Kuala Terengganu - Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT) menyokong seratus peratus saranan Mursyidul Am PAS, yang menyarankan rakyat tidak membeli akhbar harian yang didukungi UMNO/BN dalam tempoh tiga bulan.
Setiausahanya, Ustaz Wan Shukairi Wan Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan.
“Ia adalah satu tindakan yangg sangat wajar untuk mengajar UMNO dan Barisan Nasional, hanya dengan memboikot akhbar-akhbar tersebut boleh menghukum dan menyedarkan UMNO/BN,”katanya kita dihubungi Buletinonline semalam.
Beliau berkata, DPPNT bersedia pada bila-bila masa mengeluarkan arahan kepada semua ahlinya agar tidak membeli dan memboikot akhbar-akhbar tersebut.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz baru-baru ini berkata, tindakan memboikot akhbar yang didukungi UMNO/BN adalah sebagai satu tindakbalas terhadap kerajaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan Isnin lalu.
Tuan Guru juga berkata, tindakan Kementerian Hal Egwal Dalam Negeri (KDN yang diterajui pemimpin UMNO jelas mahu menyekat pengaruh Pakatan Rakyat yang semakin meluas sekarang.
"Saya yakin tindakan mereka bermotif politik ketika menjelang pilihan raya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.
"Dendam yang membuak dalam dada pemimpin Umno menyebabkan mereka bertindak di luar batasan. Tindak tanduk mereka seperti Israel yang dendam terhadap umat Islam," katanya baru-baru ini..
Rakyat pernah memboikot akhbar-akhbar media perdana pada tahun 1997 dan 1998, ekoran pemberitaan tidak tepat akhbar-akhbar tersebut terhadap krisis ekonomi dan penangkapan serta pendakwaan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Boikot terhadap akhbar-akhbar berkenaan akan mengurangkan pengedarannya, sekaligus mengurangkan keuntungan dan membawa kerugian kepada UMNO/BN yang menjadi dalang dibelakangnya,”tambah Wan Shukairi.