Ikuti Blog ini

Laporan polis Anwar Ibrahim


Berikut teks lengkap laporan polis yang dibuat di ibu pejabat polis kontinjen Selangor di Shah Alam petang ini:


Saya, Anwar bin Ibrahim (No K/P: 470810-07-5095), sesungguhnya di sini membuat laporan polis berikut berdasarkan maklumat yang telah saya perolehi baru-baru ini.

1. Laporan ini adalah berkaitan dengan siasatan terdahap serangan fizikal yang dilakukan ke atas saya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (“Rahim Noor”) pada 20hb September 1998. Saya percaya Tan Sri Rahim Noor, selepas didakwa, telah mengaku bersalah atas tuduhan serangan fizikal tersebut. Saya telah membuat laporan polis berkenaan serangan fizikal tersebut pada 27.9.98.

2. Berkaitan dengan penyiasatan terhadap serangan fizikal tersebut, saya percaya bahawa Pegawai Penyiasat, ACP Mat Zain bin Ibrahim (sekarang Datuk Mat Zain) telah melakukan satu penyiasatan yang mendalam dan menyeluruh dan menyediakan satu kertas siasatan (“IP”) yang telah kemudiannya pada Oktober 1998, menyerahkannya kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah (“Tan Sri Mokhtar”) serta pasukannya yang antaranya termasuklah Peguam Negara sekarang Tan Sri Gani Patail untuk tindakan lanjut.

3. Kertas siasatan tersebut telah menyimpulkan bahawa Tan Sri Rahim Noor adalah pelaku serangan fizikal tersebut ke atas saya. Kertas tersebut telah membuat kesimpulan setelah siasatan menyeluruh dilakukan, dengan mengambilkira laporan perubatan daripada pakar forensik daripada Hospital Kuala Lumpur seperti Dr. Ab. Halim Haji Mansar dan Dr. Zahari bin Noor dan kenyataan dari sekurang-kurangnya 60 orang saksi. Laporan perubatan tersebut menyimpulkan bahawa kesan kecederaan yang dilakukan ke atas saya adalah konsisten dengan satu serangan fizikal.

4. Walaupun kandungan kertas siasatan dan lapuran perubatan yang tersedia, Tan Sri Mokhtar dengan bantuan Peguam Negara hari ini dan, Tan Sri Gani Patail telah mendapatkan khidmat seorang pegawai perubatan bernama Dr. Abdul Rahman bin Yusof (Dr. Abdul Rahman).

5. Dr. Abdul Rahman dalam satu laporan tidak bertarikh menyediakan laporan kedua yang menyentuh “lakonan semula tempat kejadian” pada 14 Disember 1998. Saya percaya bahawa “lakonan semula tempat kejadian” tersebut tidak pernah berlaku.

6. Adalah satu fakta yang tidak disangkalkan bahawa laporan perubatan Dr Abdul Rahman berhubung serangan yang dilakukan terhadap saya disediakan tanpa langsung melakukan pemeriksaan fizikal ke atas saya terlebih dahulu.

7. Walaupun sudah ada kertas siasatan dan laporan kesihatan yang lengkap, Tan Sri Mokhtar dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 5 Januari 1999, menerima pandangan yang diberikan oleh Dr. Abdul Rahman mengenai apa yang dikatakan sebagai “perkara-perkara tidak konsisten” dalam laporan perubatan doktor-doktor lain yang telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas saya.

8. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar juga menyatakan siasatan yang telah dijalankan tidak dapat mengenalpasti individu atau mereka yang menyebabkan kecederaan ke atas saya. Ini sesungguhnya bercanggah dengan laporan siasatan yang selesai dilakukan menjelang Oktober 1998 yang menyimpulkan bahawa Rahim Noor menyerang saya. Tan Sri Mokhtar dan pasukannya dengan itu telah secara sengaja mengelirukan masyarakat. Apabila siasatan polis menjadi tidak lengkap, orang ramai menjadi resah dan menuntut ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja. Tan Sri Mokhtar juga telah membuat kenyataan palsu bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada beliau hanya pada 19.11.98. Saya percaya Tan Sri Gani Patail ada makluman penuh tentang kenyataan palsu yang terkandung dalam kenyataan akhbar tersebut.

9. Saya juga percaya Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail telah hadir di Bukit Aman pada 20 September 1998 dan mengetahui mengenai serangan Tan Sri Rahim Noor terhadap saya. Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani selanjutnya menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadap saya dari pengetahuan umum sehinggalah mata saya yang lebam dan kecederaan yang saya alami didedahkan di mahkamah.

10. Saya percaya kedua-dua Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani Patail secara aktif terlibat dalam menyediakan laporan kedua tidak bertarikh oleh Dr. Abdul Rahman yang telah membuat kesimpulan palsu dan pelik seperti “the pattern and nature of the injuries are not consistent with a direct blow” [“bentuk dan ciri kecederaan adalah tidak konsisten dengan pukulan secara langsung”], “accidental nature of the injuries could not be ruled out” [“kemungkinan kecederaan ini disebabkan oleh kemalangan tidak boleh ditolak”] dan “self-inflicted nature of the injury should be considered” [kemungkinan kecederaan disebabkan perbuatan sendiri harus diberikan pertimbangan”]. Mereka mengarahkan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini dan bertindak di bawah pengarahan dan/atau bersama Tan Sri Mokhtar Abdullah.

11. Semua fakta-fakta ini menunjukkan Tan Sri Musa Hassan, Tan Sri Gani Patail dan SAC II Datuk Mat Zain bin Ibrahim (individu, yang menurut Dr. Abdul Rahman dalam lapurannya, telah mengiringi beliau ke sel di Bukit Aman di mana saya ditahan dan terlibat dalam apa yang didakwa ‘lakonan semula tempat kejadian’) telah berpakat dengan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini. Ini telah dilakukan agar lapuran polis saya bertarikh 27.9.98 mengenai serangan tersebut akan dikira sebagai lapuran polis palsu dan saya boleh didakwa, atau sekurang-kurangnya merosakkan kredibiliti saya bagi memberi kesan buruk terhadap pembelaan saya dalam kes-kes jenayah yang mana saya telah didakwa melakukan ‘korupsi’ dan liwat bagi membolehkan saya didapati bersalah.

12. Saya ingin menyatakan bahawa Tan Sri Gani Patail adalah pegawai pendakwa kanan yang membantu Tan Sri Mokhtar dalam membuat pendakwaan ke atas saya. Tan Sri Musa Hassan adalah Pegawai Penyiasat dalam pendakwaan terhadap saya. Saya juga percaya, satu tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini telah diambil apabila satu bilik operasi khusus telah disediakan di Bukit Aman untuk menguruskan pendakwaan saya dan di mana mereka akan berjumpa secara kerap.

13. Ini bukanlah kali pertama dakwaan mengenai pemalsuan bukti dibuat berkaitan Tan Sri Gani Patail. Saya dimaklumkan bahawa dalam keputusan Mahkamah Persekutuan Zainur bin Zakaria v Public Prosecutor [2001] 3 MLJ, Steve Shim, Hakim Besar, dalam penghakiman beliau menyatakan bahawa "... was he not justified, on a prima facie basis, in complaining that Tan Sri Gani Patail’s conduct at the meeting on 2.10.1998 was an attempt to get Nalla to fabricate evidence in order to perfect charges against him for other alleged sexual offences?"

Perkataan “he” dan “him” dalam ayat di atas merujuk kepada diri saya.

14. Berkenaan perkara di atas, saya merujuk kepada dokumen berkenaan bagi membantu siasatan polis:

a. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar yang dibuat pada 5.1.99.
b. Nota prosiding dalam lapuran Suruhanjaya DiRaja berkaitan keterangan Dr Abdul Rahman
c. Laporan Kesihatan kedua yang dibuat oleh Dr. Abdul Rahman yang terkandung dalam lapuran Suruhanjaya.

15. Saya memohon diadakan satu siasatan baru terhadap pemalsuan bukti yang mana saya telah dinasihati sebagai satu kesalahan di bawah seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 7 tahun. Saya memohon agar setiap individu yang terlibat dalam menyediakan laporan kedua oleh Dr Abdul Rahman ini iaitu Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Dr. Rahman dan Datuk Mat Zain bin Ibrahim disiasat secara terperinci agar kebenaran diperolehi dan sebarang salah laku dihukum.

Anwar bin Ibrahim
1 Julai 2008
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .