Ikuti Blog ini

Anggota 'task force' pengundi warga asing didedah



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar (gambar) mendedahkan wujudnya 'task force' yang bertanggungjawab memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.

Menurut Mahfuz 'task force' tersebut diketuai oleh Penasihat Khas Perdana Menteri Datuk Osman Razak, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Datuk Tajuddin Wahab, dan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bukan itu sahaja, Mahfuz turut mendedahkan beberapa pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dikatakan terlibat sama antaranya, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Jariah, Nik Norashikin Nik Mansur, Rashid Basiron, dan Shahrul Anwar Ahmad Zahidi,

Jelas Mahfuz, isu ini amat serius seolah-olah memperlihatkan kerajaan mahu menjual negara kepada rakyat asing.
"Kerajaan BN tidak boleh berhadapan dengan politik terdesak dengan mengatasi, membawa warga asing untuk mengundi BN.
(Wan Ahmad [kiri] dan Tajuddin Wahab, dua tokoh penting di belakang task force, dakwa Mahfuz)
"Apabila lonjakan kebangkitan rakyat negara ini mahu menolak BN, tidak boleh diatasi dengan membawa warga asing untuk diberikan kerakyatan bagi memastikan mengundi Umno BN. Ini sangat berbahaya!" katanya.
Kebimbangan ini, katanya akan menafikan hak rakyat di mana hak itu diboloti oleh warga asing akhirnya masa depan negara akan di tentukan oleh mereka.

"Saya percaya keputusan rakyat selepas ini akan dimanipulasi oleh warga asing," katanya dalam sidang media hari ini di bangunan Parlimen.

Katanya, kerajaan boleh memanggil ketiga-tiga mereka serta pegawai JPN berkenaan bagi menjawab dakwaan itu melalui Suruhanjaya Diraja yang dibentuk.

"Sebab itu kita desak kerajaan bentuk Suruhanjaya Diraja bagi menjawab segala dakwaan yang timbul dan suruhanjaya itu boleh memanggil mereka yang terlibat.

"Kalau sekarang hendak panggil mereka, siapa yang berani? Perdana Menteri pun tidak," katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya Diraja amat penting dibentuk dengan segera bagi mengenalpasti tentang semua dakwaan yang dibuat berhubung pemberian taraf kerakyatan bagi membolehkan warga asing mendaftar dalam daftar pemilih.

Mahfuz berkata, suruhanjaya ini harus di bentuk sebelum pilihan raya umum ke-13.

"Sebelum report dikemukakan kepada awam pilihan raya ke-13 tidak boleh diadakan sama sekali," katanya.

Peserta Bersih 3.0 dijangka lebih ramai




KUALA LUMPUR, 4 Apri: Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria (gambar) berkata, himpunan Bersih 3.0 di buat adalah tindak balas terhadap keputusan yang dibuat pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Panglima Pandikar Amin Mulia menolak laporan minoriti dan meluluskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa dibahas membawa kepada perlaksanaan himpunan tersebut.

"Kita kesal dengan apa yang berlaku semalam dan tindakan memutuskan himpunan bersih itu adalah sebagai bantahan rakyat terhadap apa yang berlaku dalam desakan rakyat untuk melihat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih dan telus.

"Tetapi sebaliknya berlaku, yang mana Speaker memutuskan untuk tidak mendengar laporan minoriti yang jelas mempunyai bukti-bukti terhadap ketidaktelusan SPR dalam memastikan daftar pemilih benar-benar bersih," jelasnya di lobi Parlimen.

Beliau menjangkakan penyertaan rakyat pada kali ini akan melebihi apa yang berlaku pada Bersih 2.0 sebelum ini.

"Dulu sewaktu Bersih 2.0, pemimpin Pakatan Rakyat dan juga pihak penganjur masih belum yakin bahawa rakyat akan datang dengan begitu ramai apatah lagi bila terdapat ugutan-ugutan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Tetapi untuk kali ini saya yakin penyertaan rakyat akan melebihi Bersih 2.0 kerana rakyat sudah bosan dengan sikap yang ditunjukan oleh kerajaan terutamanya sikap dolak dalik kerajaan serta SPR yang enggan membersihkan senarai nama pengundi di dalam daftar pemilih," sambungnya lagi. -Hrkh

Rumah dan Kereta Ketua Pemuda Pas disimbah Cat

Rumah, kereta dilempar cat
JOHOR BAHRU – Beberapa individu tidak dikenali bertindak liar dengan melempar bungkusan berisi cat berwarna hitam ke arah kediaman Ketua Pemuda Pas Johor Bahru, Mohd Ariff Mt Hassan di Jalan Padi 2, Bandar Baru Uda di sini, semalam.

Mohd Ariff berkata, dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, kira-kira 20 motosikal ditunggang perlahan di hadapan rumahnya sebelum dicampak cat berwarna hitam.

“Kebetulan ketika itu saya belum tidur. Curiga dengan kehadiran motosikal berkenaan, saya mengintai daripada tingkap dan ternampak seorang lelaki bertopi keledar melontar satu bungkusan,” katanya.

Menurutnya, beliau sempat keluar dan menjerit ke arah lelaki berkenaan sementara beberapa lagi penunggang motosikal bertindak melemparkan bungkusan berisi cat ke arahnya sehingga mengenai kereta dan dinding rumah.

“Saya cuba mengejar, namun mereka memecut laju. Saya bersyukur tiada sebarang kejadian buruk berlaku,” katanya yang tinggal bersama isteri dan empat anak.

Mohd Ariff berkata, beliau yakin ia satu tindakan provokasi oleh pihak tertentu dalam usaha menggagalkan ceramah yang dihadiri Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, malam semalam.

“Sebelum ini lapan kain rentang dipasang di sekitar bandar raya ini dicantas pihak tidak bertanggungjawab,” katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Tampoi pada hari sama.

Menurutnya, walaupun kejadian berkenaan berlaku kurang 24 daripada masa ceramah itu berlangsung, ia tetap diteruskan dan diadakan di kediamannya yang juga Pejabat cawangan Pas Bandar Baru Uda.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas negeri, Syed Othman Syed Abdullah menyifatkan kejadian berkenaan didalangi oleh individu tidak bertamadun kerana berasa tergugat kewibawaan Mat Sabu.

“Saya minta tindakan provokasi seperti ini dihentikan. Bagaimanapun kami tidak akan sesekali membatalkan ceramah yang turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan mengesahkan kejadian terbabit manakala kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

ADUN Kuala Nerang, Syed Sobri Akhirnya Mengaku Sendiri Beliau Muflis

Alor Setar - Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim malam tadi mengumumkan dirinya muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu berkata, hutang tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn Bhd, disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada masa itu.

Bagaimanapun, negara mengalami kegawatan ekonomi ketika itu dan syarikatnya gagal disenaraikan, menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang berkenaan, Syed Sobri pada majlis perjumpaan dengan kira-kira 300 anggota dan pemimpin akar umbi Umno bahagian itu di rumahnya malam tadi bagi menjelaskan kedudukan sebenar.

Beliau berkata pada Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengisytiharkannya sebagai muflis.

Syed Sobri berkata pemimpin Umno telah dimaklumkan mengenai perkara itu, begitu juga dengan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang ditemuinya semalam.

Beliau berkata Azizan tetap menyuruhnya hadir pada persidangan Dewan Negeri Kedah yang akan bermula 17 April ini.

Bagaimanapun, Syed Sobri tidak akan berbuat demikian kerana berdasarkan undang-undang negeri, beliau telah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan statusnya sebagai muflis.

Perkara 47(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan negeri Kedah menyatakan seorang anggota Dewan Negeri hilang kelayakan jika ia seorang muflis yang belum dilepaskan.
Pada Pilihan Raya Umum 2008, Syed Sobri yang bertanding buat pertama kali telah menewaskan calon PAS Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi. - Bernama

Bersih 3.0 pada 28 April di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR, 4 April: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sekali lagi akan mengadakan himpunan besar-besaran Bersih 3.0 pada 28 April ini.

Ianya akan diadakan jam 2 petang bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perkara itu akan diumumkan jawatan kuasa pemandu NGO itu pada satu sidang media di sini, pagi ini. -Hrkh

Tindakan Pandikar Tolak Laporan Minoriti & Halau MP Pakatan Dikecam


Tiga MP pembangkang diarah keluar dewan

Tiga ahli parlimen pembangkang diarah keluar Dewan Rakyat hari ini kerana enggan mematuhi arahan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung isu laporan minoriti.

Mereka mempersoalkan keputusannya tidak membenarkan laporan minoriti dilampirkan kepada laporan jawatankuasa pilih parlimen (SPA) bagi reformasi sistem pilihan raya.

"Di bawah Perintah Tetap 42, apabila speaker bercakap, anda mesti diam," Pandikar memberitahu mereka.

"Di bawah Perintah Tetap 43, keputusan speaker tidak boleh dipersoalkan... dan di bawah Perintah Tetap 44, saya mengarahkan Gombak (Azmin Ali), Subang (R Sivarasa) dan Kuala Selangor (Dzulkefly Ahmad) meninggalkan Dewan."

Pandikar baru sahaja mengambil alih tugas mempengerusikan sidang Dewan daripada timbalannya, Datuk Ronald Kiandee, apabila beliau memerintahkan mereka meninggalkan Dewan.


Sivarasa bangun selepas waktu rihat tengah hari untuk meminta panduan daripada Kiandee mengenai kemungkinan Pandikar silap dalam keputusannya berhubung laporan minoriti.

Kiandee enggan melayan permintaan tersebut, tetapi Sivarasa, tidak putus asa - dengan dibantu oleh celahan daripada Azmin dan Dzulkefly - terus membangkitkan perkara itu.

Mereka membangkitkan duluan-duluan di mana laporan minoriti telah dibentangkan dalam Parlimen negara Komanwel yang lain.

Kiandee (lamam) bertegas bahawa keputusan Pandikar juga dibuat berdasarkan duluan dan amalan yang diterima di Parlimen New Zealand dan negara Komanwel yang lain.

Keadaan menjadi riuh-rendah apabila ahli Parlimen pembangkang terus mendesak perkara itu. -mk


Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh


KUALA LUMPUR, 3 April: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.


Ianya berlaku ketika Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari ini di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.


Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pagi tadi.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).



Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti pagi tadi hanya atas sebab tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.


Sedangkan pagi tadi mereka telah mengemukakan bukti ianya pernah dibuat termasuk di Jamaica, New Zealand, United Kingdom dan termasuk di House of Common sendiri.


Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.


Ketika itu dewan sudahpun kecoh dengan perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN yang mempertahan keputusan Speaker.


Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.


Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.


Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh anggota parlimen Pakatan Rakyat.


Anwar juga mendakwan Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya beramai-ramai melaungkan leave the chair kepada Pandikar.


Tiba-tiba dalam kekecohan itu Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.


Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.


Persidangan Dewan Rakyat juga ditangguhkan dan akan disambung semula jam 10 pagi esok. -HD



Tolak laporan minoriti, cubaan tutup daftar pemilih kotor


KUALA LUMPUR, 3 April: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyifatkan penolakan usul laporan minoriti oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini sebagai cubaan untuk menutup kepincangan dalam daftar pemilih.

Ini kerana katanya, laporan minoriti itu antara lain secara jelas mengemukakan bukti senarai daftar pemilih belum bersih.

Beliau merujuk isu 42,000 pengundi ragu yang tidak mempunyai kad pengenalan dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pendedahan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) yang mengesan 80,000 pengundi yang berkongsi alamat sama.

"Bagi saya jelas menunjukkan keangkuhan, tidak mahu dengar, dan tidak bagi ruang untuk kita bagi penjelasan dan tunduk kepada tuntutan Umno.

"(Ini kerana) saya lihat laporan minoriti itu mendedahkan bahawa SPR gagal memastikan senarai pemilih yang sah," katanya pada sidang media bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat petang tadi.

Terdahulu beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usul laporan minoriti untuk dimuatkan bersekali dalam laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Penambahbaikan Pilihan Raya.

Beliau juga kesal kerana Pandikar didakwa tidak mahu mendengar hujah ahli parlimen Pakatan berhubung bukti atau 'precedent' laporan minoriti pernah dibuat di negara-negara Komenwel lain.

"Speaker menolak dengan dengan alasan tidak ada 'precedent'. Dia kemudian tak mahu layan langsung perbincangan.

"Dia yang tiga kali cadang supaya kita kemukakan alasan precedent. Bila kita kemukakan dia tak mahu dengar," tegasnya.



PSC: Tindakan Speaker pemangkin Bersih 3.0


KUALA LUMPUR, 3 April: Penolakkan usul berkenaan laporan minoriti dan juga meluluskan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa perbahasan merupakan pemangkin kepada perlaksanaan himpunan Bersih 3.0.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pakatan Rakyat mempunyai hujah serta bukti apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta mereka mengemukakan bukti amalan laporan minoriti yang dilakukan di mana-mana negara Komanwel.

"Bila Speaker meminta kita kemukakan bukti amalan mana-mana negara komanwel yang melaksanakan laporan minoriti dalam Parlimen mereka.

"Kita mempunyai hujah serta fakta berasaskan apa yang berlaku dalam Parlimen di New Zealand, Australia mahupun negara-negara kecil seperti Jamaica yang ada keutamaan tentang laporan minoriti dimasukkan atau dibahaskan bersama dengan laporan yang dikemukakan," jelasnya.

Tambahnya lagi, adalah tidak munasabah Pakatan Rakyat dilayan sedemikian, yang mana hujah-hujah mereka langsung tidak mahu didengari di Parlimen.

"Saya merasakan dengan penolakkan ini rakyat diluar sana dapat melihat bagaimana proses penyuburan demokrasi di dalam negara ini tidak dapat diletakkan di tempat yang adil.

"Walaupun kita menyertai PSC serta memberi kerjasama sepenuh demi penanbahbaikan proses pilihanraya namun apa yang berlaku hari ini telah menguburkan demokrasi negara," sambung beliau lagi.

Salahuddin ketika ditanya berkenaan pembaziran yang dilakukan sepanjang tempoh enam bulan dan akhirnya laporan tersebut diluluskan tanpa dibahas.

"Saya tidak melihat ia sebagai satu pembaziran kerana kita telah beri kerjasama selama ini, tetapi pada hari ini kita dapat melihat bagaimana wujudnya campurtangan pihak eksekutif mahupun Umno itu sendiri dalam keputusan yang dibuat.

"Kita melihat bagaimana laporan minoriti itu ditolak sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku sebab kita boleh buktikan dengan amalan yang dilakukan di parlimen-parlimen di luar negara terutamanya negara komanwel," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Pandikar Amin menolak usul yang difailkan semalam atas alasan tiada peruntukan bawah Perintah Tetap yang memberikannya kuasa untuk mengubah laporan itu.

Tiada perkara seumpamanya, kata Pandikar memetik amalan berparlimen di New Zealand.

Penolakan itu, menyebabkan ahli parlimen pembangkang bangun mendakwa terdapat duluan berhubung laporan minoriti dikepilkan bersama laporan-laporan lain, di Parlimen negara Komanwel lain.

Malah beliau juga turut mengarahkan Azmin Ali (Gombak), R.Sivarasa (Subang) dan juga Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) keluar dari Dewan Rakyat atas tindakkan ketiga-tiga mereka mengemukakan bukti serta hujah terhadap amalan tersebut.

Pandikar Amin telah mengambil keputusan untuk memutuskan usul tersebut diluluskan tanpa ada perbahasan.
-HD



Anwar bersama anggota Parlimen Pakatan dalam sidang media selepas Speaker luluskan laporan PSC tanpa bahas


Terdahulu, dewan rakyat kecoh apabila berlaku perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN berhubung pertikaian penolakan laporan minoriti oleh Pandikar.

Kekecohan itu juga menyaksikan Azmin Ali (PKR Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor) dan Sivarasarasiah (PKR Subang) diarah keluar dewan oleh Pandikar.

Suasana tegang itu juga memaksa Pandikar membuat undian belah bahagi bagi meluluskan usul PSC tanpa bahas kerana berpendapat ahli parlimen Pakatan Rakyat 'tidak berminat' untuk berbahas yang kemudian diluluskan.

Mengulas perkara itu Anwar sekali lagi membidas sikap Speaker yang membuat kesimpulan mudah sebegitu
.

"Siapa yang boleh putus kita tak minat bahas. Kita bangun nak selesaikan ini dahulu kemudian nak bahas.

"Kita bawa dokumen (untuk bahas) tapi sengaja ambil alasan, takut hujah dikemukakan dan rakyat tahu," katanya.
-HD

Mata Adam Adli Lebam Kena Tumbuk Di Kampung Kerinchi - updated


Adam Adli ditumbuk ketika rundingan penduduk

Rundingan 34 penduduk pangsapuri PKNS Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu merobohkan kediaman mereka pagi ini dicemari oleh insiden aktivis pelajar, Adam Adli ditumbuk.

Menurut saksi kejadian, Adam Adli Abd Halim kelihatan ditumbuk ketika menuruni pangsapuri empat tingkat itu oleh lelaki, dipercayai penduduk setempat.

Adam yang hadir bersama seorang lagi aktivis pelajar Ekhsan Bukhari kelihatan mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mata.

Adam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan dikasari dan mengalami kecederaan yang kini sedang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai Baharu.

Adam sebelum ini popular kerana menurunkan bendera memuatkan bendera memuatkan wajah Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan mahasiswa di depan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. -mk


Insiden Kg Kerinchi: 3 mahasiswa dipukul


KUALA LUMPUR: Proses pembersihan penduduk flat PKNS Kampung Kerinchi dicemari insiden pergaduhan apabila tiga aktivis mahasiswa terlibat bersama anggota yang didakwa dari NGO, Pekida.


Tiga aktivis mahasiswa terlibat ialah Adam Adli, Safwan Anang dan Ekhsan Bukhoree.
Difahamkan Ekhsan ditahan di Balai Polis Lembah Pantai dan kemudian dibebaskan.


Insiden pergaduhan itu bermula apabila wujud provokasi dari kumpulan Pekida terbabit ketika ketiga-tiga mahasiswa berkenaan berada di tingkat 3, iaitu salah satu flat yang akan dirobohkan.


Kedengaran kumpulan terbabit menjerit ‘turun Adam Adli’ dan apabila Adam dan tiga rakannya lain turun dari flat itu, mereka diserbu dan tercetusnya pergaduhan.


Adam ditumbuk di bahagian mata sebelah kiri dan keadaan mulai kecoh sehingga dileraikan anggota polis.


Keadaan yang mulai tegang dileraikan polis sehingga beberapa minit kemudian, FRU mulai kelihatan untuk mengawal keadaan sekitar.


Proses pembersihan flat Kerinchi ini sepatutnya dijalankan awal pagi ini, namun mendapat bantahan daripada 34 penduduk yang masih enggan berpindah atas sebab tertentu.


Mereka memohon menangguhkan tarikh mengosongkan flat berkenaan sehingga 1 Julai untuk mereka membuat persediaan untuk berpindah. -FMT







Zuhudnya Sultan Kelantan. Berjubah dan memakai kasut crocs


Seorang Sultan yang beriman, zuhud, merendah diri, dan menghormati alim ulama...Apa yang lebih membanggakan, baginda mampu menjadi imam solat bagi rakyat jelata. Baginda juga telah menukarkan kalimah "DAULAT TUANKU" kepada "ALLAHU AKBAR". Rakyat Kelantan bangga mendapat Sultan yang berjiwa Islam. Semoga Allah memanjangkan usia baginda dan cepat mendapat jodoh...

Perubahan Anak Muda Yang Menakutkan Umno BN


MERSING - Rata-rata beranggapan bahawa antara tanda-tanda awal UMNO bakal kecundang di negeri Johor adalah apabila sokongan kepada pembangkang semakin terserlah seperti dalam gambar di atas.

Seorang juru gambar pro pembangkang Dhamam dalam ulasannya di facebook rasminya menyebut anak muda yang bermain bola sudah tidak menunjukkan kebencian dan rasa canggung dengan bendera 'purnama' nyata memberi keyakinan bahawa PAS sudah tidak asing buat mereka.

"Sewaktu pulang dari mesyuarat di Teluk Gorek, Mersing...aku melalui sebuah padang bola...kelihatan anak2 muda sedang bermain bola....tidak takut tidak gentar dengan bendera 'purnama'..... #UNTUK MAKLUMAN: Ini di Mersing, Johor....bukan Negeri Kelantan! :)," katanya lagi.

Difahamkan, bendera itu dipasang di kedua pintu gol sebuah padang bola sepak berhampiran persimpangan jalan ke Teluk Gorek dan Tanjung Resang, Mersing. Lokasi berkenaan juga merupakan tempat pelancongan kerana didapati banyak chalet-chalet didirikan disekitarnya.

Sementara itu, Dhamam turut menambah dengan katanya media massa sering mengadu domba dengan menonjolkan sesuatu yang negatif ke atas parti pembangkang, namun bila melihatkan situasi sebegini membayangkan bahawa anak muda kini tidak termakan dengan dakyah yang dilemparkan UMNO.

"Imej PAS sangat buruk di gambarkan media2 UMNO/BN...setiap hari di momokkan dengan pelbagai tuduhan supaya orang benci pada PAS tapi melihat pada situasi ini orang muda tak percaya....kalau mereka percaya segala yg media UMNo/BN gambarkan...usahkan bendara pas...dengar nama PAS pun mereka akan benci.... :)," katanya lagi.

Dalam pada itu, gelombang perubahan semakin kuat melanda bukan sahaja di Johor tapi di seluruh dunia, bagaimanapun persoalan tetap timbul disebalik paparan gambar berkenaan salah satu daerah negeri UMNO paling kuat dalam dunia, mengapa begitu daif sekali keadaan padangnya.

Tambahan pula, tiang golnya seperti menanti masa untuk rebah ke bumi.Bukankah negeri yang diperintah UMNO keadaannya semuanya indah dan hebat?.

Barangkali bendera yang bersama dengan anak muda yang bermain bola itu adalah jawapan yang tepat bagaimana kegagalan dan kepincangan UMNO BN dalam mengurus tadbir negara ini. ~tranungkite

Kunjunganku Ke Kelantan: "Bukan Indah Khabar Dari Rupa, Tapi Indah Rupa Dari Khabar"

Sebenarnya, sejak setahun lalu, selepas menjadi penulis sepenuh masa, saya begitu ingin ke Kota Bharu, Kelantan untuk menikmati suasana di sana. Kali terakhir – juga pertama kali – saya ke sana pada 1995 sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Kem Kijang.

Baru-baru ini, pihak tertentu sibuk mengeluarkan kenyataan betapa miskin dan mundur negeri Kelantan. Pasti sahaja segala kenyataan itu bertujuan politik; apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.

Maka, pada akhir Februari lalu, saya mengambil keputusan untuk ke Kelantan – khususnya Kota Bharu – untuk melihat sendiri segala “kemunduran” dan “kemiskinan” yang diperkatakan pihak berkenaan.

Bagi saya, daripada bergantung serta percaya bulat-bulat pada apa yang dikatakan orang, lebih baik saya pergi sendiri untuk melihat, mengalami serta merasai sendiri suasana sebenar di sana.

Sebaik sahaja saya menyatakan keinginan untuk ke Kota Bharu menerusi ruangan status di Facebook, reaksi positif yang diterima amat memberangsangkan.

Begitu ramai rakan-rakan di ruang siber – kebanyakannya belum pernah saya temui secara bersemuka – tampil “mempersilakan” saya melakukan kunjungan yang dirancang.

Mereka yang bukan anak Kelantan juga menyokong cadangan saya untuk ke Kota Bharu; khususnya apabila saya sudah menyatakan sejak awal bahawa saya mahu menulis siri artikel berdasarkan pengalaman saya ke tempat berkenaan.

Harus saya akui bahawa sebelum saya membeli tiket bas ekspres untuk ke Kota Bharu, saya sudah pun dapat merasai kemesraan, kesantunan serta segala nilai positif yang terdapat dalam kalangan penduduk di negeri Kelantan.

Begitu ramai rakan-rakan di Facebook yang mencadangkan tempat-tempat yang perlu dilawati dan makanan yang perlu dicuba. Begitu juga beberapa frasa penting dalam loghat tempatan yang wajar saya ketahui untuk memudahkan komunikasi.

Maka, saya tidak was-was untuk pergi ke Kota Bharu walaupun saya tidak ada kenalan atau saudara-mara di sana. Saya pergi sebagai “orang luar” untuk mendapatkan pengalaman baru secara objektif.

Rombongan besar

Saya tidak pernah menyangka bahawa segala urusan akan menjadi begitu mudah. Amy Suzani Mohd Ainuddin, salah seorang mangsa royalti teks Komsas, menawarkan untuk mengatur tempat penginapan dan perjalanan sepanjang saya di Kota Bharu.

Begitu juga, Nur Hidayah dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim) tampil menyatakan kesediaan untuk mengatur program yang sesuai sepanjang saya berada di sana.

Seorang lagi mangsa royalti teks Komsas, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Johor Bahru turut melahirkan keinginan untuk ke Kota Bharu.

Maka, akhirnya, kami semua bertemu di Kota Bharu pada 11 Mac 2012 untuk sama-sama merasai suasana yang dilabelkan sebagai “mundur” dan “miskin” oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.

Pada masa sama, Nik Faridah Mamat yang menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 26 Februari lalu mencadangkan supaya saya tidak melepaskan peluang bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tentu sahaja saya mahu bertemu Tok Guru! Saya pernah dibawa mengunjungi beliau pada 1995 dan saya dapat melihat serta merasai sendiri sifat-sifat mulia yang dimiliki pemimpin itu.

Hasil maklumat yang diberikan Nik Faridah, saya berjaya menghubungi Wan Nik Wan Yussof, setiausaha politik kepada Menteri Besar Kelantan. Dipendekkan cerita, beliau bersedia mengatur pertemuan seperti yang dihajati.

Sekitar seminggu sebelum saya bertolak ke Kota Bharu, Tasya iaitu anak Amy Suzani dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan. Nur Hidayah mengambil alih “tugas” untuk mengatur aktiviti sepanjang saya dan rakan-rakan penulis berada di Kota Bharu.

Nur Hidayah juga mendapatkan bantuan adik angkatnya, Abdul Mutalib Awang untuk menjadi pemandu kereta dan pemandu pelancong selama empat hari saya di sana. Pemuda berumur 23 tahun itu sanggup mengambil cuti bagi memastikan tetamu mendapat layanan yang sempurna.

Turut sama dalam “rombongan” ini ialah Zainab Ngah, seorang penulis dari Perak yang kini menetap di Terengganu. Walaupun kesihatannya agak terjejas, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama saya dan Rohani untuk meninjau sendiri segala “kemiskinan” dan “kemunduran” yang diperkatakan pihak tertentu.

Cikgu Roshidayu Che Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Shah Alam turut datang bersama suami dan anaknya untuk sama-sama meninjau keadaan di Kota Bharu.

Saya turut berpeluang bertemu Wan Asyeah Wan Nawang, seorang penulis yang sebelum ini saya kenali berikutan komen negatif yang beliau berikan terhadap saya berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid dan Kamus Dewan.

Beliau segera meminta maaf dan mengakui bahawa komen negatif yang beliau berikan di Facebook pada tahun lalu adalah terlalu emosional dan “terikut-ikut cakap orang”.

Bagi saya, tidak menjadi masalah kerana saya bersedia menerima apa sahaja komen yang mahu dikemukakan.

Agak menarik bahawa hubungan kami berdua menjadi rapat dan mesra. Pasti orang tidak akan percaya bahawa Wan Asyeah pernah menulis komen negatif mengenai saya sebelum ini!

Murah dengan senyuman

Ada suatu perkara yang meninggalkan kesan dalam hati saya. Dalam perjalanan ke rumah Wan Asyeah, beliau singgah untuk membeli murtabak. Beliau membeli murtabak daging (lembu) untuk dihidangkan kepada rakan-rakan penulis yang datang.

Saya sangat tersentuh – secara positif – kerana beliau membeli sekeping murtabak ayam khusus untuk saya kerana beliau tahu dan sedar bahawa saya tidak makan daging lembu.

Insiden kecil ini amat bermakna kerana walaupun majoriti penduduk di Kelantan adalah orang Melayu beragama Islam, mereka amat sensitif terhadap budaya kaum/agama lain.

Semua yang saya paparkan ini berlaku dalam masa tidak sampai 24 jam saya berada di Kota Bharu. Orang ramai yang saya temui di tempat awam pula murah dengan senyuman.

Menceritakan pengalaman di Kota Bharu, Roshidayu berkata, pertemuan itu amat istimewa dan sukar dilupakan.

“Istimewa kerana berpeluang bertemu beberapa penulis yang sebelum ini hanya saya kenali melalui karya atau bersembang menerusi Facebook. Saya juga gembira kerana dapat sama-sama memberikan maklumat sebenar mengenai Kelantan kepada golongan penulis,” katanya.

Zainab Ngah pula melahirkan kekaguman melihat segala kemajuan – fizikal, sosial dan rohani – di Kota Bharu berbanding di Terengganu.

“Kalau nak suruh bandingkan antara Terengganu dan Kelantan, saya lebih kagum dengan Kelantan, baik dari segi pusat membeli-belah, rangkaian jalan raya dan bangunan tinggi. Terengganu Cuma berbangga dengan Taman Tamadun Islam yang tersergam indah Masjid Kristal yang tidak diiktiraf untuk solat Jumaat, serta replika masjid-masjid seluruh dunia. Kalau Kelantan dikatakan mundur, ternyata Terengganu pula lebih mundur,” katanya.

Bagi Rohani Deraman, beliau pernah tinggal di Kota Bharu pada tahun 1980-an. Melihat akan segala pembangunan di sini sekarang, beliau melahirkan rasa kagum dan bangga.

“Kota Bharu membangun sejajar bandar-bandar lain; termasuk di Lembah Klang. Rasa-rasanya tidak ada beza dengan segala kemudahan yang ada di Johor Bahru. Cuma, apa yang tiada di sini adalah pusat-pusat hiburan, panggung wayang dan kedai nombor ekor.

Mungkin itulah ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ yang dimaksudkan pihak tertentu apabila melabel Kelantan sebagai negeri yang mundur,” kata penulis sepenuh masa itu.

Saya akan menulis lagi mengenai pengalaman saya di Kota Bharu; khususnya mengenai “kemunduran” dan “kemiskinan” yang dihebohkan pihak tertentu.

Sama-samalah kita buat kesimpulan sama ada keadaan di Kota Bharu, Kelantan “indah khabar dari rupa” atau “indah rupa dari khabar”. -FMT

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my manakala blognya boleh dilayari di www.uthayasb.blogspot.com

Pemuda Mesti Ada "umph"

*Menarik untuk dikongsi*

Ditulis oleh Nasrudin Hassan at Tantawi

1. Sejak sekian lama , kini perjuangan kita seperti ketiadaan "umph" . Bertugas dan bekerja dengan hambar . Terkadang dihambat rasa letih dan bosan .

2. Dulu perjuangan ini segar dengan ruh amal Islami dan diperkaya pula dengan pelbagai istilah dan gerakkerja amal jamaei , amal fardi dan amal ijtimaei .

3. Masih saya ingat , selain usrah saban minggu , jamaah kita hebat dengan tamrin di penghujung bulan dan 2 atau 3 kali dalam setahun akan ada aktiviti rehlah dan mukhaiyyam , namun segalanya kini hanyalah menjadi kenangan manis . Tiada lagi qiamulail dan muhasabah perjuangan di waktu dinihari bimbingan sang murabbi yang diberikan thiqah dan wala' tidak berbelah bahagi .

4. Ukhuwwah cukup erat dan intim . Sering sahabat seperjuangan menyapa kita dengan " Ana Uhibbuka fillah Ya akhi " sebaik memberi salam dan berpelukan menemukan pipi - pipi merah yang menahan getir perjuangan ini . Ziarah dan bertanya khabar menjadi rutin yang cukup halus kesannya kepada kita sesama jamaah . Menangis kita apabila mendapat khabar sahabat seperjuangan sakit atau ditimpa musibah .

5. Cepat kita menolak segala tohmahan yang cuba dilemparkan kepada sahabat seperjuangan . Nilai ukhuwwah antara kita sungguh mantap . Tak siapa mampu merobeknya dan tak mungkin lahir perasaan cemburu antara kita . Manakan tidak ..... Makan setalam , tidur sebantal dan musafir sekenderaan , bersulam doa rabitah yang diaminkan bersama sejurus selesai melazimi wirid al ma'thurat saban pagi dan petang .

6. Buku - buku haraki senantiasa di tangan , sementara bibir pula rajin melazimi usul isyrin agar lancar di lidah sesudah dihafal untuk menjadi kaedah dalam berjuang menyelesaikan kekusutan berfikrah . Tugasan dakwah dilaksana penuh dedikasi sebaik sahaja menghabisi kertas kerja dan amanat pimpinan dalam pertemuan - pertemuan bulanan seperti Liqa' Fikri atau seminar penerangan .

7. Semangat jihad berkobar - kobar , merasakan setiap gerakkerja jamaah biarpun di medan siasah adalah ibadah yang menghasilkan pahala . Ceramah para pimpinan banyak berkisar erti perjuangan atau pemantapan aqidah dan akhirnya barulah disudahi dengan perkembangan isu semasa . Audien menerima secara seimbang antara kesedaran isu semasa dengan fikrah dan aqidah perjuangan .

8. Timbul masaalah , segera kita cari naqib atau terus kepada pimpinan untuk mengatasinya. Masing - masing menutup masaalah dan aib saudara masing - masing kerana mengutamakan kekuatan jamaah dan tugas perjuangan yang lebih besar . Cepat melupakannya serta segera memaafkan . Masaalah tidak menjadi kudis gatal kepada pejuang kerana ukhuwwah islamiyyah yang tebal segera merawatnya .

9. Mesyuarat dengan penuh mesra . Menghargai pandangan sahabat seperjuangan malah sering mendahulukan pandangan sahabat dan pimpinan sekalipun kita mempunyai pandangan yang berbeza . Rasa bangga apabila pandangan sahabatlah yang diterima dan fikrah perjuangan menjadi seia sekata . Walau berbeza dan berselisih pandangan sesama sendiri , tidaklah meninggi suara jauh sekali untuk memperbodohkan sahabat dan pimpinan sendiri . Mesyuarat menjadi pertemuan yang cukup menyeronokkan malah dinanti - nanti . Sebulan dirasakan setahun untuk bertemu kembali dengan sahabat seperjuangan .

10. Semua itu menjadi "umph" dalam perjuangan ini . Ia adalah nostalgia indah disemi pula oleh alunan nasyid jihad dan perjuangan . Sekali sekala asma'ul husna memecah kesunyian dan menjadi muqaddimah kepada setiap pertemuan dan mesyuarat .

11. Sedihnya hari ini rasa "umph" itu telah hilang . Zaman semakin canggih malangnya ukhuwwah semakin dhoif . Berjuang seharian terasa bagai berjalan di atas bara api . Nak bercakap rasa tak kena , tak bercakap rasa salah . Jumpa sahabat hanya mengangguk kepala , kalau sempat pun sekadar bersalam tangan . Rasa sukar untuk mendekap pipi , sebab masing - masing sibuk memburu waktu entah nak kemana .... kalau peluk semua ahli mesyuarat , terpaksa mengambil masa yang agak lama . Ada yang rasa janggal dan geli geleman .....

12. Makan secara layan diri kemudian berasingan melayan perasaan . Memandang sahabat seperti musuh . Ya ... musuh dan saingan politik kerana kita tidak lagi berjamaah tetapi berpolitik . Menyertai PAS bukan lagi menyertai Gerakan Islam tetapi menyertai parti politik yang berjuang atas nama Islam .

13. Hadhir mesyuarat seperti menghadhiri parlimen untuk berdebat dengan musuh . Pantang keluar pandangan berbeza ditingkah segera agar ditarik balik kenyataan layaknya seperti diparlimen bukan dalam mesyuarat yang penuh kasih dan sayang . Tidak lagi bermula dengan al mathurat dan doa rabitah . Asmaul Husna tidak kedengaran langsung. Jiwa menjadi kasar dan keras . Mudah terasa dan sangat sensitif yang menghela ke arah sengketa .

14. Adab bermesyuarat dan mengemuka serta berbeza pandangan telah hilang entah di dalam buku haraki mana yang tidak lagi dibaca kini . Nak baca macam mana , usrah pun sudah 5 tahun tidak hadhir . Terma - terma jamaah yang selalu disebut dalam usrah dulunya kini UMNO pula yang pakai kerana kita telah tidak lagi menggunakannya seperti wehdatul fikri , wehdatul amal dan sebagainya .

15. Mesyuarat sebelum mesyuarat , mesyuarat dalam mesyuarat dan mesyuarat lepas mesyuarat sudah jadi rutin . Akhirnya tidak tahu keputusan mesyuarat mana sebenarnya yang original dan valid untuk dilaksanakan sebagai kata putus . Sebab , sebelum masuk mesyuarat , perkara yang nak dibincangkan sesama kita sahabat seperjuangan sudah dibincang oleh entah komiti mana lalu masuk membawa keputusan yang telah direncanakan . Jika putus sesuatu pula dalam mesyuarat itu , ia seperti boleh dirombak oleh mesyuarat yang bakal menyusul selepas mesyuarat tersebut biar pun hanya di kedai kopi .

16. Memang aneh cara kita berjamaah di zaman moden ini . Hilang "umph" dan yang timbul ialah rasa curiga mencurigai antara satu sama lain . Suasana senantiasa tegang dan panas . Bila - bila masa boleh mencetus perbalahan . Masing - masing dok tunggu tuning point sebagai masa nak bertindak .

17. Hati kita menjadi jauh walau kita sepejabat . Sorotan mata bila memandang sesama kita kering kontang tanpa nilai ukhuwwah dan kasih mesra . Seperti merenung musuh , kalau tidak pun seperti menaruh rasa jengkel dan benci sesama kita . Ada sahaja yang tidak kena dan hati senantiasa tidak puas .

18. Rasa hormat sesama kita sahabat seperjuangan semakin pudar semangat khidmat kepada jamaah juga semakin luntur . Bertindak dalam paksa jangan sampai orang kata kita tidak buat kerja . Kemanisan dalam melakukan kerja dan tugas jamaah tidak terasa , kalau pun masih terasa hanya sekadar manis - manis buah jambu separuh masak atau sekadar manis gula Melaka .

19. Terma - terma asas perjuangan Islam seperti jihad , negara Islam , hudud , mukhayyam tarbawi , usrah , harakah Islamiyyah , naqib , ukhuwwah fillah dan lain - lain kini sukar untuk dilafaz kepada umum . Kalau menyebutnya juga akan dikatakan tidak bijak , tidak kena timing , keterlaluan , non muslim tidak akan mengundi kita , kolot dan macam - macam lagi sms akan masuk menempelak .

20. Kini "umph" dalam berjamaah dan berjuang tidak terasa lagi . Seperti menghirup Tom Yam yang tawar tanpa garam dan rencah . Habis semangkuk , perut boleh kenyang tetapi umphnya tiada . Bagaimanalah kita nak mengembalikan semula umph dalam perjuangan ini ?

Harapan saya , agar pemuda dapat menikmati semula umph tersebut . Untuk itu , pemuda mesti ada "umph" iaitu Usrah Mantap Pemuda Hebat [ UMPH ]

Fenomena Ustaz Azhar Idrus | Jadual Kuliah UAI Bulan April

Salam untuk semua, moga dirahmati

Fenomena Ustaz Azhar Idrus (UAI) di Malaysia bukan perkara yang baru lagi, namanya mula meniti di bibir segenap pelosok masyarakat yang mendambakan ilmu. Beliau tidak berkelulusan luar negara, tetapi kesungguhannya menadah kitab agama bermula usia 25 tahun merubah segalanya...susuk tubuh yang sentiasa tawaduk...penampilan bersahaja berkopiah Made in China RM2...aku dan korang punya kopiah lagi mahai rasanya...

Aku nak buat hebahan jadual Kuliah UAI Bulan April di seluruh negara...lepas ni korang rancang baik2 lepas tengok tarikh di bawah...yang tinggal berhampiran jangan lepaskan peluang. Yang belum pernah mendengar secara live rasanya masih berpeluang. Disarankan anda menghadirkan diri sejam lebih awal di masjid sekiranya untuk duduk di bahagian hadapan sekali...hehe...sesak. Untuk bulan ni UAI lebih banyak di Kuala Terengganu.

KULIAH BULAN APRIL 2012
 
Yang berhajat untuk mengenali lebih dekat siapa tokoh dakwah ini boleh dapatkan sebuah buku "Daei Sejuta Ummat" karya Ustaz Ridhuan Mohammad Nor.

Lim Guan Eng heret 'kaki fitnah' Ketua Pemuda UMNO P. Pinang ke Mahkamah



Saya tidak akan memberi komen mengenai fitnah Pemuda UMNO Pulau Pinang yang berulang-ulang tetapi akan mengambil tindakan mahkamah untuk mencegah UMNO, Utusan Malaysia dan akhbar-akhbar lain daripada mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama untuk melemahkan Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang

Saya telah cuba untuk sabar apabila UMNO menggunakan retorik perkauman dan agama untuk melemahkan kepimpinan saya dan juga Kerajaan Negeri PR. Tetapi, permainan yang bahaya ini sudah melintasi had dengan fitnah oleh Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin bahawa saya telah menjual tanah masjid.

Utusan Malaysia telah menyiarkan kata-kata tidak beradab yang menyerang saya dengan fitnah bahawa saya telah menggadai tanah masjid. Ini bukan kali pertama UMNO membuat dakwaan fitnah terhadap saya. Sebelum ini, Shaik Hussein dengan pemimpin-pemimpin UMNO lain telah menyerang saya dengan fitnah bahawa saya tidak menjual tanah 102.6 ekar Bayan Mutiara melalui tender terbuka. Beliau terus memfitnah demikian walaupun Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak pemaju sudah mengemukakan bukti bahawa tanah tersebut telah dijual melalui tender terbuka.

Shaik telah meneruskan fitnahnya dengan menuduh bahawa saya menyatakan tidak perlu sokongan kaum India. Apabila fitnahnya dibuktikan salah, Shaik bukan sahaja enggan memohon maaf seperti yang dijanjikan tetapi beralih kepada fitnah lain bahawa saya telah melenyapkan tanah masjid. Fitnah kali ini sangat bahaya kerana ia menyentuh sentimen agama dan bertujuan untuk menimbulkan kebencian orang Islam terhadap saya sebagai seorang pemimpin bukan Islam.


Apabila tanah 102.6 ekar Bayan Mutiara telah dijual melalui tender terbuka, geran tanah tidak dipecah sempadan tetapi dijual secara menyeluruh. Pihak pemaju hanya akan memecah sempadan geran selepas pelan baru diserahkan kepada MPPP untuk kelulusan. Apabila pelan baru dan pemecahan sempadan geran belum lagi dibuat, bagaimana UMNO boleh mendakwa bahawa tanah masjid atau sekolah telah dijual atau dilenyapkan? UMNO mesti ingat bahawa syarat-syarat biasa untuk sekolah dan tempat-tempat beribadat seperti surau atau masjid yang diwajibkan oleh pihak berkuasa tempatan semestinya akan termasuk dalam apa-apa projek pembangunan.



UMNO hanya boleh mengatakan bahawa tanah masjid atau sekolah telah dijual atau dilenyapkan jika pelan baru oleh pemaju telah diluluskan oleh MPPP tanpa ada tanah masjid atau sekolah. Sebagai kerajaan berjiwa rakyat, PR Pulau Pinang selalu memegang kepada prinsip asas untuk TIDAK membenarkan tanah yang diperuntukkan untuk sekolah, tempat-tempat beribadat, masjid, surau, gereja, kuil Cina, Hindu atau Buddhist untuk hilang begitu sahaja.

Dengan mengulangi fitnah dan mengapi-apikan ketegangan kaum dan agama, UMNO ingin menimbulkan kebencian perkauman dan agama terhadap saya sebagai Ketua Menteri dan juga Kerajaan Negeri PR. Fitnah yang berasaskan kepalsuan ini terhadap seorang bukan Melayu dan bukan Islam menunjukkan bahawa 1Malaysia adalah slogan kosong yang bertujuan untuk menipu rakyat untuk mengundi parti-parti perkauman ekstrim BN dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Lim Guan Eng

Full Video : Ceramah Mat Sabu Di Padang Perdana Kota Bharu


Siri Ceramah:HJ Mohd Sabu pada program ceramah perdana "PUTRAJAYA BERMULA DISINI"di padang perdana kota bharu.

Ketua Menteri Pulau Pinang diugut

GEORGE TOWN, : Keselamatan diri Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak boleh diambil ringan oleh pihak berkuasa ekoran fitnah bahaya dan rasis yang dimainkan UMNO, TV3 dan Utusan Malaysia kononnya tanah masjid dilesapkan.

Susulan daripada itu, Guan Eng telah diancam secara peribadi oleh pertubuhan perkauman Perkasa dan pemimpin-pemimpin UMNO yang mengugutnya dengan keganasan dan bahasa yang penuh kebencian.

Pegawai Khas Ketua Menteri, Zairil Khir Johari berkata, titnah-fitnah itu telah disiarkan secara berulang kali di kaca televisyen serta media cetak kawalan Barisan Nasional untuk mencetuskan kebencian terhadap masyarakat terhadap Guan Eng.

Katanya, fitnah Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang kononnya Guan Eng telah menjual atau melenyapkan tanah masjid tidak boleh diambil ringan seperti jenaka April Fool kerana ia adalah pembohongan besar.

“Walau pun Ketua Menteri telah membidas dakwaan ini sebagai fitnah terdesak oleh UMNO Pulau Pinang untuk memenangi kembali sokongan orang Melayu di Pulau Pinang, UMNO, TV3 dan Utusan Malaysia masih lagi meneruskan usaha untuk menyiarkan fitnah bahaya ini.

“Media kawalan BN bukan sahaja tidak menyiarkan kenyataan balas Ketua Menteri, malah kenyataan penjelasan oleh Datuk Seri Nazir Ariff (bagi pihak pemaju) yang telah memenangi tender terbuka untuk tanah Bayan Mutiara 102.3 ekar juga tidak disiarkan. Ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairil yang juga Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, ramai rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, berasa terganggu dengan fitnah-fitnah yang dimainkan ini, dan telah minta penjelasan daripada Ketua Menteri.

Katanya, orang Melayu khususnya amat terkejut apabila mereka sedar bahawa dakwaan-dakwaan ini hanyalah fitnah jahat UMNO dan lantas menyuarakan kebimbangan mereka terhadap keselamatan Ketua Menteri.

“Dua hari lalu, iaitu pada hari Jumaat, Perkasa telah melakukan demonstrasi terhadap Ketua Menteri atas dasar fitnah-fitnah tersebut di Komtar.

“Saya telah dimaklumkan bahawa Perkasa telah berkelakuan secara tidak beradab dan ganas, sampai mengugut untuk menentang Ketua Menteri secara peribadi seperti yang dilaporkan dalam New Straits Times pada 31 Mac 2012 sekiranya Ketua Menteri tidak menjawab dalam masa 7 hari.

“Adakah Perkasa akan menganjurkan demonstrasi yang sama dan membuat ugutan yang sama terhadap UMNO jika dakwaan-dakwaan ini dibuktikan sebagai fitnah dan pembohongan?” tambah beliau.

Beliau menegaskan bahawa UMNO, TV3 dan Utusan Malaysia telah diberi amaran untuk bertanggungjawab sepenuhnya jika keselamatan Ketua Menteri Pulau Pinang terjejas.

Menurutnya, pihak polis juga harus mengambil berat tentang impak fitnah-fitnah UMNO yang mungkin menjejaskan keselamatan Ketua Menteri.

“Ini bukanlah kali pertama Ketua Menteri diserang dengan fitnah. Malah, anak Guan Eng juga telah difitnah oleh Umno-Online yang mendakwa bahawa beliau telah mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan dan juga kononnya Ketua Menteri telah membayar RM200,000 sebagai sogokan untuk menutup skandal tersebut.

“Walau pun kejadian ini telah dibuktikan sebagai fitnah, sampai sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh pihak polis,” ujarnya.

Zairil menambah bahawa fitnah UMNO terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang boleh dikaitkan dengan seminar anjuran Jabatan Pelajaran Johor atas topik “ancaman Kristianisasi” kepada orang Islam.

Beliau menjelaskan, walau pun tajuk seminar telah ditukar, cubaan untuk mememburukkan dan membenci agama lain adalah sangat bahaya dan perlu dihentikan kerana ia bertentangan dengan konsep 1Malaysia yang dilaung-laungkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO.

Katanya, sikap suka memfitnah serta membenci orang lain semata-mata kerana berbeza agama tidak serasi dengan objektif untuk membangunkan masyarakat berbilang kaum yang bersatu dan harmoni. – Roketkini.com
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .