Ikuti Blog ini

Yahya akui tiada akaun kedua pungut derma untuk KeADILan


Isu penyaluran wang syarikat korporat menyumbang kepada akaun Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) sempena majlis perayaan 100 hari Pakatan Rakyat lebih rumit dengan pengakuan bekas pegawai tugas-tugas khas menteri besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri semalam.

Yahya dalam satu ulasannya mengenai isu itu menjelaskan bahawa akaun kedua untuk memungut derma kepada KeADILan 'tidak wujud'.

Tidak ada surat-menyurat daripada pejabat Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang meminta syarikat korporat menyumbang wang untuk majlis perayaan 100 hari pentadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu.

Tidak ada akaun kedua yang dibuka untuk tujuan itu, tiada transaksi dan tidak ada pungutan wang," katanya lagi.

Isnin lalu Yahya telah meletakkan jawatan pegawai tugas-tugas khas dan Setiausaha Perhubungan KeADILan Selangor.

"Kenyataan menteri besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hassan Ali dan (bekas pemimpin kanan KeADILan) Ezam Mohd Nor) tidak benar," katanya dalam satu laporan akhbar.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pesuruhjaya PAS itu bahawa partinya tidak diberitahu mengenai pungutan wang daripada syarikat swasta untuk menjayakan majlis sambutan tersebut, 20 Jun lalu.

Sementara kelmarin, Ezam mendakwa Pejabat Menteri Besar Selangor telah membuat surat dan menghantarnya kepada banyak syarikat supaya memasukkan wang ke dalam akaun milik individu.

Berhubung kenyataan itu Yahya berkata, majlis sambutan 100 hari itu diuruskan oleh kerajaan negeri dan bukannya oleh Pakatan Rakyat.

Tambahnya, urusan kewangan untuk program tersebut juga tanggungjawab kerajaan negeri.

"Memang pada peringkat awal, Pakatan Rakyat mahu menganjurkan program tersebut tetapi ia dibatalkan dan diberikan kepada kerajaan negeri.

"Apabila ia dianjurkan oleh kerajaan negeri, secara automatik pembabitan parti tidak perlu lagi," ujarnya.

Beliau dilaporkan mengakui mengirim surat atas nama KeADILan dan menggunakan satu akaun tetapi tiada derma dimasukkan ke akaun tersebut.

Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataannya baru-baru ini mengesahkan sejumlah kutipan 'yang tidak perlu' telah dimasukkan ke akaun KeADILan, sepatutnya untuk kerajaan negeri.

Khalid berkata demikian selepas mengumumkan penggantungan tugas Yahya sebagai pegawai kanan di pejabatnya selama dua bulan.

Namun dalam reaksi Yahya mengenai isu itu, Yahya bagaimanapun berkata bekas ketuanya itu tidak merujuknya sebelum membuat kenyataan tersebut dan beliau tidak pernah diberikan peluang menjelaskannya.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .