Ikuti Blog ini

Radovan Karadzic diberkas



BERBEZA... Dua gambar kombinasi ini menunjukkan penjenayah perang, Radovan Karadzic yang diberkas oleh pasukan keselamatan Serbia di luar Belgrade, kelmarin. Gambar kanan diambil semasa Karadzic menghadiri sidang Parlimen Republik Srpska di Bosanski Samac pada 13 Februari 1995, manakala gambar kiri adalah gambar terbaru Karadzic yang memperlihat wajahnya yang berjanggut, berambut panjang dan memakai cermin mataa


Penjenayah perang yang paling dikehendaki Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Radovan Karadzic akhirnya berjaya diberkas oleh pasukan keselamatan Serbia semalam.

Pemimpin Serb Bosnia itu, yang didakwa terlibat melakukan pembunuhan etnik di Bosnia pada 1992-1995, berjaya ditahan selepas hampir 13 tahun melarikan diri daripada tribunal jenayah perang PBB.

“Radovan Karadzic berjaya dikesan dan ditangkap malam tadi.

“Karadzic telah dibawa kepada hakim siasatan Mahkamah Jenayah Perang di Belgrade mengikut undang-undang selaras dengan peruntukan Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY),” menurut kenyataan pejabat Presiden Serbia, Boris Tadic.

Pejabat Presiden Serbia dan pendakwa raya jenayah perang enggan memberi penjelasan lanjut mengenai kenyataan ringkas tersebut yang tidak menyatakan maklumat lengkap mengenai masa dan tempat Karadzic ditangkap.

Seorang pegawai jenayah perang bagaimanapun berkata, bekas panglima perang Serb Bosnia berusia 63 tahun itu “tidak menentang” penangkapannya dan berada dalam “keadaan tertekan”.

Penangkapan itu menyusul dua minggu selepas penubuhan kerajaan baru Serbia yang dikuasai Parti Demokratik pimpinan Tadic yang pro-Barat dan Kesatuan Eropah (EU) dengan sokongan Parti Sosialis yang pernah dipimpin oleh bekas Presiden Slobodan Milosevic.

Karadzic dan bekas komander tenteranya, Ratko Miladic berjaya mengelakkan diri daripada ICTY sejak 1995 selepas didakwa melakukan jenayah perang, pembunuhan kaum dan jenayah kemanusiaan semasa Perang Bosnia 1992-1995.

Lebih 11,000 orang telah terkorban sepanjang perang di wilayah Balkan itu. Di bawah pimpinannya, pasukan tentera Serb Bosnia dipercayai telah membunuh lebih 8,000 orang Islam yang terperangkap dalam wilayah Grbavica yang dikuasai puak Serb.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .