Ikuti Blog ini

Jabatan polis seleweng RM98j?


KUALA LUMPUR - Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM), Tan Sri Robert Phang mendakwa baru-baru ini beliau menerima surat layang yang mendedahkan penyalahgunaan kuasa sebuah jabatan polis.

Surat tanpa nama pengirim dan beralamat di Desa Pandan itu diterima pada 23 Julai lalu dan ia dihantar melalui pos laju ke alamat pejabatnya di Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini.

Robert memberitahu, kandungan surat sepanjang lapan helai itu antara lainnya menceritakan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kontrak pembelian kelengkapan barangan kegunaan jabatan tersebut yang berjumlah hampir RM98 juta.

“Pengirim mendakwa wujud pelanggaran prosedur dalam pemberian kontrak yang sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka.

“Surat itu mendakwa penyalahgunaan kuasa itu berlaku sebelum pilihan raya umum lalu dan beberapa hari selepas pilihan raya,” kata beliau di pejabatnya di sini semalam.

Menurut beliau, surat tersebut turut menamakan enam pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan sehingga Komisioner Polis di jabatan terbabit.

“Saya tidak mahu dedahkan nama mereka (pegawai) terbabit kerana ini perlu disiasat,” katanya dengan memberitahu beliau akan menyerahkan dokumen tersebut kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini.

Robert bagaimanapun berkata, alamat pengirim yang tertera pada salinan sampul surat itu tidak wujud.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .