat Malaysia:

* Penahanan dan dakwaan ini bermotifkan politik. Tindakan saya ini sebagai protes dan memberi signal penolakan terhadap salah guna kuasa untuk kepentingan hayat Umno-BN.
* Tindakan saya juga demi sayangkan negara dan ingin memulihkan demokrasi yang makin tenat.

* Ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya di dalam tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit berjuang lawan penipuan!


Menurut Bukhairy, demi menyelamatkan demokrasi yang kian nazak di Malaysia, Safwan rela untuk terus dikurung di lokap. Safwan juga rela berhadapan dengan polis dan SB sepanjang di dalam lokap nanti.

Tiga lagi aktivis yang ditahan semalam ialah pemimpin ABU (Asal Bukan Umno) Haris Ibrahim, Naib Presiden PKR Tian Chua dan bekas Ahli Parlimen Batu Berendam Mohd Tamrin Abdul Ghafar.

Mereka telah ditangkap untuk siasatan dibawah Akta Hasutan berhubung dakwaan ucapan mereka pada program Malam Anak Bangsa Malaysia pada 13 Mei lalu.

Hari ini kesemua mereka telah dibawa ke mahkamah untuk dibaca pertuduhan. Mereka semua tidak mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000
-FMT

Zambry Kadir Akan Bubarkan DUN Dalam Tempoh 6 Bulan Lagi?

Beberapa ADUN UMNO didakwa akan melompat dan juga petisyen dari PR Perak yang peluang cerah untuk menang 2 atau 3 kerusi, DS Zambry Kadir mungkin menghadap DYMM Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak.
UMNO kemungkinan besar tidak akan membenarkan keputusan mahkamah menentukan kerajaan rakyat Pakatan Rakyat.
Bagi UMNO mereka tidak akan serah ,kuasa dengan begitu mudah. Pilihan baik DS Zambry Kadir membubarkan DUN Perak ,lantas mengadakan Pilihanraya Negeri Perak sekali lagi.
UMNO sekali mengharapkan undi orang Melayu untuk menyelamatkan kerajaan mereka. -Addin

Empat Exco Selangor Dari PAS Sedia Berkhidmat



Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi, Sallehin Mokhyi dan Iskandar A. Samad.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman menyatakan keyakinan empat calon Pas yang diperkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dapat menjalankan tugas Exco dengan baik.

Menurutnya, empat calon yang terpilih sebagai Exco ialah Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, Adun Sabak, Sallehin Mokhyi dan Adun Cempaka, Iskandar A. Samad.

"Sultan guna formula 6:3, enam Melayu di mana Pas empat, PKR dua, dan empat bukan Melayu, iaitu tiga DAP dan satu calon PKR.

"Saya diberitahu oleh setiausaha politik menteri besar tadi (semalam).

"Pas menyambut baik walaupun tak menang di Putrajaya, kita akan tumpu bagi khidmat kepada rakyat," katanya kepada Sinar Harian Online.

Sebelum ini, DAP Selangor menyuarakan perasaan tidak puas hati dengan senarai Exco yang diserahkan kepada Sultan dan menggesa untuk mengadakan perbincangan semula mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, mengikut laporan media Sultan Selangor telah memberi perkenan kepada senarai calon Exco bagi penggal 2013-2018.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata: "Saya telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Tuanku pada pagi ini (kelmarin) dan Tuanku bersetuju menamakan ahli-ahli Exco yang telah dikemukakan.

“Insya-ALLAH pada Khamis ini jam 9.30 pagi, di Istana Alam Shah, Klang, akan diadakan upacara angkat sumpah dan ikrar oleh semua ahli Exco yang dipilih,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rani juga berkata dakwaan sebelum ini yang menyatakan perlantikan Exco Selangor mempunyai masalah tidak berbangkit lagi.

"Insya-ALLAH, Sultan sudah putuskan, kita terima.

"Tak ada yang dipertikaikan lagi, tak ada soal DAP tak puas hati, semua OK," katanya.

Tamrin, Haris ditahan semula


NONEAktivis PAS Datuk Tamrin Abdul Ghafar dan pemimpin NGO Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim ditahan semula hari ini, empat hari selepas dibebaskan.

"Ya... Polis berada di rumah saya di Ampang sekarang," kata Tamrin yang menambah pasukan polis itu tiba pada kira-kira jam 7.15 petang.

"Mereka ada waran tangkap berhubung isu sama dan membawa saya ke ibu pejabat polis Dang Wangi," katanya lagi kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Peguam Gobind Singh Deo juga mengesahkan bahawa Haris ditahan semula pada jam 7 petang ini dan turut dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi.

"Kami boleh sahkan bahawa mereka berdua (Haris dan Tamrin) ditahan semula mengikut Akta Hasutan," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Tamrin dan Haris ditahan pada 23 Mei lalu, bersama naib presiden PKR Tian Chua, namun dibebaskan semula pada keesokan harinya apabila polis gagal mendapatkan perintah reman.

Ketika dihubungi, Tian berkata beliau tidak melihat apa-apa tanda yang menunjukkan tindakan penahan polis ke atasnya.

"Tapi saya tidak kata saya selamat, tapi tengoklah macam mana," katanya.

Sementara itu, seorang aktivis siswa Mohd Safwan Anang turut ditahan mengikut peruntukan sama.Ketika dihubungi, isterinya Masturah Abu Bakar memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wang.
"Polis tidak beritahu sama ada ia untuk merakam kenyataan atau untuk penahanan," katanya. -M'kini

Dr Agus : Himpunan 505 Kerajaan Tidak Perlu Ugut Rakyat

SHAH ALAM, 29 MEI : Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menggesa kerajaan menyelesaikan permasalahan Perhimpunan 505 secara baik tanpa perlu ada sebarang bentuk ugutan mahupun kekerasan.

Ini kerana majoriti rakyat menyedari tanggungjawab dan hak mereka untuk berhimpun selaras dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ulas beliau di laman Facebooknya, perkara berkenaan menyatakan perhimpunan aman adalah hak rakyat: Semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

“Bagi kerajaan juga, saya harap sangat isu perhimpunan 505 ini dikendalikan secara baik. Moga tidak ada penggunaan kekerasan, tangkapan yang tidak perlu dan ugutan kepada rakyat.

“Rakyat sedar tentang tanggungjawab dan hak mereka. Berikan mereka peluang untuk mengekspresikan diri dalam ruang yang dibenarkan oleh sistem demokrasi dan undang-undang negara kita,” katanya.

Media melaporkan enam lagi pemimpin Pakatan Rakyat didakwa kerana menganjurkan perhimpunan tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Polis Daerah masing-masing seperti yang dinyatakan dalam Akta Himpunan Aman 2012.

Bagi menyelesaikan perkara ini beliau menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan dialog untuk menyelesaikan kemelut ini.

Tulisnya lagi, berkenaan sistem pilihan raya di negara ini diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengikut perlembagaan.

Maka jika didakwa berlaku ketidakpuasan hati dalam pilihan raya, SPR perlu bertanggungjawab untuk menjawabnya.

Tegasnya lagi demokrasi di negara ini tidak boleh subur sendirian sebaliknya memerlukan pembangkang dan kerajaan sama-sama memahami dan meraikannya./~selangorku
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .