KOTA BHARU - Seorang ahli akademik menyifatkan hasrat kerajaan menyelesaikan kemelut institusi kehakiman dan rasuah dengan mewujudkan dua suruhanjaya baru-baru ini tidak lebih sebagai kosmetik.
Pakar Undang-Undang Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim (SPH), sebenarnya tidak ke mana-mana.
"Ini kerana kuasa mutlak bagi menentukan pelantikan hakim masih lagi berada di tangan Perdana Menteri dan suhanjaya tersebut hanya berperanan mencari nama-nama hakim layak dipertimbang ke jawatan lebih kanan.
"Jangan harap perubahan kepada kedua-kedua suruhanjaya tersebut kerana soal pelantikan hakim masih lagi berada di tangan Perdana Menteri.
"Begitu pendakwaan kes rasuah masih ditentukan Peguam Negara," katanya pada Wacana Perdana anjuran kerajaan negeri di Balai Islam, malam tadi.
Pihak kerajaan baru-baru ini membentang kedua rang-rang undang tersebut di Parlimen yang turut mendapat sokongan anggota parlimen Pakatan Rakyat.
Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan kewujudan Suruhanjaya tersebut merupakan janji kerajaan ketika menghadapi pilihan raya umum tahun 2004.
Bagaimanapun ramai melihat pembentangan itu dibuat secara tergesa-gesa sebelum Perdana Menteri meninggalkan jawatan pada Mac depan.
Dr Abdul Aziz berkata, sepatutnya kerajaan melakukan pindaan kepada Perkara 122 B Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa sepenuhnya kepada suruhanjaya terbabit bertindak.
"Tidak guna banyak suruhanjaya diwujudkan kalau tidak kita tidak ikhlas. Kita perlu kepada sistem yang lebih kredibiliti," katanya.
Beliau juga menyifatkan tindakan kerajaan hanya bergantung kepada Speaker dan pasukan polis bagi menghalang usul tidak percaya daripada Pakatan Rakyat sebagai tidak sepatutnya berlaku.
Katanya, peluang untuk mengemukakan undi tidak percaya sepatutnya tidak dihalang dari awal kerana negara-negara lain memberi ruang kepada pembangkang untuk menngemukakan usul termasuk di Jepun.
Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa pula menyifatkan SPK seumpama Suruhanjaya Mencari Nama Hakim yang tidak memberi sebarang perubahan ke arah membaik pulih institusi kehakiman.
Bagaimanapun Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mempertahankan kewujudan suruhanjaya terbabit yang disifatkan sebagai pemulaan yang dilakukan kerajaan sekarang.