Ikuti Blog ini

“Adakah Allah Ta’ala tidak tahu politik, tidak tahu ekonomi dan tidak tahu hal-hal manusia ?”

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita9/kam1217(b)-Iftar%202.JPGKUALA TERENGGANU - Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Allah SWT telah memberikan amaran yang keras didalam kitabNya al-Quran, sesungguhnya manusia akan mengalami kehidupan yang pincang sekiranya meninggalkan hukum-hukum-Nya.

Beliau berkata, tujuan Allah Ta’ala menurunkan al-Quran adalah sebagai petunjuk kepada manusia seluruh alam, dalam semua perkara yang berkait dengan urusan manusia.

“Apa yang kita lihat hari ini kes gejala-gejala sosial, jenayah yang semakin merebak, rasuah berleluasa, kemelesetan ekonomi melanda Negara dan kemusnahan politik.

“Semua itu berpunca kerana manusia mencari petunjuk yang selain daripada al-Quran,” katanya ketika berucap pada Majlis Iftar Jamaie anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Negeri Terengganu, di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mengingatkan masyarakat Melayu bahawa al-Quran bukan sekadar hanya untuk dibaca bagi mendapatkan pahala semata-mata.

Katanya, ia adalah kerana al-Quran merupakan panduan lengkap kehidupan dalam semua urusan termasuk cara hidup, makan minum, berpakaian, rumahtangga, bermasyarakat, berpolitik dan berekonomi.

http://www.buletinonline.net/images/stories/berita9/kam1217(c)-Iftar%203.JPG“Orang Melayu bila sebut politik mereka anggap tidak ada kena-mengena dengan agama.

“Dan banyak di kalangan masyarakat kita (Melayu) ingat al-Quran hanya untuk dibaca dan mendapat pahala sahaja.

“Adakah Allah Ta’ala tidak tahu politik, tidak tahu ekonomi dan tidak tahu hal-hal manusia,” soalnya.

Justeru itu, Ustaz Abdul Hadi menjelaskan ibadat puasa sebenarnya mengajar umat Islam bertaqwa kepada Allah SWT.

Maka, katanya selepas bulan Ramadan ini akan diuji sejauh mana umat Islam dapat mengikuti al-Quran dalam membina peribadi muslim.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS negeri, To’ Puan Seri Hajah Zainab Awang, Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan PAS negeri Terengganu, Abdul Haris Malek dan Ketua Muslimat PAS Terengganu, Sapinah Jusoh.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .