MELAKA - Usul undi tidak percaya kepada Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam, yang bakal dibawa oleh DAP ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka pada 20 hingga 23 April depan telah ditolak oleh Speaker Dun, Dato' Othman Muhamad.
Menurut Adun Kesidang yang juga Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San bahawa empat usul yang melibatkan kepentingan rakyat dan integriti kerajaan negeri telah ditolak oleh speaker tanpa alasan yang kukuh.
"Usul pertama yang ditolak ialah undi tidak percaya kepada Ali Rustam kerana terlibat dengan politik wang dalam pemilihan Umno baru-baru ini sehingga rakyat Melaka mempersoalkan integriti beliau," kata Goh.
Selain itu katanya, usul yang meminta kerajaan negeri Melaka mengumumkan pemilikan harta Ketua Menteri, barisan exconya dan Adun negeri Melaka turut juga ditolak.
"Kami juga mengusulkan supaya kerajaan negeri Melaka mempercepatkan projek pembinaan jalan pesisir pantai dari Melaka Raya ke Padang Temu dan mengkaji semula langkah menukar laluan di Melaka Raya untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas tetapi ianya ditolak juga.
"Manakala usul ke empat yang ditolak ialah meminta agar sistem sekatan kuota Bumiputera bagi pembangunan perumahan dan lain-lain sektor berkaitan bagi menangani kegawatan ekonomi juga ditolak," katanya.
Goh menjelaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh speaker Dun itu adalah bermotifkan politik dan menunjukkan Ali Rustam sendiri bimbang berkemungkinan ada Adun BN yang akan menyokong usul-usul tersebut.
"Saya rasa Ali Rustam juga tidak percaya kepada Adunnya sendiri di mana andainya usul undi tidak percaya diterima, kemungkinan ada Adunnya yang akan sokong.