Ikuti Blog ini

'Bersihkan Malaysia' Pecutan Akhir Pakatan Ke Putrajaya

Pakatan Rakyat akan memasuki pusingan akhir dengan penyusunan agenda khusus dalam usaha membentuk momentum kebangkitan rakyat, ke arah merealisasikan harapan pakatan itu menggantikan BN ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dengan tema 'Bersihkan Malaysia', pakatan tersebut akan melakukan pecutan akhirnya di Alor Setar, Kedah pada 14 Januari ini menerusi Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3, dengan perlaksanaan pelbagai agenda sebagai hala tuju bersama parti-parti gabungannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemilihan tema "Bersihkan Malaysia" bagi konvensyen itu merupakan gambaran komitmen yang tinggi di kalangan parti-parti gabungan Pakatan Rakyat bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam negara sejak BN memerintah.

Menurutnya, dalam hubungan itu, tumpuan utama Pakatan Rakyat adalah terhadap persoalan krisis kepimpinan beramanah yang berlaku di dalam Kerajaan BN sehingga menyebabkan rakyat tertindas dalam pelbagai aspek.

Katanya, akibat krisis kepimpinan beramanah telah mencetuskan pelbagai krisis lain di negara ini termasuk krisis politik, ekonomi dan sosial.

"Semua itu telah menyebabkan negara berada dalam keadaan tidak sihat dan Pakatan Rakyat perlu mengatasinya dengan meletakkan kembali kepimpinan beramanah demi kepentingan negara serta rakyat dengan tindakan-tindakan yang tegas," katanya pada sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat, di sini, hari ini.

Pemilihan Kedah sebagai tempat konvensyen itu, menurutnya, berdasarkan pusingan, hasil persetujuan bersama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat untuk mengadakan program tersebut di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan pakatan itu.

"Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-1 telah diadakan di Shah Alam, Selangor pada tahun 2009, kedua di Kepala Batas di Pulau Pinang pada tahun 2010 dan kini tibalah pula ke Alor Setar di Kedah," jelasnya yang juga Pengerusi Induk Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menjelaskan, dengan itu dalam masa yang sama, semua pihak akan beralih tumpuan ke Kedah yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak, untuk dinilai perkembangannya yang jauh lebih baik berbanding negeri itu berada di bawah pemerintahan BN sebelum ini.

Pada konvensyen tersebut, beberapa kertas kerja akan dibentangkan oleh pembentang-pembentang kertas kerja yang berwibawa meliputi empat aspek terpenting terutama dalam konteks semasa termasuk perkhidmatan awam, federalism, ekonomi dan Felda.

"Kertas kerja mengenai aspek perkhidmatan awam yang melibatkan cadangan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dibentangkan oleh Datuk Husam Musa dari PAS, kertas kerja mengenai aspek federalism akan dibentangkan oleh Anthony Loke dari DAP.

"Manakala kertas kerja mengenai aspek ekonomi akan dibentangkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim dari PKR dan kertas kerja mengenai Felda pula akan dibentangkan oleh Haji Suhaimi dari PKR," tegas beliau.

Konvensyen tersebut akan berlangsung di Stadim Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Suka Menanti dengan melibatkan 600 perwakilan bagi setiap parti gabungan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP, bermula jam 8.00 pagi dan berakhir jam 5.00 petang, manakala pada sebelah malamnya akan diadakan Rapat Rakyat Perdana.

Pada acara Ucapan Pembukaan Pimpinan yang bermula jam 9.15 pagi, pemimpin-pemimpin yang akan berucap termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Senator Tunku Abdul Aziz, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Mulai jam 10.30 pagi pula, akan bermula acara Ucapan Suara Nurani Rakyat Malaysia yang dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul yang turut melibatkan wakil Felda, Siti Khalijah; wakil penjawat awam, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab; wakil Sabah, Tan Sri Simon Sipaun; wakil Sarawak, Nicholas Mujah; wakil budayawan, Dinsman; wakil akademik, Profesor Dr Nazari Ismail; wakil NGO, Datuk Ambiga dan wakil pemuda atau pelajar, Shukri Razab.

Mulai jam 11.45 pagi akan diadakan perbahasan perwakilan sehingga ke waktu rehat jam 1.15 petang yang akan disambung pula ke jam 2.30 petang dan akan disusuli dengan Pembacaan Ikrar Setia Para Perwakilan pada jam 3.00 petang.

Ini akan disusuli dengan ucapan penggulungan pimpinan yang dipengerusikan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dengan melibatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Karpal Singh; Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Acara Rapat Rakyat Perdana yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah bermula jam 7.00 malam dengan solat Maghrib dan Isyak berjamaah dan kemudian disusuli dengan ceramah oleh tokoh-tokoh penting Pakatan Rakyat.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Tan Seng Giaw, Tan Sri Khalid Ibrahim, Mohamed Azmin Ali, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Karpal Singh, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir pada sidang media itu, AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N Surendran dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai. -Hrkh



Tuanku perkenan, Exco ganti Hasan 18 Januari



SHAH ALAM, 13 Jan: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini memaklumkan perlantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang baru bagi mengantikan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali akan diadakan pada 18 Januari nanti di Istana Kayangan.
(Gambar: Khalid dalam sidang media di pejabatnya hari ini)
Beliau yang hadir pada sidang media selepas mengadap Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi tadi memberitahu pertemuan tersebut adalah bagi membincangkan status kedudukan Dr Hasan yang tidak lagi menjadi ahli PAS.

"Pagi tadi saya telah mengadap Tuanku Sultan untuk memberi taklimat mengenai status Dr Hasan sebagai ahli MMKN atau Exco.

"Dalam pertemuan itu saya telah mempersembahkan kepada Tuanku Sultan bahawa saya telah menerima surat rasmi dari PAS yang memaklumkan bahawa Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang bersidang pada 8 Januari yang lalu telah membuat keputusan memecat Dr Hasan dari menjadi ahli PAS berkuatkuasa serta merta," jelasnya.

Tambahnya Khalid lagi, memandangkan Dr Hasan bukan lagi ahli PAS, maka beliau tidak lagi boleh menjadi ahli MMKN dan Khalid telah menasihati Tuanku Sultan untuk membatalkan perlantikan beliau (Dr Hasan).

"Tuanku Sultan telah bersetuju dengan pendapat saya dan Baginda akan menulis surat pembatalan perlantikan Dr Hasan sebagai ahli MMKN.

"Pada masa yang sama, Tuanku Sultan telah menurunkan kuasanya pada saya untuk melantik ahli baru MMKN, dalam pada itu Baginda juga menasihatkan saya agar menjalankan tanggungjawab ini dengan bijaksana tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," sambungnya lagi.

Ketika ditanya mengenai calon yang bakal mengantikan Dr Hasan itu, beliau menjelas buat masa ini belum ada senarai calon yang diterima dan beliau akan bertemu dengan pemimpin PAS Pusat dalam masa terdekat bagi mengetahui nama yang dikemukakan oleh PAS nanti.

"Saya tidak menerima lagi nama calon dan ia bergantung kepada PAS, dalam pada masa yang sama saya akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin PAS Pusat bagi mengetahui nama calon yang dipersetujui oleh mereka.

"Manakala surat penamatan itu pejabat Tuanku Sultan akan serahkan pada Dr Hasan sebelum 18 Januari dan sebagai peraturan kerajaan negeri, beliau (Dr Hasan) perlu memulangkan segala kemudahan yang diberikan kepadanya dalam tempoh yang singkat ini," jelas Khalid lagi.

Sebelum itu perlantikan ahli MMKN yang baru akan disempurnakan di Istana Kayangan pada 18 Januari pada sebelah pagi, waktu yang tepat belum diputuskan lagi. -Hrkh

Tiada Siapa Mahu Namanya Dikaitkan Dengan Hassan Ali

Jumpa Hasan: Ismail Kamus mahu saman media

Bekas Adun Gombak Setia, Datuk Ismail Kamus menafikan dakwaan pihak media kononnya beliau hadir pada sidang media Datuk Dr Hasan Mohd Ali di Pinggiran Taman Tun Dr Ismail, 8 Januari baru-baru ini.

Beliau bertegas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak media yang melaporkan berita palsu itu, lapor Harakah cetak yang sedang dalam pasaran sekarang.

“Ketika sidang media Hasan, pada hari Ahad saya dimasukkan ke Hospital Pantai kerana demam panas dan pagi tadi (10 Januari) saya baru keluar hospital,” katanya.

Menurut beliau, tidak ada sesiapa yang menghubunginya untuk menghadiri sidang media Hasan.

“Ini amat mengaibkan saya. Saya dikata bersekongkol dengan Hasan, ini tidak cantik. Nama saya sudah dikotorkan,” kata Ismail Kamus, bekas Adun Gombak Setia itu.

Ismail yang juga Tokoh Maal Hijrah Selangor untuk tahun 1433/2011 itu menang kerusi Dun Gombak Setia dalam pilihan raya umum 1999 atas tiket PAS.

Buletin Utama TV3 dan Astro Awani dalam laporan mereka berkata, majlis Hasan Ali yang diadakan di rumah beliau selepas beliau dipecat turut disertai oleh Ismail.

Selain itu, timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Harun Din dan anggota Parlimen Baling Ustaz Taib Azamudin juga dilaporkan menyertai majlis itu yang turut disertai oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali itu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam menjelaskan, tiga pemimpin PAS itu tidak berada dalam majlis di rumah Hasan Ali itu.

"Ketika penjelasan itu diberikan, PAS mengesahkan bahawa Datuk Dr Haron Din sedang bermesyuarat Majlis Syura Ulamak di pejabat agung PAS, Ustaz Taib Azamuddin pula berada di China dan Ustaz Ismail Kamus sedang menerima rawatan,” terang Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan semalam. -HD


Hasan Ali semakin hampir menemui jalan mati


Beliau kini berada dalam keadaan yang sukar kerana tidak ada parti politik yang benar-benar berminat dengannya.


PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Dr Hasan Ali terus menimbulkan tanda tanya di kalangan para penyokong PAS serta pemerhati politik tempatan.


Jika semalam bekas pesuruhjaya PAS Selangor tidak hadir dalam mesyuarat mingguan exco kerjaan negeri, hari ini beliau gagal muncul di majlis sidang media yang diatur di rumahnya.


Bekas naib presiden PAS itu dipecat dari parti Ahad lalu ekoran beberapa siri serangan terhadap PAS termasuk ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Hasan diberi masa selama 30 hari untuk merayu tetapi difahamkan beliau belum berbuat demikian.


Perkasa hulur tangan


Beliau kini berada dalam keadaan yang sukar kerana tidak ada parti politik yang benar-benar berminat dengannya.


Hanya Perkasa yang menghulurkan tangan tetapi Dr Hasan sekadar mengucapkan terima kasih.


Timbul spekulasi bekas pensyarah UIA Dr Aziz Bari akan diletakkan bertanding di Gombak Setia dalam pilihan raya umum akan datang.


Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman tidak menolak kemungkinan tersebut.


Bagaimanapun, beliau mengganggap ia hanya spekulasi.


“Saya pernah bertemu beliau tetapi tidak berbincang mengenai soal calon,” katanya. -FMT

Demikian episod Hassan Ali. Betapa dasyat keadaannya dia sehingga tiada pemimpin PAS yang mahu namanya dikaitkan dengan beliau. Sampai ke peringkat itu sekali. Jangan tanya kenapa kerana masing-masing sudah mengetahui.

GB sudah lama meminta beliau dipecat. Pada tahun lepas lagi, GB mengulas begini:

Pecat segera Hassan Ali dari barisan pimpinan PAS dan barisan exco negeri Selangor. Kerana jika, tidak percayalah, kerajaan PR Selangor bakal runtuh di dalam PRU13 nanti. Sengaja membiarkan duri menyucuk dan bernanah di dalam daging yang kelak merebakkan parasit ke seluruh anggota badan.

Jangan sampai nanti sudah terhantuk baru nak tengadah.


Dan akhirnya Allah mendengar keluhan dan "permintaan" GB itu apabila pada 8 Januari 2012, PAS dengan rasminya memecat Hassan Ali bukan sahaja dari barisan pimpinan PAS tetapi dari keahliannya sekali.

Lalu GB ukirkan kata-kata begini

Alhamdulillah, akhirnya duri dalam daging itu akhirnya dapat dikeluarkan.

Semuga ketegasan PAS kali ini memberi pengajaran kepada yang lain terutama kepada saki-baki UG yang masih ada di dalam parti yang sebelum ini kelihatan menyokong Hassan Ali.


Kini cuma tunggu MB Selangor memecatnya dari jawatan exco. Pun masih tak lakukannya lagi sekalipun surat pemecatan Hassan Ali sudah pun diterima oleh MB Selangor di atas alasan mahu Hassan Ali letak jawatan sendiri. Jangan harapkan sangat keadaan sedemikian berlaku.

Dari dulu GB lihat MB Selangor ini masih memberi ruang kepada Hassan Ali ini. Tak tahu kenapa. Tak serik-serik lagikah? -GB

Rashid, Husam dedah misteri dakwat kekal PRU12


KOTA BHARU, Jan 13: Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.
(Gambar: Wacana Perdana di KTC malam tadi)

Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Menjawab Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan berdaftar sebagai pengundi.

“Jadi, kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan.

Mengenai persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar perlembagaan untuk membolehkannya.

“Sekarang Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah, kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.

Menjawab dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi. Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara mengundi.”

Dalam kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak melalui web e-fatwa di Internet.

“Tan Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.

Kemudian, exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.

“Pada 5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.

"Ketua Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah dipaksa berbohong,” selar Husam.

Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.

“Yang berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang lompang kepada sistem piliharaya ini.

"Yang lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.

“SPR kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.

Keterangan Rashid dipersetujui Husam.

“Setuju kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).” -Hrkh

Mengapa saya pilih jalan raya?


Apabila saya dihubungi editorial MerdekaReview untuk menjadi kolumnis jemputan, saya seakan tidak percaya; kerana lebih kurang 10 minit sebelum dihubungi oleh pihak editorial, saya baru sahaja menyatakan hasrat saya untuk menulis di akhbar dan portal agar segala pandangan dan buah fikiran saya dapat dinilai seadilnya. Bukan sekadar di medium Twitter atau Facebook. Tidak lama kemudian, saya mula termenung; apa harus saya tulis? Saya pernah terbaca pesanan seorang penggiat sastera yang mengatakan "pertama, kita harus tulis apa yang orang mahu, kemudian barulah kita tulis apa yang kita mahu,". Saya cuba untuk menuruti pesanan beliau. Puas saya fikirkan, akhirnya saya buat keputusan. Reaksi kepada soalan-soalan yang sering diajukan kepada saya, saya fikir, ramai yang ingin tahu dan baca; mengapa saya pilih jalan raya.


Tahun 1997 dan 1998 tentu sekali tahun penting dalam lipatan sejarah Negara kita kerana pada tahun itulah kita menyaksikan mobilisasi manusia yang disifatkan paling besar pernah berlaku dalam sejarah moden tanah air. Dari situ saya mengenali jalan raya sebagai medium sebenar menyampaikan suara dan isi hati rakyat yang setiap satunya mungkin tidak pernah pun merasai sejuk hawa dingin bangunan Parlimen mahupun Putrajaya. Saya masih ingat, ayah saya juga antara demonstran tegar ketika itu. Setiap pagi Sabtu beliau pasti akan turun ke kota. Dengan hanya berkemeja-t dan berseluar jeans, dengan motosikal buruknya beliau akan ke sana. Pernah saya mohon untuk bersama, tapi dihalang beliau. Katanya bahaya.

Lebih kurang sepuluh tahun kemudian, saya mula kenal jalan raya. Bermula dengan demonstrasi menuntut hak air rakyat Selangor, segala persoalan mengapa ayah saya turun ke tengah kota hampir setiap minggu sepuluh tahun lalu terjawab.

Di tengah-tengah keringat ribuan manusia, saya seorang diri asalnya. Saya tidak kenal langsung siapa yang berada di situ. Usai demonstrasi tersebutlah baru saya kenal beberapa rakan baru yang kini bersama dalam satu barisan bernama Solidariti Mahasiswa Malaysia. Saya masih ingat, ketika itu, berdepan dengan trak FRU, sebagai "first timer", logiknya pasti saya memilih barisan paling ke belakang sekali. Namun entah dari mana saya dapat keberanian untuk menjadi benteng hadapan. Sekali lagi diulangi, saya hadir seorang diri tanpa rakan yang dikenali. Namun aneh, saya tidak pula rasa keseorangan. Dengan bergandingan bahu bersama beberapa anak muda mahasiswa yang lain, kami berdepan dengan tembakan water-cannon. Kami tidak berganjak dari tempat kami. Sehingga akhirnya diserang oleh anggota keselamatan barulah kami mula mangambil langkah berundur. Itu antara kenangan yang masih saya simpan.

Sejak dari itu, saya sering kemaskini diri saya dengan berita-berita mengenai himpunan dan protes jalanan. Protes jalanan bagi saya sudah menjadi pentas mulia, dan juga cara yang mulia untuk memurnikan jalan raya. Akhirnya, jalan raya "disalahgunakan" dengan sebab yang baik, berbanding "disalahguna" dengan tujuan lumba haram, meragut, merompak dan sebagainya. Saya tidak faham dengan orang yang menentang orang yang memartabatkan jalan raya sebagai wadah ekspresi suara sebenar rakyat.

Maka kita datang ke persoalan sebenar; mengapa jalan raya? Tenang rakan-rakan. Jika dikupas satu persatu risalah sejarah, kita akan akhirnya bertemu dengan catatan-catatan mengenai kuasa jalan raya. Dari kurun ke 16 hingga ke Occupy, kita faham bahawa jalan raya telah banyak berjasa kepada rakyat berbanding parlimen! Tidak hairanlah Guy Fawkes suatu masa dahulu pernah ingin meletupkan bangunan Parlimen! Saya sering tekankan kepada rakan-rakan; parlimen hanya untuk 222 orang, sedangkan kita ada jutaan suara yang mahu didengari. Maka jalan raya adalah ruangnya. Ia terbuka, luas, dan pasti mendapat perhatian!

Kempen BEBAS yang menuntut kebebasan akademik misalnya, sering dirujuk sebagai anarki jalan raya yang tidak bertamadun dan hanya untuk membuat kacau. Di sini kita lihat, dan dibuktikan; bahawa hanya bila kempen ini digerakkan di jalan raya baru masyarakat dan pak-pak menteri mahu mengambil tahu tentang kempen ini. Mereka ini pasti tidak tahu bahawa sepanjang setahun kempen BEBAS digerakkan sejak awal 2011, sudah belasan gerak kerja dijalankan; dari siri debat, forum, wacana, pidato awam, termasuklah sidang-sidang video dan proses surat-menyurat. Siapa yang mahu dengar? Tiada siapa pun. Walau antara yang pernah dijemput hadir ke program kami itu termasuk nama-nama besar seperti Anwar Ibrahim, Saifuddin Abdullah, Hisham Rais, Fahmi Reza, dan Aziz Bari, ia tidak mampu mencuri perhatian orang ramai. Realitinya, masyarakat kita adalah masyarakat yang paginya dihidang dengan akhbar tabloid. Kisah-kisah sensasi sahaja yang mampu mencuri tumpuan masyarakat. Dan protes jalanan adalah salah satu dari sensasi yang gemar dibincangkan di kedai kopi.

Saya menemui jawapan terhadap mengapa harus turun ke jalan raya apabila saya sendiri turun ke jalan raya.

Andai kata tiada protes jalanan, mahukah semua pihak; kerajaan, pembangkang, media, akademia,imam surau, tok siak, sami, paderi, nelayan, petani, buruh, tukang masak, suri rumah, malah pelajar sendiri ambil perhatian terhadap isu-isu yang dibawa? Tidak kiralah samada BEBAS, BERSIH, GMA, PPSMI, ISA, Anti-Lynas, HIMPUN, OccupyDataran dan sebagainya. Demonstrasi, protes, himpunan, dan jalan raya kini terbukti sebagai medium terbaik dalam menyampai suara dan keringat masyarakat. Pada yang masih memandang jalan raya sebagai cara tidak bertamadun dan merosakkan ketenteraman awam, anda perlu muhasabah diri. Tanya kepada diri anda, adakah suara anda yang mengutuk demonstran ini didengari? Jika tidak, apa yang anda mahu buat? Mungkin anda harus cuba turun ke jalan raya juga.

*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Oleh Adam Adli

Datuk Jamil Khir Baharom Mesti Meletakkan Jawatan

1. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Yb. Datuk Jamil Khir Baharom dan Datuk Che Mat Che Ali Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan tidak boleh lari dari tanggungjawab setelah berdepan dengan dakwaan pecah amanah dan salah guna kuasa.  Paling ringan, tanggungjawab yang mesti diambil oleh mereka ialah meletakkan jawatan. Perletakan jawatan itu kelak akan memudahkan proses siasatan diambil apabila dakwaan rasmi telah dikemukakan ke atas salah laku mereka.

2. Menggunakan RM 63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman mereka mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah suatu perbuatan tercela justeru ia melibatkan wang milik asnaf yang sewajibnya diagihkan
[ Merujuk kepada laporan Ketua Audit :
a] 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.

b] Datuk Che Mat Che Ali  Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan [MAIWP] telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan Am pada 28 Januari 2010.   Geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.

c] MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.]

3. Timbul beberapa persoalan besar yang jelas bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab seorang pemegang amanah.

a] Mereka tiada hak dan kelayakan menggunakan wang zakat justeru mereka bukanlah asnaf yang berhak menerimanya . Persoalan dan kedudukan hukum ini akan saya jelaskan dalam kenyataan saya pada siri kedua nanti.

b] Berlaku Penyalahgunaan kuasa apabila yang meluluskan sejumlah wang zakat tersebut atas nama Setiausaha MAIWP kepada Pengarah JAWI untuk pembiayaan kos guamannya, sedang pemegang kedua - dua jawatan itu adalah orang yang sama iaitu Datuk Che Mat Che Ali.

4. Kelihatan Yb Datuk Jamil Khir cuba untuk melarikan diri dari isu ini apabila menuding kononnya ini adalah propaganda pembangkang. Sedang isu ini adalah jelas bagaimana beliau menggunakan wang zakat dan ternyata beliau tidak boleh menafikan kesohihan dakwaan tersebut.

5. Lebih kesal apabila mufti turut diseret oleh beliau  untuk mengeluarkan kenyataan mempertahankan kebathilan yang dilakukan oleh beliau selaku Menteri Agama iaitu orang yang bertanggungjawab terhadap amanah ummat Islam. Mufti selayaknya mengeluarkan kenyataan untuk memelihara dan memihak kepada kebenaran bukan mencari aqal untuk membebaskan salah laku mereka yang bertaraf menteri.

Tugas utama Mufti ialah jaga agama bukan  jaga menteri.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Terkini!! Mantan Pengarah Kastam Sertai PAS


Kakitangan kerajaan lebih memahami apa yang berlaku dalam situasi politik negara, terutama yang berjawatan, cuma sama ada mereka ada atau tidak sikap tanggungjawab dan faham apa itu perjuangan untuk menegakkan kebenaran untu rakyat...Terkini menurut laporan twitter Naib Presiden PAS Dato Mahfuz Omar, seorang lagi pesara Kerajaan iaitu Bekas Pengarah Kastam Negeri Kedah Haji Ishak telah menyerah borang keahlian PAS.

Moga-moga ini sebagai satu lagi ransangan dan kepercayaan rakyat Malaysia terutama yang berugama Islam ingin sama-sama berjuang bersdama-sama dengan Parti PAS ~manjungmari

Tuan Guru Nik Aziz Kerja Untuk Agama


“Saya bekerja ni untuk itulah, untuk meluaskan bingkai agama, jadi melalui usia yang panjang inilah saya boleh melakukannya,” kata Tuann Guru Datuk Nik Abdul Aziz kepada Harakahdaily selepas majlis meraikan harijadi beliau ke 81 hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu hari ini begitu terkejut apabila majlis keraian diadakan untuknya sempena menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-81, yang jatuh pada 10 Januari.

Mursyidul Am itu juga tidak menduga acara itu dibuat sedemikian rupa yang tidak dimaklumkan terlebih dahulu padanya sebelum ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas menjamu selera sempena majlis keraian itu yang diadakan di pejabatnya hari ini.

Majlis itu diadakan selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini.

Semalam (10 Januari) Nik Aziz berpuasa tanda kesyukuran ekoran pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari pertuduhan meliwat.

“Saya hanya diberitahu oleh setiausaha saya hari ini ada jamuan, itu sahaja,”ujarnya sambil tersenyum ceria.

Menurutnya, beliau tidak pernah menyambut hari ulangtahunnya sendiri selama ini.

Tambahnya, hanya setiap hari beliau berdoa semoga usia yang diberikan Allah setiap hari itu dapat dimanfaatkan dengan baik khususnya untuk berdakwah semoga rakyat Kelantan termasuk Malaysia menggunakan Islam yang syumul, bukan hanya separuh sahaja.

Katanya, Islam separuh hanya disebarkan oleh orentalis barat seperti agama dan politik perkara yang berasingan yang akhirnya ditelan oleh umat Islam pelbagai bangsa di dunia ini.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa, Datuk Meja (B) Md Anizam Abdul Rahman, Datuk Abdul Fatah Mahmood.

Turut meraikan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Fauzi Che Mamat dan lain-lain pimpinan.

Dokumen Teperinci Dedah Seleweng Wang Zakat: PKR Takkan Lepaskan Jamil Khir & MAIWP

Petaling Jaya : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan dokumen bukti dakwaan berlakunya salahguna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang selama ini dinafikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan membuat satu laporan polis dan menyerahkan dokumen terperinci berkaitan kes ini di Balai Polis Dang Wangi esok.

"Pertama ialah set dokumen daripada MAIWP sendiri termasuk baucer bayaran bernombor 2010B4112 bertarikh 29 April 2010 sebanyak RM32,150. Baucar tersebut secara terang merakamkan kumpulan wang yang digunakan merupakan kumpulan wang zakat.

"Keduanya merupakan surat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Negara, Datuk Seri Azmi Khalid yang mengesahkan bahawa RM63,650 wang zakat iaitu bayaran pertama sebanyak RM31,500 pada 9 Februari 2010 dan bayaran kedua berjumlah RM32,150 pada 29 April 2010 digunakan bagi membayar kos guaman MAIWP," katanya.

Dalam baucar bertarikh 29 April 2010 tertera nama Zainul Rijal Talha & Amir selaku penerima baucar atas perihal transaksi dengan penerima berhubung bayaran guaman Kes Datuk Seri Anwar Ibrahim melawan Shahsuddin Hussain, Datuk Che Mat Che Ali dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Turut dinyatakan adalah kumpulan wang zakat dan bank pembayar Bank Islam Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Jamil Khir berulang kali menegaskan bahawa MAIWP mempunyai peruntukkan sebanyak RM700,000 daripada kerajaan bagi menampung pelbagai bayaran termasuk kos guaman.

"Laporan Ketua Audit Negara menyebut wang itu dipulangkan semula pada Disember 2010 kira-kira enam bulan selepas peruntukkan tersebut disalurkan ke dalam MAIWP. Jamil langsung tidak menyebut tentang hal ini," jelas beliau.

Nik Nazmi turut menafikan dakwaan laporan Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu yang memtik Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Audit Negara bahawa isu salahguna zakat ini tidak dilaporkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebaliknya PKR merujuk kepada surat Ketua Audit Negara kepada Jawatankuasa Kira-Kira Negara.

Beliau turut menyatakan kesedian untuk bertemu dengan Datuk Jamil Khir Baharom bagi membincangkan perkara ini jika dijemput berbuat demikian. 



Nyonya ini berpuasa kerana pembebasan Anwar !!...


oleh Lim Hong Siang

Sungguhpun di luar jangkaan, namun tidak kurang yang terharu dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah dan dibebaskan dalam kes liwat 2. Dari klip video yang dimuatkan ke laman Youtube, seorang lelaki India kelihatan menangis (minit 3.32) apabila Naib Presiden PKR Tian Chua mengumumkan keputusan itu di luar mahkamah kepada khalayak ramai.

Seorang lelaki Melayu, Kamarul Hatta (gambar kiri, kedua dari kiri) mencukur rambutnya selepas kemenangan memihak kepada Anwar Ibrahim di penghujung perbicaraan yang menelan masa kira-kira tiga setengah tahun. Malah, seorang wanita Cina, Tuw Ah Mei, 71, telah mengambil keputusan untuk berpuasa selama lima hari, kerana hajatnya agar Anwar dibebaskan termakbul.

Tuw Ah Mei seorang buddhist, dengan empat orang anak dan sembilan orang cucu. Beliau turun untuk perhimpunan 901 di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada awal pagi 9 Januari, sambil membawa mesej menentang pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan.

Menurut Ketua Ranting PKR Air Putih, Lee Chean Chung, yang melawat Tuw Ah Mei bersama Kamarul Hatta di rumahnya pada hari ini, ianya bukan kali pertama Tuw Ah Mei "berpuasa". Sebelum ini, Ah Mei pernah mogok lapar apabila Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP sekarang dijatuhkan hukuman penjara. Beliau mengulangi protesnya ketika zaman Reformasi, apabila Tian Chua dan rakan-rakan perjuangnnya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berbeza dengan dua kali yang lalu, Ah Mei (gambar kanan) bukan "mogok lapar" kali ini, tetapi "berpuasa" kerana beliau telah bersembahyang, mendoakan agar Anwar dibebaskan. Beliau berjanji untuk berpuasa selama lima hari, seandainya hajatnya termakbul. Ketika dihubungi MerdekaReview, Chean Chung berkata Ah Mei kini dalam keadaan yang baik, meskipun telah berpuasa sejak 9 Januari, dengan hanya minum air kosong. Mereka menasihat agar Ah Mei memendekkan tempoh tersebut, memandangkan usianya yang lanjut, tetapi Ah Mei tetap dengan keputusan asalnya.

Ah Mei seorang anggota DAP, sebelum menjadi aktivis yang bergiat aktif di Kuantan. Beliau pernah mencukur kepalanya, sebagai tanda protes apabila Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Damansara ditutup pada tahun 2001. Beliau juga pernah mencukur rambutnya, meraihkan kemenangan calon PKR Fuziah Salleh di Kuantan, dalam PRU 12 pada tahun 2008.

Chean Chung berkata, sudah banyak kali Ah Mei mengulangi bahawa dirinya tidak mahu lagi terlibat dengan aktiviti sebegini, kerana usianya yang lanjut. Namun, akhirnya Ah Mei tampil ke depan juga, apabila mendapati tagak kurang orang berbuat demikian, khususnya dari kaum Cina dan wanita. Menurut Chean Chung, Ah Mei sentiasa berada di barisan paling depan dalam protes jalanan, mendakwa dirinya sudah tua - dan tidak mengapa seandainya sesuatu terjadi kepada dirinya.

Hasrat seorang lagi 'Bob' ingin sertai Pas








Sudah lebih seminggu sambutan tahun baru 2012 yang diadakan di Dataran Shah Alam meninggalkan satu fenomena yang hebat. Sambutan meriah yang turut dihadiri oleh artis-artis yang 'jiwa' mereka dekat bersama gerakan Islam.

Rupa-rupanya masih ramai lagi artis-artis di luar sana yang ingin bersama-sama dalam gerakan Islam ini. Walaupun menjalani kehidupan yang serba-serbi menyeronokkan - sentiasa bersosial dan berhibur.

Namun apabila mereka kembali ke rumah dan berfikir, ramai di antara mereka yang merasakan ada kekosongan dalam diri mereka. Antara artis yang mengkagumi Ust Azhar Idrus adalah Bob Kuman.

Bob Kuman atau nama sebenarnya Husni Mohd Rawi memperolehi nombor telefon Ust Azhar Idrus daripada Zizan dan telah menghubunginya baru-baru ini ketika berada di dalam hospital.

Mengakui telah mengikuti siri kuliah dan ceramah Ust Azhar Idrus melalui internet sejak setahun yang lalu, akhirnya beliau berjaya bercakap dan berbual dengan Ust Azhar Idrus sendiri.

Di dalam perbualannya itu, Bob menyampaikan hasrat hati ingin berada bersama-sama dalam gerakan dalam Islam tetapi sentiasa ada halangan.

Lebih menarik lagi, beliau turut memaklumkan bahawa bapanya sendiri merupakan penyokong kuat PAS suatu ketika dahulu dan pernah di rumah mereka menjadi markaz PAS.



Bapa Bob Kuman, Hj Mohd Rawi merupakan penyokong kuat PAS

Berdasarkan sambutan dan sokongan yang diterima oleh Ust Azhar Idrus daripada kalangan artis, Ust Azhar telah menyeru kepada orang ramai supaya berdoa kepada Allah, semoga membuka hati orang-orang hiburan seperti ini supaya peminat-peminat mereka akan turut mengikuti jejak langkah mereka (artis) yang ingin mendekati kepada Islam. -sumber

UMNO Malu Nak Pelawa Hassan Ali, Hassan Malu-malu Nak Sertai UMNO

UMNO tak tawar keahlian kepada Hasan Ali

PUTRAJAYA - UMNO tidak membuat apa-apa tawaran keahlian kepada anggota Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali yang dipecat oleh Pas kelmarin, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO ketika ditanya kemungkinan Hasan menyertai UMNO berkata, sebagai pemimpin bijak dan berpengalaman, Hasan boleh memilih mana-mana parti politik yang dianggap sesuai dengan perjuangannya.

"Kita (UMNO) tidak terburu-buru dalam hal ini malah kita tidak membuat apa-apa tawaran pun. Mungkin dia (Hasan) dapat fahami secara dalam apa Pas sebenarnya. -kosmo

Pintu Umno sentiasa terbuka

PUTRAJAYA: “Umno sentiasa terbuka kepada sesiapa saja kalau mereka minat dan yakin dengan perjuangan kita, maka terserahlah kepada individu berkenaan untuk menilai,” kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mengulas sama ada Umno akan membuka pintu parti itu sekiranya bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali berminat menyertai Umno.

Menurutnya, sekiranya Dr Hasan berpendapat Umno landasan terbaik untuk memperjuangkan Islam, beliau boleh membuat keputusan sewajarnya.

Namun, katanya, parti tidak pernah membuat sebarang tawaran kepada Exco Selangor itu untuk menyertai Umno.

“Agak terlalu awal, nanti orang kata Umno terburu-buru, esok adalah keluar dalam blog nanti kata Umno terburu-buru, seolah-olah tak ada pemimpin lain...Saya perlu berhati-hati bila nak cakap begitu. “Seperti diketahui, Umno sentiasa terbuka pintunya kepada sesiapa saja. Kalau Datuk Hasan Ali kata mungkin sekarang ini jiwanya sebati dan faham perjuangan Umno, maka kita mungkin sehaluan dalam soal itu, jadi terserahlah kepadanya,” katanya.

“Tetapi ini tidak bermakna kenyataan saya ini kata ghairah sangat... nanti ada orang salah anggap, media pun nanti lapor begitu, tapi (yang penting) kita sikap terbuka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perutusan Khas Amanat Tahun Baru Kementerian Pelajaran 2012, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama, kedua-dua timbalannya, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Dr Mohd Puad Zarkashi; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Rosli Mohamed dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud. -hm

"Baiah" dah lepas Hassan. Tak perlu gusar lagi. Jangan malu-malu untuk sertai UMNO. mana tahu jika UMNO sudi turunkan kamu sebagai calon PRU nanti. -GB

Putera Idaman menulis diFBnya:

1. SAYANG....Semangat Islamnya tinggi tapi kurang memahami fiqh politik..Nak bawa Islam mesti penuh strategi...

2. PAS memecat Dr Hassan Ali bukan kerana DAP, bukan kerana 901, bukan kerana soal Anwar, tetap beliau telah membelakangi 'manhaj' dan disiplin parti, beberapa kali membuat kenyataan terbuka yg mengkritik pandangan dan dasar parti walaupun sudah diberi amarah berkali2.....NAMUN PAS tetap beri peluang utk membuat rayuan...kalau beliau ikhlas bersama jemaah, beliau akan kembali membuat rayuan..jika tidak??...faham2lah sendiri...

3. Syeikh Qaradhawi, Muhd Al Ghazali, Syd Sabiq dll pernah diambil tindakan oleh Ikhwan Muslimin. Namun mereka menunjukkan keikhlasan dan kekal bersama pjuangan Islam hingga penghujung usia...Ketika Muhd Al Ghazali dipecat, Hasan Hudhaibi berkata:

"Kami memecat beliau bukan sebagai menafikan ilmu dan tawadhu'nya, tetapi kepentingan menjaga disiplin dalam kerja jamaah adalah diutamakan."

4. Barbalik persoalan pemecatan keahlian ini, PAS tak pernah gugurkan perjuangan Islam. Tapi hanyalah strategi seperti mana strateginya Nabi Saw membawa Islam sehingga terpaksa gugurkan Kalimah Bismillah dan Rasulullah dlm Perjanjian Hudaibiyah.

5. Gugur kalimah bukan bererti gugur perjuangan...Gugur kalimah 'islamic State' dan swing kepada 'welfare state' hanya semata2 strategi yg langsung tak bercanggah dgn Islam..

6. Insyaallah, Majlis Syura Ulama' dipenuhi tokoh agama dan orang2 alim, mereka pastinya arif dan sudah melakukan 'istikharah' sebelum membuat keputusan..

7. Pada HASSAN ALI, anda boleh perjuangkan perjuangan dan cita2 anda melalui NGO, luar drpada PAS...sbb PAS ada perlembagaan, PAS bukan milik individu, tapi jemaah, kena faham fiqh politik dan adab jemaah kalau nak sertai haraki PAS...lepas ni kalau nak pakai tv3, Utusan Malaysia hari2 pun xpa...=)

AMK cabar Perkasa nafi insiden letupan


NONE

PETALING JAYA 11 Jan: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) menafikan penglibatan mereka dalam insiden letupan berhampiran Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta Isnin, lalu.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengulas laporan utama akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Peserta Bawa Bom’ yang mendakwa tiga butir bom buatan sendiri itu adalah milik peserta perhimpunan Bebas Anwar 901.

Menurut Shamsul, laporan berita yang kononnya memetik sumber polis itu jelas bersifat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan imej penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita semua sedia maklum bahawa penyokong-penyokong Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan terdiri daripada beberapa orang ahli Perkasa turut berada berhampiran dengan lokasi di mana letupan bom tersebut berlaku.

“Sebelum daripada itu, Presiden Perkasa Dato’ Ibrahim Ali turut membuat kenyataan kepada pihak media bahawa Perkasa akan turun untuk melakukan provokasi pada perhimpunan Bebas Anwar 901. Apakah wujud kemungkinan bahawa insiden letupan tersebut didalangi oleh ahli Perkasa?,” soal beliau.

AMK juga katanya, mendesak akhbar Utusan Malaysia mendedahkan identiti ‘sumber polis’ yang dikatakan mendakwa tiga butir bom berkenaan milik peserta perhimpunan tersebut.

Katanya lagi, adalah pelik apabila polis sendiri masih belum mengumumkan hasil siasatan, tetapi akhbar Utusan Malaysia telah melaporkan ‘hasil siasatan’ mereka sendiri yang kemudian diolah menjadi berita fitnah dan propaganda jahat.

“Berdasarkan pemantauan pihak AMK pada pagi tersebut, peserta perhimpunan hanya dibenarkan masuk ke kawasan kompleks mahkamah seawal jam 6.30 pagi dengan dikawal ketat oleh pihak polis.

“Pihak polis turut memeriksa beg setiap peserta perhimpunan yang masuk ke perkarangan kawasan sekitar kompleks mahkamah dan kemudiannya meneruskan kawalan sehingga perhimpunan bersurai,” kata beliau.

Justeru, katanya, AMK akan menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Kuala Lumpur supaya mengumumkan hasil siasatan polis dan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden yang menyebabkan beberapa peserta perhimpunan mengalami kecederaan. -KD

Hebat Apek nii..(Video) "Biar Makan Ubi,Janji senang hati."..


Datuk Dr .Haron Din minta Hasan Ali rayu


Hassan Ali

HASLINA KAMALUDIN

SHAH ALAM – Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din minta Datuk Dr Hasan Ali membuat rayuan berhubung keputusan parti memecat beliau berkuat kuasa, Ahad lalu.

Di bawah perlembagaan parti, Hasan ada tempoh 30 hari untuk mengemukakan rayuan.

"Dr Hasan masih diberikan ruang untuk kekal bersama Pas," kata Haron, pemimpin kedua tertinggi dalam badan pembuat keputusan, Majlis Syura Ulama Pas selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bagi Haron, buat masa ini, Hasan wajar menunggu surat rasmi pemecatan daripada parti.

"Selepas itu, beliau boleh buat rayuan. Saya secara peribadi mahu Dr Hasan buat rayuan," katanya.

Menurut Haron, soal ahli keluar masuk parti, sama ada dipecat ataupun undur sendiri adalah perkara biasa.

"Memecat ahli tidak memberi apa-apa kecacatan, sebaliknya ada signifikan terhadap semua ahli. Mereka masih boleh gunakan saluran yang ada untuk pertahankan diri. Kerana itu, adanya Majlis Syura untuk kita buka semula kes dan dengar hujah mereka selepas sesuatu tindakan diambil," katanya.

Selain itu, kata Haron, tindakan memecat juga dapat mendidik semua ahli untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan.

Menurutnya, kenyataan yang selari dengan garis panduan dan perjuangan parti tidak akan memberi apa-apa kesan yang negatif.

“Bukan tidak boleh bersuara, tetapi jangan berlawanan dengan parti. Jika sedikit, ia boleh dimaafkan, tetapi jika memudaratkan parti tiada amaran atau teguran, sebaliknya terus dipecat.

“Ini kerana tindakan yang seperti itu boleh mengundang masalah kepada parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Che Rosli Che Mat pula berkata, pemecatan Hasan bagaimanapun tidak menjejaskan Pas.

“Sejak dulu, Pas tidak pernah tersasar dari landasan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

“Pengurusan baru Pas kini memperlihatkan perbezaan, apatah lagi dengan ulama yang kini sudah boleh duduk semeja dengan mereka yang profesional.

“Pas sudah mengorak langkah. Jika dahulu, Pas bergerak sendiri dan kini sudah bergabung dengan parti lain.

“Mungkin gabungan ini membuatkan ramai terfikir Pas sudah pincang sedangkan misi dan objektif Pas masih sama,” katanya.

Laporan Harakahdaily kelmarin menyebut PAS telah menghantar surat pemecatan Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, telah pun diserahkan kepada beliau.

Surat itu ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali.

"Melalui surat itu, kita telah nyatakan beliau telah dipecat sebagai ahli namun dia berhak membuat rayuan kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari," kata Mustafa.

Mesyuarat ahli jawatankuasa kerja Pas pusat membuat keputusan memecat Hasan, Ahad lalu berdasarkan Fasal 82(9) Perlembagaan parti.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .