Ikuti Blog ini

Anwar mahu bermu'aruf dengan Umno


PETALING JAYA: Hampir 12 jam selepas didakwa atas tuduhan meliwat, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak pernah bermusuh atau membenci Umno.

Sebaliknya, kata bekas Timbalan Presiden Umno itu, beliau akan sentiasa mahu mendekati Umno dengan mengajak para pemimpinnya berma'aruf untuk permuafakatan bangsa Melayu.

Kata beliau, dalam apa keadaan sekalipun kepentingan bangsa Melayu tidak akan diketepikan termasuk dalam apa jua bidang.

"Saya tidak akan berganjak untuk membela kepentingan orang Melayu tetapi dalam masa yang sama tidak akan mengetepikan nasib kaum lain," katanya pada ceramah perdana PKR bertajuk "Pembongkaran Konspirasi: Menjawab Tuduhan" di Taman Medan di sini malam tadi.

Anwar berkata, beliau turut akan menumpukan sepenuh perhatian kepada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini dengan mengetengahkan isu ekonomi.

Katanya Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali telah ditugaskan untuk mengetuai jentera pilihan raya PKR di Permatang Pauh.

Selain Anwar, beberapa peminpin PKR termasuk Azmin dan ahli dewan undangan negeri Taman Medan Haniza Talha turut berucap pada majlis itu yang dihadiri hampir 10,000 orang itu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .