Pengumuman kemangkatan baginda dibuat oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Abdul Ghani Othman.
Baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Puteri, pagi tadi kerana gering.
Sultan Iskandar meninggalkan Sultanah Zanariah serta 10 orang putera-puteri.
Baginda yang diputerakan di Istana Semayam, Johor Bahru pada 8 April 1932, dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 11 Mei 1981.
Tiga tahun kemudian pada 15 November 1984 baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan.
Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng di Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajaran ke English College, yang kini dikenali sebagai Maktab Sultan Abu Bakar.
Selepas itu, baginda melanjutkan pengajian ke Trinity Grammar School di Australia dan kemudiannya ke United Kingdom.
Apabila tamat pengajian pada 1956, baginda pulang ke Johor dan berkhidmat sebagai pegawai kadet dalam Perkhidmatan Awam Johor.
Baginda secara rasmi dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981. Pada 11 Mei 1981, baginda ditabalkan sebagai Sultan Johor keempat selepas kemangkatan ayahanda baginda.