Mogok, Akhirnya Harga Petrol - Diesel Bersubsidi Nelayan Turun 13 Sen Mulai Selasa !!
KUALA LUMPUR - Susulan daripada tindakan mogok Persatuan Nelayan Pukat Tunda seluruh negara, termasuk di Kuantan semalam maka akhirnya kerajaan mula sedar akan nasib malang yang menimpa mereka itu. Begitu cepat dan pantas kerajaan bertindak. Difahamkan persatuan terbabit akan mengadakan mogok selama 3 hari bermula semalam. Namun hari ini kerajaan telah mengumunkan harga diesel dan petrol bersubsidi nelayan diturunkan sebanyak 13 sen daripada RM1.43 seliter kepada RM1.30 seliter mulai 16 Disember. Kenyataan ini telah dikeluarkan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed hari ini. Dengan pelaksanaan harga baru itu, kerajaan akan menanggung tambahan perbelanjaan kira-kira RM197 juta setahun, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mustapa berkata kerajaan akan terus mengekalkan bayaran elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik individu vessel perikanan dan pekerja warga Malaysia yang bekerja di atas vessel berlesen. Kerajaan juga akan mengekalkan bayaran insentif pendaratan ikan sebanyak RM0.10 sekilogram seperti yang diputuskan pada Jun lepas, katanya. Beliau berkata penurunan harga diesel dan petrol bersubsidi akan memberi penjimatan perbelanjaan bahan bakar antara RM260 sehingga RM4,160 sebulan bergantung kepada zon tangkapan dan saiz vessel. “Penjimatan bagi vessel pukat tradisi Zon A (kawasan operasi 0 hingga lima batu nautika dari pantai) adalah sebanyak RM260 sebulan, vessel pukat tunda Zon B (lima hingga 12 batu nautika) sebanyak RM2,600 sebulan. “Vessel pukat tunda Zon C (12 hingga 30 batu nautika) sebanyak RM3,120 sebulan dan vessel pukat tunda Zon C2 (lebih 30 batu nautika) sebanyak RM4,160 sebulan,” katanya.
Mustapa berkata kerajaan juga pada 3 Nov lepas telah menambah kuota diesel dan petrol bersubsidi daripada 106 juta liter sebulan kepada 126 juta liter sebulan bagi menampung kegunaan diesel dan petrol akibat penambahan lesen vessel baru terutama lesen sampan sebanyak 15,900 buah yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan. “Berikutan permohonan daripada pemilik vessel pukat tunda, kerajaan pada tarikh yang sama telah meluluskan tambahan kuota sebanyak 4,000 liter sebulan bagi setiap vessel pukat tunda Zon C dan C2,” katanya. Beliau berkata penurunan harga serta tambahan kuota diesel dan petrol bersubsidi itu sewajarnya memberi pulangan tambahan kepada nelayan daripada segi pengurangan kos dan peningkatan pendaratan ikan.
Sementara itu, krew kami di Kuantan sempat hadir dalam pelancaran piket khas yang dibuat oleh Persatuan Nelayan Pukat Tunda Kuantan, semalam. Lebih 100 orang pengusaha bot yang telah hadir memberi sokongan. Nampak benar mereka tidak berpuas hati dengan harga sekarang, dan mahu ia diturunkan hingga RM1 atau bawah lagi. Keluhan itu turut disuarakan oleh Setiausaha persatuan terbabit iaitu Lo Ping Yong yang menyatakan bahawa biarpun kerajaan telah menurunkan harga bahan api enam kali berturut-turut namun subsidi masih ditahap membebankan. Kata beliau, pengusaha bot pukat tunda terbabit dipercayai terpaksa menanggung kerugian 60% dengan menampung subsidi diesel sebanyak RM1.43 seliter. “Kos ini begitu tinggi, bahkan kami terpaksa menanggung kerugian sekitar RM10,000 sebulan dengan operasi dua kali turun ke laut” katanya. “Kami mendedak agar pihak kerajaan mempertimbangkan permintaan ini, bahkan kami mendapat sokongan daripada semua persatuan dari seluruh negara”. “Kami bekerja dalam keadaan menanggung risiko yang tinggi serta terdedah kepada bahaya. Kami tidak layak malah langsung tiada peluang untuk mendapatkan insurans kerana kerja ini.
Namun dek kerana ini adalah pekerjaan turun temurun nenek moyang, maka terpaksa juga dilakukan. Sudahlah harga sebuah bot begitu mahal” katanya. “Insentif yang dijanjikan oleh kerajaan hanya diberikan kepada pemilik bot, namun hanya 20% sahaja yang menerima. Bahkan saya sendiri pun tidak memperolehinya. Proses yang terlampau rumit jelas sekali membebankan kami” katanya kepada wartawan.
Turut hadir di lokasi semalam ialah YB Chang Hong Seong - (ADUN Teruntum), YB Dato’ Wan Adnan Wan Mamat (ADUN Tg.Lumpur), Saudara Sim Chon Siang (Pegawai Khas Parlimen Kuantan & Ketua Penerangan PKR Kuantan) serta Saudara Siew Fook Chan (Exco PKR Pahang, Bekas Calon DUN Teruntum) dan Saudara Kamarul Hatta (Timbalan Ketua AMK Pahang). Dalam pada itu, Saudara Sim memaklumkan bahawa kes itu akan dibawa ke pengetahuan Ahli Parlimen Kuantan YB Fuziah Salleh untuk diambil tindakan segera.
Apa yang kami nampak, kerajaan begitu gusar dengan suara mereka ini. Bahkan mogok 3 hari yang dilancarkan terus mendapat perhatian daripada pihak kerajaan dengan pengumuman penurunan harga minyak terbabit. Justeru itu, kita amatlah berharap agar keprihatinan ini dapat diteruskan dalam isu-isu yang lain, agar rakyat terus terbela dan tidak dibiarkan menanggung derita sepanjang masa. Jika inilah cara dan kaedah perlaksanaan yang dilakukan, nescaya semua rakyat akan selesa dan berbahagia hidup di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Cuma, keluhan ini janganlah hanya diberi perhatian jika ia membabitkan kaum bukan Melayu sahaja. Ia sepatutnya meliputi juga kaum bumiputra terutamanya Melayu. Dari apa yang kami lihat sejak dulu kini dan selamanya, jika orang Melayu memprotes atau membangkitkan sesuatu isu rakyat maka begitu lama dan lambat untuk diberi perhatian dan dibuat keputusan.
Namun bila ia melibatkan kaum lain terutamanya Cina, maka begitu pantas seperti kilat ia dilaksanakan. Lihatlah apa yang berlaku ini, baru semalam diadakan protes dan mogok, maka hari ini kerajaan terus bertindak. Namun apakah mereka terutamanya pemilik bot dan nelayan terbabit berpuas hati? Sebab penurunan itu tidak mencecah RM1 seperti yang dipinta?