Ikuti Blog ini
Hentikan penyiksaan, bebaskan semua tahanan ISA - Wan Azizah ,Sabtu, Jun 28, 2008 at 28.6.08,
Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) Datin Seri Dr Wan Azizah dalam satu perutusan sempena sambutan 'Hari Menentang Penyeksaan Sedunia pada 26 Jun lalu menyery mana-mana pihak menghentikan penyeksaan atau penderaan yang kian giat berlaku di seluruh dunia.
"Kami dari Pakatan Rakyat mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar segala penyeksaan dan penderaan yang berlaku di seluruh pelusuk dunia, baik disebabkan oleh perang mahupun hasil daripada pentadbiran kuku besi rejim pemerintah sendiri, ditamatkan segera atas prinsip kemanusiaan dan keadilan sosial," kata Wan Azizah.
Setakat 26 Jun lalu hanya 142 buah negara mengiktiraf Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Tidak Berperikemanusiaan, ujarnya.
Namun kata Wan Azizah, paling dikesali Malaysia adalah salah sebuah negara yang tidak mengiktiraf konvensyen tersebut.
"Adakah Kerajaan Malaysia tidak bersedia mengiktiraf konvensyen yang sudahpun diterima oleh negara-negara ASEAN lain seperti Cambodia, Indonesia dan Filipina?
"Hakikatnya, cadangan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditolak dan penderaan dalam tahanan terus berlaku.
"Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih dikekalkan dan menyaksikan penyeksaan terbaru ke atas Sanjeev Kumar di Kem Kamunting dalam penahanan 60 hari pada Mac tahun ini," katanya.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah berkali-kali mengemukakan usul serta pertanyaan berkenaan ISA dalam sidang parlimen lepas, katanya.
Namun semua ini telah ditolak oleh Dewan Rakyat, antaranya termasuk pertanyaan beliau sendiri berkenaan tahanan pemimpin Hindraf dan 20 tahanan yang mencapai enam tahun, ujar Wan Azizah.
"Kami akan meneruskan segala usaha untuk mendesak Kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan ISA yang mencabuli hak asasi manusia dan melanggari prinsip demokrasi.
"Akhirnya saya menyeru agar semua lapisan masyarakat yang cintakan keadilan sosial dan kemanusiaan untuk hadir program Malam Himpunan Rakyat Anti ISA yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada Sabtu ini (28 Jun)," katanya.