Menurutnya kerja menghadapi PRK Kuala Terengganu adalah termasuk dalam kerja besar politik, memerintah dan memimpin negara.
Beliau berkata Nabi Muhammad SAW mengajak mereka yang menjalankan tugas dan amanah yang besar tersebut dengan mengadakan ’janji setia’ bukan hanya sekadar mengucap dua kalimah menjadi seorang Islam.
”Bahkan mereka wajib menterjemahkan dua kalimah sahadah itu bagi meninggikan kebenaran dan keadilan hukum Allah dimuka bumi Allah SWT, dimana dalam sejarahnya pemimipin yang memerintah dengan zalim tidak mudah menyerah kalah,”tegasnnya dalam Ucapan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Pakatan Rakyat di Kuala Ibai, disini, semalam.
Katanya dalam PRK Kuala Terengganu yang akan diadakan pada 17 Januari depan, PAS dan Pakatan Rakyat bukan hanya berhadapan dengan UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional namun akan turut berdepan dengan jentera kerajaan yang disalahgunakan.
”Kita berdepan dengan semua pihak yang mempertahankan rasuah, yang mempertahankan kezaliman, dan pihak yang melakukan kesalahan menipu rakyat dengan berbagai-bagai cara,”katanya.
Oleh yang demikian, beliau mengingatkan para petugas kepada peristiwa bai’ah, yang berlaku di bulan haji yang mulia dimana RasululuLlah SAW mengumpulkan 73 orang lelaki dan 2 muslimat dari Madinah untuk mengikat ’janji setia’ bersedia menjalankan kerja-kerja besar bagi mendirikan negara dan menghadapi cabaran.
”Yang pertama dengar dan taat dimasa rajin dan malas, yang kedua bersedia menyumbangkan harta dimasa senang dan susah, yang ketiga menyuruh yang baik dan mencegah mungkar, yang keempat bangun bersama untuk menyatakan kebenaran Allah dan yang kelima berjanji mempertahankan RasuluLlah dan Islam,”katanya
Justeru, beliau menyeru kepada semua para pemuda harus berdisiplin dan taat kepada keputusan kepimpinan, tekun serta bersungguh-sungguh menyumbangkan tenaga dan kewangan.
Ia adalah kerana katanya katanya kerja-kerja pilihanraya di negeri Terengganu pelik dan berbeza dengan negeri-negeri lain.
”Di negeri lain, termasuk negeri Kelantan, peratus keluar mengundi (adalah) 80% kebawah, Terengganu (jumlah) keluar mengundi (diantara) 85% hingga 90%, sehingga ada yang ’mati pun’ keluar mengundi,” ujarnya dengan nada sinis.
Menurutnya PAS Terengganu mempunyai kekuatan kerana Terengganu merupakan negeri yang pertama mencapai kemenangan pada tahun 1959.
Namun begitu, katanya, PAS Terengganu diserang begitu hebat dan terpaksa berhadapan dengan UMNO dan Barisan Nasional yang mempunyai kekuatan kewangan dan pelbagai tipudaya.
Sehubungan dengan itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK), berikrar dan berjanji setia akan turun habis-habisan menghadapi PRK Kuala Terengganu.
Ketuanya, Shamsul Iskandar berkata Pengarah Pilihanraya AMK Pusat, Fariz Musa akan memberikan sepenuh kerjasama dan bantuan kepada jentera pilihanraya pemuda PAS negeri Terengganu.
Beliau yang ditemui selepas Majlis Pelancaran berkata AMK telah menubuhkan sebuah bilik gerakan khusus di DUN Ladang sebagaimana yang diarahkan oleh Ketua Umum PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
”Bilik Gerakan akan dirasmikan pada 31 Disember, kita akan bantu, PAS akan mengetuai, AMK akan menyokong,”kata Shamsul.
Selain itu, katanya, pengaturan telah dibuat oleh oleh PKR Pusat dengan tiga atau empat PKR dari negeri-negeri membantu setiap DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.
Turut berucap dalam Majlis Pelancaran yang dihadiri oleh 1500 peserta itu adalah Ketua Dewan Pemuda PAS, Salehuddin Ayob.
Beliau dengan tegas memberikan amaran kepada pemuda-pemuda UMNO dan Barisan Nasional agar tidak menjalankan kempen diluar daripada batas undang-undang.
Katanya pemuda-pemuda Pakatan Rakyat bersedia menghadapi apa jua keadaan demi memastikan Calon PAS dan Pakatan Rakyat memenangi PRK Kuala Terengganu.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ketua Pemuda PAS Terengganu dan Ketua AMK Terengganu.