Ikuti Blog ini

Umno bersandiwara dalam isu Muzakarah - Muslimat PAS


IPOH, 14 Ogos: Muslimat PAS menyifatkan para pemimpin Umno bersandiwara sahaja dalam usaha mereka untuk bermuzakarah dengan PAS.
Sebab itulah, selepas gagal meyakinkan PAS dengan janji-janji mereka, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri bertindak mendedahkan pertemuan ini kepada umum.

Demikian kata Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Salleh ketika memberikan Ucapan Tema Muktamar Dewan Muslimat PAS ke 48 di dewan hotel Hillcity, Jalan Gopeng Khamis lepas.

Lebih 150 para perwakilan Muslimat PAS dari seluruh negara menyertai muktamar itu di samping beratus-ratus lagi pemerhati yang memenuhi Dewan Muskamar itu.

Muslimat PAS bermuktamar kali ini dengan tiga dari empat Adun mereka adalah Exco kerajaan negeri iaitu Wan Ubaidah Omar (Kelantan), Dr Halimah Ali (Selangor) dan Siti Ashah Ghazali (Kedah).

Mereka juga kini mempunyai tiga anggota Parlimen iaitu Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja) dan Siti Zailah Yusof (Rantau Panjang). Menurut Nuridah, selepas saja PRU12 selesai, sandiwara pemimpin UMNO semakin ketara.

Pelbagai tawaran, katanya, diajukan kepada PAS umpamanya untuk bergabung, berkongsi kuasa dan mengadakan muzakarah di atas nama perjuangan agama dan bangsa Melayu.

"UMNO beriya-iya menjemput pimpinan tertinggi PAS untuk mengadakan pertemuan. PAS menyambut baik undangan pertemuan atau muqabalah ini dan bersedia mendengar apa-apa yang dihajati UMNO," beritahu beliau kepada peserta muktamar.

Seiring dengan pendedahan Abdullah, kata Nuridah, media arus perdana milik mereka riuh-rendah menjaja isu ini bagi menanam bibit keraguan dalam usaha memecah-belah gabungan Pakatan Rakyat.
Namun PAS telah lama belajar tentang sepak terajang politik mereka khususnya pengalaman pahit bersama Barisan Nasional pada awal 70an dulu, katanya.
Sebenarnya, tambah Nuridah lagi, kedudukan PAS adalah sangat jelas dalam isu ini.

"Kita konsisten sejak dulu lagi bersedia bermuqabalah atau bermuzakarah dengan mana-mana pihak bagi menyelesaikan permasalahan umat Islam dan masyarakat majmuk di Malaysia," kartanya.

Politik muzakarah

Bagi beliau, politik muzakarah ini sudah menjadi pendekatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejak dahulu lagi.
Malah, katanya, ia selari dengan pandangan NGO-NGO Islam di satu perhimpunan di Johor Bahru selepas PRU12 yang lalu.

"Siapa yang menganjurkannya tidak penting. Tetapi resolusinya menyeru parti-parti orang Islam di negara ini bersatu atas dasar kepentingan Islam dan bangsa Melayu," katanya.

Namun begitu, kata Nuridah, sejak dua dekad berlalu UMNO tidak menunjukkan reaksinya dan tetap membisu dalam isu muzakarah ini.
Senario ini menampakkan saingan sengit antara UMNO dan PAS, katanya.
Bagi beliau, rakyat jelas dapat melihat sikap terbuka PAS dan pandangan kehadapan, berbanding dengan UMNO.

"Namun kini dalam suasana UMNO tersepit, tiba-tiba Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengajak PAS bersatu di atas kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

"PAS di bawah kepimpinan ulama telah mengambil langkah berhati-hati dalam menangani isu ini dan dalam masa yang sama mengambil peluang menyampaikan dakwah dan nasihat kepada semua termasuk pemimpin-pemimpin Barisan Nasional," tambah beliau lagi.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .