Dewan Pemuda PAS dan Angkatan Muda KeADILan (AMK) Sabah melancarkan Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (GERAMM) bagi memprotes kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.
Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali berkata, setakat ini PAS dan AMK Sabah telah melancarkan dua lokasi kempen iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Cina Kian Kok dan sempena Sukaneka Pusat Asuhan Tunas Islam Kawasan Pantai Barat pada 21 dan 22 Jun lalu.
Beliau menambah, kempen bantahan kenaikan harga minyak berakhir pada 31 Jun dan masyarakat menerima baik kempen yang dilancarkan dengan menurunkan tandatangan tanpa mempersoal tindak tanduk penganjur.
Reaksi positif dan sokongan masyarakat terhadap kempen yang dilancarkan menambah semangat penganjur untuk berkerja keras mengutip bantahan.
Tambahnya, rata-rata tandatangan yang diturunkan tidak berpuas hati bukan sahaja kerana kenaikan harga minyak dan mendesak kerajaan menurunkan harga bahan bakar tersebut malah, mereka juga tidak berpuas hati dengan pemerintahan Dato Seri Abdullah Ahmad Badwi yang kurang bijak mentadbir negara.
"kita akan pastikan desakan rakyat yang di buat di seluruh negara mampu memberi tekanan kepada PM sama ada menurunkan harga bahan bakar tersebut atau mendesak beliau turun dari pimpinan negara", katanya ketika ditemui di pejabat Pemuda semalam.
Sehingga kini hampir 2,000 orang telah menurunkan tandatangan bantahan tersebut dan di jangkakan seramai 10,000 orang akan mendatanganinya sehingga akhir bulan ini.
Berkait isu minyak, rakyat Sabah juga menyatakan rasa terkilan dengan kerajaan disebabkan oleh pembahagiaan royalti minyak yang tidak adil terhadap negeri ini dan mahu kerajaan menaikkan royalti minyak rakyat Sabah selaku negeri pengeluar minyak, kata Anuar.
"Tidak logik sebuah negeri ( Sabah ) yang kaya dengan hasil bumi, tetapi rakyatnya hidup susah di negeri sendiri".
Sehubungan itu, Ketua Pemuda PAS Sabah, rakyat Sabah yang belum menurunkan tandatangan protes dapat berkerjasama di setiap kawasan kempen yang dilancarkan.