Ikuti Blog ini

Salam Ramadhan dari Muslimeen United

Perutusan Khas Ramadhan 1431H - Tuan Guru Nik Abdul Aziz

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil).
- Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ
Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.


TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA
DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Nafi Sembunyi Fakta, Peguam Negara Akui Nota Teoh Bukti Baru - Apa Cerita Nie Dah Setahun Inkues Berjalan, AG Ada Agenda Ke?

KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Pejabat Peguam Negara menafikan dakwaan mereka menyembunyikan bukti dalam inkues kematian Teoh Beng Hock selepas mengemukakan sekeping nota yang ditemui tahun lepas dalam beg sandang Teoh, yang mungkin mengandungi petunjuk tentang kematian bekas setiausaha politik pemimpin DAP itu. Penemuan bukti baru itu yang dikemukakan pagi semalam menyebabkan prosiding inkues yang sepatutnya didengar semalam ditangguh sehingga 18 Ogos.

Kenyataan pejabat Peguam Negara itu, dikeluarkan lewat petang semalam menjelaskan, pejabat Peguam Negara dimaklumkan mengenai penemuan nota itu oleh pegawai penyiasat ASP Nazri Zainal pada 7 Oktober lalu iaitu lebih dua bulan selepas kematian Teoh.

Kehadiran bukti baru di saat akhir inkues kematian Teoh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan peguam yang mewakili keluarga bekas setiausaha politik itu dan kerajaan Selangor.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh memberitahu pemberita keadaan yang berlaku menunjukkan seolah-olah sesuatu yang dirancang dan beliau amat kecewa atas apa yang berlaku kerana bukti itu sepatutnya dikemukakan sebelum bermulanya prosiding.

Gobind berkata berikutan keadaan ini, beliau memohon supaya inkues dibicarakan menerusi Suruhanjaya Diraja dan berharap Peguam Negara dapat memberi penjelasan berhubung bukti baru ini.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pada mulanya Ahmad Nazri tidak menemui nota tersebut ketika beliau memeriksa beg sandang Teoh sebaik insiden berlaku.

Bagaimanapun, ia berkata Ahmad Nazri baru-baru ini mengaku yang dia menjumpai nota tersebut ketika memeriksa beg sandang simati pada 17 Julai tahun lepas tetapi tidak menyedari kepentingannya kerana turut menjumpai dokumen lain dan ia ditulis dalam tulisan Cina dan Rumi.

Kenyataan itu menjelaskan penemuan bukti tersebut mengejutkan pejabat Peguam Negara dan ia mengarahkan siasatan dijalankan.

Katanya nota itu dengan segera diterjemahkan, dan terdapat cukup fakta untuk nota itu dianalisis oleh pemeriksa dokumen dari Jabatan Kimia pada 9 Oktober dan kemudiannya pada 20 Oktober tahun lepas.

Menurutnya pemeriksa dokumen menyediakan laporan mereka, dan ia kemudiannya ditimbang oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, yang tidak yakin dengan ketulenan nota itu disebabkan kekurangan contoh untuk mengesahkan tulisan tangan berkenan, khususnya tulisan Cina.

Tambahan pula, nota itu ditemui selepas dua bulan kematian Teoh dan ini akan menimbulkan syak wasangka tentang ketulenan dan penemuannya.

“Setelah mempertimbangkan faktor-faktor ini, Tan Sri Abdul Gani berpendapat nota itu tidak perlu dikemukakan sehingga, dan melainkan, pegawai penyiasat boleh menyediakan penjelasan yang memuaskan,” kata kenyataan itu dipetik Bernama.

Katanya terdahulu pejabat itu diberi penjelasan oleh pegawai penyiasat berkenaan bahawa beliau menjalankan pemeriksaan rapi selepas dinasihatkan oleh pakar psikologi iaitu kebiasaannya sekeping nota akan ditinggalkan dalam kes bunuh diri.

“Berikutan itu, Peguam Negara memutuskan untuk mengemukakan nota tersebut dan mengarahkan pegawai penyiasat untuk menjelaskan perkara ini di mahkamah untuk mengelak sebarang akibat pada masa depan dan biarlah ia diputuskan oleh koroner selepas menimbangkan penjelasan pegawai penyiasat dan laporan oleh pemeriksa dokumen,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut pejabat itu merasakan bahawa tidak ada penyekatan atau penyembunyian bukti, dan keputusan untuk tidak menawarkan nota itu pada awalnya dibuat berdasarkan laporan pemeriksan dokumen serta penemuan nota yang boleh menimbulkan syak wasangka.

“Pejabat Peguam Negara akan mengemukakan dokumen sebagai bukti hanya apabila pejabat itu telah berpuas hati tiada lagi kemusykilan,” katanya.

Rakyat Tidak Akan Berdiam Diri Dengan Kezaliman

Bantahan Anti ISA Merebak Ke London, Anifah Terkedu

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman disambut dengan laungan 'Anti ISA' dan 'Mansuhkan tahanan tanpa bicara' oleh aktivis Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di luar bangunan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London semalam.

Beliau yang tiba di kotaraya itu dalam sesi rangka lawatan kerja ke United Kingdom dan Jerman bermula 1 Ogos lalu terkedu dengan laungan dan bantahan aktivis yang menentang sekeras-kerasnya akta drakonian itu dan menggesa kerajaan Umno-Barisan Nasional memansuhkan segera undang-undang lapuk yang sudah bertapak dinegara ini sejak 50 tahun lalu.

Sekumpulan 30 aktivis berhimpun di luar bangunan suruhanjaya itu untuk menyampaikan bantahan mereka kepada Anifah menyebabkan tetamu yang telah berada di dalam bangunan Pesuruhjaya Tinggi itu terpaksa menunggu lama untuk mendengar ucapan Menteri Luar itu.

Anifah juga dijangka menyampaikan ucapan beliau kepada ketua komuniti dan pelajar Malaysia di London untuk memberi penerangan berhubung situasi semasa polisi kerajaan.

Menurut sumber, kebanyakan peserta demonstrasi adalah daripada kalangan muka baru yang menggunakan pembesar suara sambil melaung-laungkan "Hentikan tahanan tanpa bicara".

Turut hadir, Six Oranges, penerbit filem berhubung isu sosial yang berpangkalan di London - mereka kini dalam proses menerbitkan dokumentari mengenai ISA.

Sebelum ini di lapan lokasi di seluruh negara, pihak polis menahan 30 peserta perhimpunan aman anti ISA pada 1 Ogos lalu termasuk di Pulau Pinang, Johor dan Kelantan.

Antara yang ditahan pada sambutan sempena ulangtahun ke-50 kewujudan ISA, Pengerusi Gerakan Mansuh ISA Syed Ibrahim Syed Noh, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan dan Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Badrul Hisham Shaharin (CheGuBard).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi amaran kepada kepada orang awam supaya tidak menghadiri perhimpunan memasang lilin yang dianggap sebagai perhimpunan haram. -SK


Presiden Pakistan dilempar kasut

BIRMINGHAM: Presiden Pakistan Asif Ali Zardari menerima lemparan kasut ketika mengakhiri lawatannya ke Britain dengan menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan politik di sini semalam.

Beliau berhadapan kritikan dan penunjuk perasaan kerana meneruskan lawatan ke luar negara ketika Pakistan dilanda banjir teruk yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,500 orang.

Pada perhimpunan itu, seorang lelaki melempar kasut ke arah Asif tetapi tersasar, sementara di luar Pusat Konvensyen Antarabangsa di Birmingham, lokasi beliau berucap, polis mengepung lebih 100 penunjuk perasaan.

Asif semalam menyifatkan kunjungannya ke Britain sebagai berjaya kerana dapat mengumpul beribu-ribu pound Sterling buat mangsa banjir di Pakistan.

Kira-kira 2,000 hadirin berkumpul di pusat konvensyen tersebut bagi mendengar ucapan Presiden itu serta pemimpin-pemimpin lain daripada Parti Rakyat Pakistan (PPP).

Kunjungan Asif ke Britain juga penuh ketegangan kerana ia dibuat tidak lama selepas Perdana Menteri Britain David Cameron menuduh Pakistan ‘membawa ketakutan’.

Kenyataan Cameron itu membangkitkan kemarahan rakyat Pakistan dan mengakibatkan tercetus perselisihan diplomatik, kerana kenyataan itu dibuat ketika kunjungan Cameron ke India.

"Kita mempunyai hubungan baik dengan kerajaan Britain dan masalah yang ada telah diselesaikan dengan bantuan penggubal undang-undang Pakistan," kata Asif semalam pada satu perhimpunan di mana poster isterinya yang mati dibunuh, bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto, digantung di dinding.

Beliau diiringi anak perempuannya, Asifa yang memakai selendang berwarna putih.

Di luar dewan, sebahagian penunjuk perasaan mengangkat sepanduk tertulis ‘Amerika Syarikat (AS) keluar dari Pakistan dan Afghanisan’.

Sehari sebelum itu, anak lelaki Asif yang juga pengerusi bersama PPP, Bilawal Bhutto Zardari, merayu bantuan untuk mangsa banjir di Pakistan.

Harga barangan keperluan melambung tinggi

Sementara itu di ISLAMABAD, rakyat Pakistan hari ini bergelut dengan masalah kenaikan harga buah-buahan dan sayur-sayuran yang melambung tinggi, berikutan banjir yang memusnahkan sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman.

Harga barangan keperluan yang melonjak itu menambah lagi derita penduduk negara itu yang sudah pun dibelenggu kemiskinan dan masalah kekurangan makanan sebelum banjir melanda negara ini dua minggu lalu.

Pakistan bekerjasama dengan agensi bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan lebih 100,000 penduduk dan menyalurkan bantuan makanan serta tempat perlindungan kepada beribu-ribu yang lain.

Namun kerajaan menghadapi kesukaran untuk menangani bencana sebegitu buruk yang dianggarkan telah menjejaskan kehidupan 13 juta penduduk.

Keadaan dijangka bertambah buruk kerana Pakistan dilanda hujan lebat lagi hari ini.

"Banjir memusnahkan tanah pertanian dan menghanyutkan tanaman sayur yang sudah sedia untuk dituai.

"Hasil tanaman yang dapat diselamatkan tidak dapat dipasarkan kerana jalan musnah dan hubungan komunikasi terputus," kata seorang petani di bandar Multan, tengah negara ini.

Sekurang-kurangnya 570,000 hektar tanaman musnah di wilayah Punjab yang merupakan sumber bahan makanan untuk seluruh Pakistan, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AP

Rakyat sekarang bukan seperti rakyat yang difikirkan oleh UMNO BN serta pencacai mereka seperti Peguam Negara, SPRM, SPR, Polis dan sebagainya.

Rakyat yang hidup di era digital ini adalah rakyat yang bermaklumat, rakyat yang berani menghadapi apa jua kemungkinan untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.

Telah berlalu zaman dimana UMNO BN dengan segala pencacainya untuk melakukan pembodohan ke atas rakyatnya. Ini zaman k-workers, k-community, k-people. "K" yang membawa pengertian "knowledge-based".

Anda hendak menekan dan menzalimi rakyat? Anda wajar menanggungnya sendiri.-GB

Noh Omar Tolong Jangan Jaga Tepi Kain Orang !!



Noh omar
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mahu Umno Selangor supaya tidak lagi mencampuri pengurusan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan tumpuan kepada negeri di bawah naungan Barisan Nasional.

Beliau membidas kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mencabar agar kerajaan negeri khususnya PAS menutup pusat hiburan dan rumah urut di negeri itu sepanjang bulan Ramadhan.

Sehubungan itu Khalid menyifatkan gesaan itu melambangkan sikap hipokrit pemimpin Umno Selangor yang sengaja mencetuskan isu di luar kawalan mereka.

"Saya nak ingatkan Noh Omar jika dia terlupa, Barisan Nasional ada banyak negeri di bawah nya, laksanalah di bawah BN kalau ucapan atau cabaran kamu itu ikhlas dan cara kamu laksana adalah secara paksaaan dan kuasa, maka kalau itulah yang kamu faham dalam Islam, maka kamu buatlah di negeri yang BN perintah.

"Apa yang kamu nak sibuk dengan kerajaan dan negeri-negeri Pakatan Rakyat.

"Kesalahan itu bukan hanya kesalahan ketika bulan Ramadhan tetapi juga bukan di bulan Ramadhan,” katanya pada sidang media di pejabatnya petang semalam.

Tambah beliau, pendekatan dan pelaksanaan yang sewajarnya adalah menerusi pendidikan bukannya tekanan dan paksaan.

"Kita mewarisi negeri ini dengan segala peninggalan mereka dan kaedah itu kita laksanakan bukan secara mendadak tetapi oleh kerana masyarakat selama ini telah dikelirukan maka kita harus didik mereka dengan cara yang betul," katanya lagi.

Khalid yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam turut mempersoalkan niat Noh dan menyifatkannya sebagai tindakan bermotifkan politik.

Berbanding dengan tindakan Umno, katanya Pakatan Rakyat tidak akan mengenakan paksaan ke atas rakyat sebaliknya jelas beliau kerajaan negeri Selangor akan mendidik orang ramai dalam isu seperti itu.

Tangkapan aktivis Protes untuk takutkan orang ramai

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Belum ada apa-apa aktiviti daripada aktivis Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes), tiga daripada mereka telah ditangkap polis petang ini.

Dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan dan seorang aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ditahan polis sebelum bermulanya edaran risalah Protes di pasar malam Kampung Kerinchi, dekat sini.

Mereka yang ditahan iaitu AMK Wilayah, Rozan Mat Razif dan Fareez Kamal dan aktivis Suaram, Tee Mun Hui ditahan atas alasan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli menyifatkan penahanan itu sebagai taktik untuk menakut-nakutkan orang ramai.

"Kita tidak tahu apa sebab mereka ditahan. Tapi saya pasti ini antara taktik menakutkan orang ramai," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, walaupun program itu bukan berbentuk demonstrasi tetapi lebih kepada edaran risalah, namun kehadiran polis luar biasa dengan trak pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Pada mulanya saya ingat mereka menyokong kita, malangnya tangkapan dibuat. Kita cuma nak sampaikan informasi kepada orang ramai, seharusnya tak dapat tentangan," ujarnya.

Protes menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai bermula jam 6.00 petang tadi.

Kira-kira 20 aktivis Protes membahagikan risalah kepada pengunjung pasar malam itu.

Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen Protes kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Kempen kesedaran ini dibuat ekoran kenaikan harga barang '5 dalam 1' pertengahan Julai lepas dan Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan.

Ianya termasuk gesaan menghentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), menguatkuasakan dasar gaji minimum, kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan, menjelaskan bagaimana 'penjimatan' RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya. -Hrkh

Presiden PAS ajak seluruh rakyat Malaysia tinggalkan BN...

Tinggalkan Umno BN

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri.

Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.

Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.

Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri.

Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah Umno BN dan marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihan raya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,

Presiden PAS.

Seloka Untuk PM Najib


Dato' Hj Mahfuz Omar

Assalammualaikum YAB Perdana Menteri;
Dengar khabar sedang bercuti;
Bercuti pula diluar negeri;
Ini adalah nukilan buat Datuk Seri.

Rakyat menghadapi inflasi yang tinggi;
FDI pula merudum lagi;
Jenayah kian menjadi-jadi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri....

UPSR + PMR tak menentu lagi;
Dikurangkan pulak rakyat punya subsidi;
Harga petrol/desil gas masak dan gula naik lagi;
RM222 juta kepada Kuala Dimensi Kerajaan kasi;
Perdana Menteri bercuti di luar negeri .....

Kasihan Mak Tijah hidup sendiri;
Bajetnya sekadar pencen arwah suami;
Barangan keperluan pula melambung tinggi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri....

Muthusamy pergi kerja setiap hari;
Dia kerja bawa teksi;
Mengeluh dia minyak sekarang kurang subsidi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri.....

Ong sekarang senyum sendiri;
PKFZ punya hantu sudah mali;
Ling Liong Sik punya trial sandiwara lagi;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri.....

Joseph mengeluh sekali lagi;
Apa sudah jadi kes Project M d Sabah ni;
Pendatang haram pun dapat IC;
Kepada BN undi mereka beri;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri ....

Kasihan Kaum Penan d bumi sendiri;
Tanah serta hutan mereka sudah menjadi milik kroni;
Nak hidup macam mana mereka nanti;
Perdana Menteri bercuti d luar negeri;
Bercuti bukan dengan duit sendiri;
Ambil duit rakyat dan negeri;
Inilah KPI Perdana Menteri.

Mari Cuba! Keajaiban ilusi Mata Kurniaan-Nya

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiWsWPcmnmjpleQKQtXbOIWC7x7QbNRb7icHDwq9JQ8o3vuuA5n0567tKzSCZ1wssH32tFes_M2FnR9rCQKXZYffvxDa4GcKIGm988TNEMmnJSz642ScP1BaFu5iJ_cB8uAkuTnqitBrGjM/s400/Allah.jpg



Cuba lihat pada 3 TITIK di kalimah ALLAH selama 10 saat sambil berselawat dan alihkan pandangan
pd dinding kosong selama 10 saat juga.. lihatlah keajaibannya. ....Subhanallah..
rasa sgt KAGUM dgn ilusi mata kurniaanNya ini..

Felda disaman lebih 700 peneroka

Seramai 766 peneroka Felda memfailkan saman berjumlah RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban terhadap agensi kerajaan itu atas dakwaan terlibat dalam penipuan dan pecah amanah dalam jual beli hasil kelapa sawit.

Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Gugusan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit" selama 15 tahun.

Menurut Sivarasa, dalam pembayaran kadar perahan gred kelapa sawit Felda didakwa menggunapakai 18.9 peratus sedangkan nilai sebenar didakwa antara 24 hingga 25 peratus - seperti kajian Lembaga Kelapa Sawit Malaysia.

Katanya, pihaknya mempunyai dokumen bagi membuktikan bahawa pada tahun 2008 sahaja, setiap peneroka kerugian RM20,000 ekoran kadar itu.

"Ini bermakna selama 15 tahun, Felda menyebabkan kesemua 766 peneroka ini kerugian sebanyak RM200 juta," kata Sivarasa.

Sehubungan itu, Sivarasa yang juga naib presiden PKR memberitahu, kesemua plaintif menuntut ganti rugi am dan teladan, bersama faedah untuk penipuan dan pecah amanah yang berlaku.

Sementara itu, sejak jam 9.30 pagi tadi, kira-kira 300 peneroka Felda mula berkumpul dan memenuhi mahkamah tinggi tersebut bagi menunjukkan sokongan mereka.

Kedengaran mereka bersorak kuat berulang kali tanda sokongan ketika ahli parlimen Subang itu membacakan kenyataaan medianya kepada pemberita selepas memfailkan tuntutan itu.

Dua lagi peguam peneroka tersebut Latheefa Koya dan T Kumar turut hadir.-M'kini

Tolak Pemimpin Umno/BN Yang Jahat dan Tidak Amanah.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita30/IMG_5858.jpgSeberang Takir, KUALA NERUS - Yang Seluruh rakyat negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya diseru menolak kerajaan Umno dan Barisan Nasional yang memimpin negara hari ini kerana mereka tidak lagi layak diberikan amanah tersebut.

Exco kerajaan negeri Kelantan Abdullah Che Nawi berkata, mereka akan menjadikan negara kita yang kaya raya dan banyak hasil, sebuah negara bankrap pada tahun 2019.

"Saya berharap siapa yang datang ke ceramah ini, biar menjadi cerdik. Jadi cerdik kita ni bukanlah cerdik seorang diri. Biar semua rakyat di negeri Terengganu ini. Mesti beritahu semua rakyat Negeri Terengganu bahawa kerajaan yang memimpin Malaysia ini sebenarnya tidak layak untuk memimpin Malaysia kerana Malaysia yang cukup kaya-raya dan banyak hasil tiba-tiba nak bankrap,"ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penerangan Isu-isu Semasa disini 6 Ogos.

(Gambar - Stadium runtuh; lambang kejahatan dan khianat pemimpin Umno/BN)


Beliau memetik contoh pemimpin Umno/BN Terengganu yang tidak melaksanakan amanah dengan baik sehingga pembinaan Stadium Sultan Mizan, runtuh dalam masa setahun selepas disiapkan.

"Mereka ini kumpulan yang tidak layak untuk memerintah. Tak ada amanah. Kita boleh tengok contoh di Terengganu. (Malam ini) Saya diajak oleh untuk melihat stadium. Dalam keadaan gelap pun, saya dapat melihat kesan runtuhan stadium itu.

"Saya juga pernah pergi secara dekat untuk melihat serpihan-serpihan zink yang runtuh. Baru-baru ini saya menelefon rakan saya supaya tolong cari kontarktor yang membekal zink tersebut. Kawan saya tanya kenapa sungguh sangat YB? Saya kata kalau saya boleh cari zink yang seumpama dengan tu, boleh saya bagi kepada rakyat kampung saya, jimat banyak. Nipis zink daripada kertas,"jelasnya.

Menurutnya, kekayaan Malaysia tidak boleh digambarkan dengan perkatakan setakat mana kekayaannya kerana terlalu banyak hasil yang dikeluarkan.

Katanya, sejak kecil kita diajar, Malaysia adalah pengeluar hasil yang ternama didunia,

"Dari kecil kita belajar, hasil getah nombor satu di dunia, bijih timah Malaysia pengeluar nombor satu di dunia. Kita dengar bijih besi, Malaysia ada nombor dalam dunia. Kelapa, nenas dan rempah juga tidak terkecuali. Kelapa sawit sekarang nombor satu dalam dunia,

"Malaysia hari ini negara pengeluar minyak dunia. Tidak banyak negara yang diisytiharkan sebagai negara pengeluar minyak dunia. Dan jika diperhatikan negara-negara pengeluar minyak dunia ini, kesemuanya negara yang kaya-raya. Sebutlah negara mana. Iran, Iraq sebelum diserang. Kena serang kerana minyak. Mereka merupakan negara yang cukup kaya dengan minyak sebab itulah Amerika serang. Saudi Arabia, Kuiwait, Brunei yang berdekatan dengan kita,"jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Baru.

Oleh itu, katanya tidak wajar membandingkan negara kita dengan Singapura dan Thailand yang bukan negara pengeluar minyak.

Selain itu, katanya, dariapada negara-negara pengeluar minyak itu, mereka tidak ada hasil getah, tiada kelapa sawit, tiada bijih timah, tiada rempah, tiada nenas, tiada kelapa.

Namun negara-negara tersebut, katanya menjadi kaya raya hanya dengan hasil pengeluaran minyak sahaja, sehinggakan rakyatnya boleh belajar secara percuma dari kindergarten ke peringkat PHD.

Bukan itu sahaja, malahan katanya, bas-bas sekolah percuma datang ke rumah untuk hantar dan ambil anak-anak ke sekolah.

Justeru, negara kita Malaysia ini, katanya, dengan hasil pelbagai sumber dan juga hasil pengeluar minyak, ditambah pula dengan negara yang kecil serta rakyatnya tidak ramai, tiba-tiba boleh kerajaan Umno/BN tanpa malu dan segan mengatakan bahawa kerajaan Malaysia akan jatuh bankrap pada tahun 2019.

"Jadi hadirin sekalian, kenapa boleh jadi sebegini? Tidak lain dan tidak bukan, bukan setakat bodoh ditambah pula dengan jahat. Bagaimana boleh berlaku di Terengganu ni, bina stadium RM 323 juta. Ribut tiada, angin tiada, taufan tiada, banjir besar tiada, gempa bumi tiada, gunung berapi meletup tiada, tiba-tiba boleh runtuh.

"Bagaimana boleh runtuh masjid? Bagaimana boleh runtuh stesen bas? Bagaimana boleh runtuh universiti yang dalam proses pembinaan? Tak siap lagi dah runtuh. Boleh dilihat di dada-dada akhbar. Dan berapa banyak hospital yang saya baca daripada surat khabar kerajaan, yang dibina di Terengganu. Pembinaan hospital yang melibatkan perbelanjaan yang besar sebagai hospital specialist, tidak boleh digunakan di Terengganu sehinggan ke hari ini,"jelasnya lagi, membayangkan berapa banyak pembaziran yang telah dilakukan oleh UMNO/BN yang bukan sahaja bodoh tapi kerana jahat dan tidak amanah. -BO

Kempen bantah harga barang naik petang ini

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) akan menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai pada jam 5.00 petang ini.

Penyelaras Protes, Dr Mohd Hatta Ramli sebelum ini menjelaskan Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen itu diadakan kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya Kampung Kerinchi juga berdekatan dengan institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Malaya yang menjadi tumpuan aktiviti para pelajar.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai menyeru orang ramai menyertainya dan menjangkakan sekitar 1,000 orang akan hadir termasuk penghuni Projek Perumahan Rakyat di sekitar Kampung Kerinchi.

Protes bukan sahaja dianggotai parti politik tetapi juga disertai kesatuan sekerja dan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysua (Suaram), dan Jemaah Islah Malaysia (Jim) dan Kumpulan Budayawan Bertindak.

Ekoran kenaikan harga barang '5 dalam 1' pertengahan Julai lepas, Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan iaitu menghentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), menguatkuasakan dasar gaji minimum, kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan, menjelaskan bagaimana 'penjimatan' RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya. -Hrkh

Terdengar Suara Lingam: Correct, Correct, Correct

Keluarga V.K. Lingam tawar RM50,000 untuk maklumat tangkap pembunuh

Keluarga peguam Datuk V.K. Lingam menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan suspek dalam kes pembunuhan adik lelakinya Rajendram Velupillai, di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Puteri Puchong, Selasa lepas.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Lingam berkata mereka sekeluarga berasa sangat sedih dan terperanjat dengan pembunuhan Rajendram, 52, yang terkenal sebagai seorang yang alim dan gemar melakukan kerja-kerja di kuil.

“Kami sekeluarga dengan ini menawarkan RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya suspek yang terlibat dalam pembunuhan Raj (Rajendram),” katanya.

Menurut laporan, Rajendram dipercayai mati kira-kira pukul 3 pagi selepas dipukul tiga lelaki rentetan pertengkaran di sebuah kuil. Laporan itu yang memetik sumber berkata tiga lelaki berkenaan menuduh Rajendram mencuri duit tabung kuil dan mula memukulnya.

Semalam, media melaporkan polis telah menahan seorang suspek berusia 30 tahun dan sedang mengesan dua lagi yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Mengulas mengenai tuduhan terhadap Rajendram, Lingam berkata pihak pengurusan Kuil Avdiar Muniswarar di Bandar Puteri Puchong telah mengesahkan mendiang tidak terlibat.

“Mereka mengesahkan Raj tidak terlibat dalam sebarang kecurian membabitkan sumbangan kepada kuil sepanjang tempoh dua minggu setengah mendiang tinggal di sana.

“Mereka juga mengesahkan kutipan kuil sepanjang tempoh itu kurang daripada RM50, dan dikendalikan sepenuhnya oleh bendahari kuil,” katanya.

Lingam berkata mereka sekeluarga mahu melihat mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan. — Bernama

Ayat yang terakhir itu menggelikan hati.

Lingam berkata mereka sekeluarga mahu melihat mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.

Anda sendiri telah merosakkan dan meenyebabkan sistem kehakiman negara ini menjadi rosak binasa sehingga hakim-hakim tiada lagi menegakkan kebenaran dan keadilan, kii anda berharap pula untuk mencari keadilan di situ? Itu amat melucukan.

Jangan lupa, si hakim bedebah yang telah kamu rasuahkan, membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh kamu selaku peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan. Rakyat Malaysia tidak pernah dan tidak akan melupakan itu!

Kini kamu baru kehilangan anak, kamu sudah diumpama ayam yang terberak kapur, akan tiba masanya kelak kamu akan kehilangan semuanya - isteri, keluarga, pangkat, harta - waktu itu cubalah cari hakim manakah yang kamu boleh sogokkan lagi dan tabur ganjaran sebanyak mana kepada rakyat negara ini untuk mendapatkannya semula.

Lingam oh Lingam, terdengar sayup suara hatimu:

Correct, Correct, Correct! -GB

CHUA SOI LEK KENA BELAJAR ISLAM DENGAN PAS



Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merasa simpati dengan kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selaku Presiden MCA yang menyalahkan Islam kerana negara tidak maju. Kenyataan yang keluar daripada seorang yang kurang memahami Islam dengan lebih mendalam.

PAS menyeru kepada beliau belajarlah Islam daripada ahlinya dan rujukan asalnya. Dr Chua sudilah belajar Islam daripada ulama' PAS yang terdiri daripada ulama' yang beramal. Jangan belajar Islam daripada bukan ahlinya atau daripada musuh Islam. PAS juga menasihatkan kepada beliau supaya jangan melihat orang Islam yang memimpin negara ini, sebaliknya kena mengkaji Islam daripada sumber asal.

PAS tidak nafikan, Dr Chua tidak faham Islam kerana ia bersahabat dengan pemimpin Umno yang gagal menampilkan ciri Islam yang sebenarnya. Tentu beliau keliru dengan Islam yang dihayati oleh pemimpin Umno. Berlaku kecelaruan dalam fikiran beliau, mana satukah Islam yang sebenar. Kenapa pemimpin yang mendakwa diri mereka Islam tetapi terlibat dengan rasuah dan berbagai skandal yang memalukan orang Islam. Kenapa pemimpin yang mengaku diri sebagai seorang Islam isterinya tidak menutup aurat. Inilah yang disebut oleh hukamak "Islam terlindung oleh orang Islam sendiri"

PAS yakin bukan Dr Chua sahaja yang keliru tentang Islam, kerana orang Islam gagal menampilkan Islam secara praktikal. Alhamdulillah PAS telah berjaya memecahkan tembok fobia terhadap Islam dalam Pakatan Rakyat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

1001 Misteri Semasa Najib Jadi PM

Rakyat diseru menolak Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti apabila kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilihat kian lemas dengan pelbagai isu yang ditakrif sebagai misteri dan tidak terjawab selepas tsunami politik 2008.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata banyak persoalan yang melanda negara yang sehingga kini menjadi tanda tanya dan dianggap misteri disebabkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban tidak diamalkan oleh Umno-BN.

"Terbaru, kita dikejutkan dengan kematian dua orang pemimpin Umno yang dianggap misteri oleh media tapi sebenarnya banyak lagi perkara yang berlaku tetapi dibiarkan begitu sahaja tanpa jawapan yang sahih.

"Kita lihat apabila Najib pergi bercuti, secara tiba-tiba bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa berhubung skandal Pelabuhan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ), pada yang sama juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengkritik gagasan 1Malaysia, ini juga satu misteri," kata Shamsul kepada Suara Keadilan.

Menurut beliau, Umno-BN seolah-olah tidak boleh menyelesaikan banyak isu yang membabitkan negara menyebabkan pentadbiran Najib dianggap 'kerajaan penuh misteri'.

Kata Shamsul keadaan ini telah memberi kesan buruk kepada ekonomi negara dan negatif terhadap imej negara di peringkat antarabangsa.

"Banyak lagi perkara yang menjadi misteri seperti pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu apabila rekod kemasukkannya ke negara ini didapati hilang, malah motif pembunuhan yang sebenar juga masih tidak diketahui.

"Sama juga seperti kes terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga misteri kerana laporan perubatan serta keterangan saksi utama, Saiful Bukhari Mohd Azlan tidak diberi. Lebih misteri apabila Saiful menjalinkan hubungan intim dengan ahli pasukan pendakwa raya, Farah Azlina yang menyebabkan saksi hilang kredibiliti sekaligus kes tersebut sebenarnya boleh dibuang," tegas beliau lagi.

Tambahnya, apa yang berlaku jelas menunjukkan konspirasi politik apabila skrip yang sama pada 1998 diulang.

Pengadu, Azizan Abu Bakar, bekas pemandu Anwar yang menjadi saksi utama dalam perbicaraan Fitnah I ketika itu telah ditangkap khalwat bersama pasangannya pada 15 September 1999 menyebabkan kes tersebut menjadi pincang.

Ini kata Shamsul sekali gus membuktikan apa yang didakwa sebagai konspirasi untuk menamatkan karier politik Anwar adalah benar.

"Sebab itulah, orang luar memberikan pandangan mereka secara sindiran dan sinikal kerana mendapati perbicaraan terhadap Ketua Pembangkang itu tidak mengikut saluran dan lunas undang-undang yang betul seperti yang diamalkan oleh negara yang bertamadun," ujar Shamsul yang merujuk kepada kenyataan Al Gore dan Paul Wolfowitz dalam akhbar ekonomi berpengaruh di Amerika Syarikat, The Wall Street Journal yang meminta kes terhadap Anwar digugurkan segera.

Dalam artikel bertajuk "Malaysia's Opposition On Trial", Al Gore dan Wolfowitz mendesak kerajaan Malaysia meletakkan kepentingan hukum sebagai landasan dalam proses politik di mana elemen keadilan dan kebebasan saling bergantungan antara satu sama lain.

Menurut mereka lagi, ia adalah peluang terbaik bagi Malaysia membuktikan bahawa sistem keadilan negara ini mempunyai kapasiti untuk berbuat sesuatu yang betul bukan sahaja untuk Anwar tetapi juga bagi jutaan rakyat Malaysia yang melihat Anwar sebagai jurucakap kepada segala aspirasi mereka. -SK
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .