Ikuti Blog ini

BILA ORANG PAKLAH DICANTAS...

Pencabar terkuat Muhyiddin Yassin, Mohd Ali Rustam berjaya dihalang daripada bertanding. Saingan kepada Mukhriz pula, Khairy sudah dibusukkan namanya!

Keputusan yang dibuat oleh Lembaga Displin UMNO hari ini ibarat mengudungkan kaki dan tangan Mohd Ali dan Khairy. Mereka kini ibarat si cacat yang hanya menunggu masa untuk dilemparkan ke tepi jalan. Bila Najib menjadi orang nombor 1 di negara ini, karier politik mereka sudah pasti akan dikuburkan.

Apa yang berlaku hari ini bukan kebetulan semata. Ianya sudah dirancang dengan rapi untuk memastikan orang Mahathir kembali berkuasa dalam UMNO. Hasil daripada keputusan hari ini, Muhyiddin dan Mukhriz sudah boleh senyum hingga ke telinga. Mereka tidak perlu gunakan wang untuk menang. Nampaknya, mereka sudah menemui kaedah baru.

Tulisan Tun Mahathir diblognya sejak kebelakangan ini jelas cuba mempengaruhi pembacanya agar bencikan tindakan flip dan flop Abdullah Badawi. Kes kenaikan harga tol dijadikan asas untuk mengukuhkan hujah beliau. Selepas itu, Tun menulis tentang peri pentingnya Najib memilih orang yang bersih sahaja untuk membantu Najib.

Dan kini, rakyat sudah tahu. Mereka yang ‘bersih’ pada pandangan Tun adalah mereka yang berada dalam kem Tun/Najib dan mereka yang ‘kotor’ adalah mereka yang berada dalam kem Abdullah Badawi. Persoalannya kini, benarkah Najib, Muhyiddin, Mat Taib, Mukhriz, Rafidah yang berada dalam kem Tun benar-benar bersih daripada segala amalan salahlaku atau politik wang?

Drama politik UMNO yang berlaku hari ini tidak akan tamat di sini sahaja. Kem Abdullah Badawi pasti akan bertindakbalas. Saya tidak terperanjat jika Abdullah Badawi memilih untuk mengadakan pilihanraya umum daripada membiarkan Tun Mahathir terus berkuasa di bumi Malaysia melalui Najib dan sekutunya.

Jika itu kaedah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia yang kian berpanjangan, tiada salahnya jika Abdullah Badawi bertindak menggagalkan peralihan kuasa minggu hadapan dengan membiarkan rakyat jelata menyelesaikan kemelut ini melalui peti undi.

Mungkinkah Abdullah Badawi punya idea lain? Sama-sama kita tunggu episod seterusnya.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .