Kenyataan Media DSAI Berhubung Laporan Polis Ke Atas Gani Patail dan Musa Hassan
—KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—
20 Februari 2009.
1. Saya telahpun membuat laporan polis ke atas Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail pada 1hb Julai 2008 berhubung pembabitan mereka di dalam memalsukan bukti/keterangan penyiasatan kes serangan Rahim Noor ke atas saya.
2. Saya kesal kerana tiada sebarang tindakan diambil oleh Badan Pencegah Rasuah yang kini dikenal sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, walaupun sudah 8 bulan berlalu.
3. Kita diberitahu oleh Menteri di JPM Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, bahawa kertas siasatan tersebut sudah pun berada di Kamar Peguam Negara. Kita merasa ragu akan kebebasan siasatan tersebut kerana Peguam Negara sendiri terbabit sebagai mereka yang berkonspirasi memalsukan bukti.
4. Maklumat terperinci pembabitan Gani Patail berhubung penyiasatan polis itu telah didedahkan dalam penyata tuntutan yang difailkan oleh Dato Mat Zain(pegawai penyiasat di dalam kes saya) dalam satu tuntutan sivil beliau ke atas saya. Penyata tuntutan tersebut mengesahkan peranan Gani Patail dan Musa Hassan dalam episod tersebut.
5. Maklumat tersebut bersama analisis penjalanan prosiding Suruhanjaya Di Raja menjelaskan segala-galanya pembabitan Gani Patail dan Musa Hassan di dalam memalsukan bukti dalam kes yang lain.
6. Fakta/ Maklumat tersebut juga menunjukkan pembabitan mereka bersama pegawai polis kanan di dalam memalsukan satu laporan polis (Laporan Travers 3977/98) berhubung penahanan saya oleh ACP Koh, pegawai yang bertanggungjawab menahan saya, pada jam 2 pagi, 21hb September 1998. Laporan tersebut menyatakan saya ditahan di bawah ISA, bukannya kerana kes tuduhan liwat seperti yang dinyatakan oleh Koh beberapa jam sebelumnya di rumah saya. Ini dilakukan kerana mereka bertujuan menyembunyikan kecederaan saya dari diketahui umum, serta memastikan saya tidak perlu dihadapkan ke mahkamah sesegera mungkin.
7. Gani Patail dan Musa Hassan adalah mereka yang terlibat dan masih diberi kepercayaan mengetuai institusi penting di negara ini.
8. Hari ini saya membuat laporan polis berhubung pembabitan mereka di dalam konspirasi yang menyebabkan Koh membuat satu laporan palsu ke atas saya pada 21hb September 1998. Ini mengesahkan peranan mereka dalam konspirasi di sebalik laporan polis palsu yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun 2008.
9. Saya meminta satu tindakan segera diambil berhubung laporan polis yang dibuat oleh saya pada 1hb Julai 2008.
ANWAR IBRAHIM
20 Februari 2009