Ikuti Blog ini

'Songkran' di PADANG PUSING - Masyarakat minoriti tidak pernah diabaikan

PENDANG – Agama Islam menganjur umatnya berbuat baik sesama makhluk di muka bumi ini tanpa mengira bangsa, agama, darjat dan keturunan.



Justeru itu, Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum minoriti di Kedah, demikian ucapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, YB. Dato’ Haji Mohamed Taulan Mat Rasul pada Majlis Perasmian Perayaan Songkran 2009 yang diadakan Watt Thamkhiriwong Buddhist Temple, Padang Pusing, di sini.



Majlis ini anjuran Royal Thai Consulate Pulau Pinang dengan kerjasama Jawatankuasa Watt Thamkhiriwong Buddhist Temple Padang Pusing.

“Kerajaan sekarang ambil berat seluruh warga negeri Kedah, tak kira dia Melayu, Cina, India atau Thai, selagi dia rakyat Kedah, kita layan sama, kita akan bertindak untuk kesejahteraan semua bersesuaian dengan hasrat kerajaan, Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.

“Agama Islam tak pernah ajar orang untuk berbuat jahat, malahan agama mengajak kita berbuat baik bukan sahaja pada manusia, tapi pada pokok, binatang dan seluruh makhluk di muka bumi ini,” jelas beliau.

Negeri Kedah mempunyai kepadatan penduduk 1.9 juta yang berbilang kaum, di mana masyarakat Siam sebanyak 1.4 peratus.

“Allah menjadikan pelbagai bangsa di dunia ini agar kita dapat mengenali antara satu sama lain,” jelas beliau yang turut mengucapkan ribuan terima kasih atas undangan bagi menghadiri perayaan ini.

Mengikut kalender Siam, Perayaan Songkran atau dikenali Pesta Air disambut oleh masyarakat Siam sejak turun temurun lagi sebagai perayaan Tahun Baru.
Perayaan ini disambut dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebaikan serta memperingati jasa golongan tua.



Hari perayaan ini dimulakan dengan menziarah kubur serta bergotong royong membersihkannya, memberi persalinan baru kepada kedua ibu bapa, bermaaf-maafan, merenjis air ke tangan para Sami dan warga tua dengan tujuan memohon restu, melawat kuil serta melakukan aktiviti-aktiviti hiburan.

Hadir sama pada majlis tersebut adalah Consulate General of Thailand in Penang, H.E Mr Manopchai Vongphakdi, Ahli Parlimen Pendang, YB. Dr. Haji Mohd Hayati Haji Mohd Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, S. Manikumar serta ketua-ketua Sami Watt Siam Kedah / Perlis.


Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .