"Saya tak fikir tindakan menggunakan pentas pembangkang perbuatan yang diterima tetapi saya juga pernah bercakap dalam kumpulan kecil mengkritik kerajaan.
"Saya tidak layak untuk mengkritik," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang menggunakan pentas pembangkang mengeluarkan kenyataan bahawa negeri itu layak menerima lima peratus royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.
Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada Persidangan Logik Asean di Universiti Islam Antarabangsa
Ekoran itu, Pergerakan Pemuda Umno melahirkan rasa kesal dengan tindak-tanduk Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu yang berkongsi pentas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat semasa perhimpunan di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Baru.
Semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dr. Mahathir mengkritik keras kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan penggantinya itu menguruskan negara.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berpendapat, Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu kerana mengutamakan negerinya berbanding Kerajaan Pusat.
“Saya fikir sebagai anak jati Kelantan, beliau mahu melihat negerinya itu mendapat wang. Itu saya rasa. Saya belum bercakap dengannya," ujar beliau.
Ditanya sama ada tindakan itu akan menjejaskan keyakinan pengundi terhadap Umno berikutan kejadian itu, Dr. Mahathir berkata: "Mungkin, mungkin.
“Tetapi apa sahaja yang kita lakukan, kita tidak akan dapat rampas balik Kelantan. Orang Kelantan ada cara tersendiri berfikir."