Ikuti Blog ini

PENANTI: CALON PKR DIUMUM MALAM INI?



mansur othmanDr. Mansor Osman bakal diturunkan, jika menang bakal Timbalan Ketua Menteri


PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang biasanya 'terkebelakang' dalam mengumumkan calonnya bertanding pilihan raya kecil mengambil langkah awal menamakan bakal calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, malam ini.

Ia akan diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Calonnya disebut-sebut ialah Dr. Mansor Osman, bekas setiausaha politik Anwar ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mansor juga merupakan Timbalan Pengerusi Berhubungan PKR Pulau Pinang.

Mansor pernah bertanding di kerusi DUN Pulau Betong pada Mac 2008 tetapi tewas dengan perbezaan 294 undi di tangan Muhamad Farid Saad dari BN-Umno.

"Kami sudah memilih calon, akan mengumumkan calon ini esok... akan diumumkan di Penanti," kata Pengarah Pilihan Raya PKR yang baru, Saifuddin Nasution ketika dihubungi mStar Online.

Pelantikan Saifuddin sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR diumumkan oleh Anwar hari ini. Sebelum ini Saifuddin merupakan Pengarah Strategik PKR.

Pagi tadi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti dan jika ada pertandingan, hari mengundi adalah pada 31 Mei.

Kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Penanti wujud berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi berkenaan Mohammad Fairus Khairuddin.

Fairus, 33, daripada PKR mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Ketika ditanya mengapa PKR mengumumkan calonnya terlalu awal berbanding masa-masa lalu, Saifuddin berkata, "pengumuman dibuat mengikut keperluan... adakalanya kita perlu mengumumkan lebih awal, ada waktunya kita perlu mengumumkan lewat."

"Tak timbul soal cepat atau lambat," katanya.

Dengan pengumuman esok, kata beliau, PKR akan ada masa kira-kira tiga minggu menjelang hari penamaan calon untuk membuat persiapan.

Ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini PKR merupakan parti terakhir membuat pengumuman mengenai calonnya.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan majoriti 2,219 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) tahun lepas yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain bangsa.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .