Ikuti Blog ini

Sapa nak tengok kehebatan Polis dan FRU sila Hadir 30 Mac ini di Dewan SUK Perak


MB Perak Tidak Boleh Hadir Sidang Dun 30 Mac Ini - Sivakumar

IPOH, 18 Mac (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar pada Khamis berkata Menteri Besar Mahkamah Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak boleh menghadiri sidang DUN pada 30 Mac ini kerana tempoh penggantungannya daripada menghadiri mesyuarat masih belum berakhir.

"Dr Zambry telah digantung selama 18 bulan manakala enam anggota exco selama 12 bulan...tempoh penggantungan enam anggota exco telah berakhir bulan ini," katanya pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini.

Sivakumar yang juga ADUN Tronoh berkata penggantungan Dr Zambry yang berkuatkuasa sejak 3 Mac 2009 masih berjalan tetapi enam lagi exco yang digantung selama 12 bulan itu sudah tamat tempoh penggantungan dan akan dibenarkan hadir.

Sivakumar mendakwa beliau masih Speaker yang sah dan telah menghantar notis menghadiri Sidang DUN pada 30 Mac ini kepada semua ADUN Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang kecuali Dr Zambry dan tiga ADUN Bebas.

"Tiga katak (ADUN Bebas) tidak dipanggil menghadiri Sidang DUN kali ini kerana saya sudah menerima surat peletakan jawatan mereka pada Februari 2009...mahkamah masih belum memutuskan sama ada mereka masih wakil rakyat yang sah kerana semakan kehakiman yang difailkan oleh saya terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya masih belum dibicara," katanya.

Beliau berkata penggantungan Dr Zambry dan enam anggota exco oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN telah disahkan pada 3 Mac oleh Sidang DUN yang diadakan di bawah pokok berhampiran Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Mengenai kedudukan Speaker Datuk R.Ganesan, Sivakumar mengulangi bahawa pelantikan Ganesan adalah tidak sah kerana tidak dibuat mengikut peraturan.

Katanya, usul pelucutan Speaker dan usul pelantikan Speaker baru telah beliau tolak iaitu sehari sebelum Sidang DUN 7 Mei 2009, jadi mengikut peraturan sidang, usul berkenaan tidak berbangkit.

Katanya, pelantikan Ganesan juga dibuat sebelum titah perasmian oleh Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dan itu bermakna peraturan mesyuarat telah dilanggar kerana perkara pertama dalam sidang perasmian ialah titah perasmian dan agenda lain adalah selepasnya.

Sivakumar berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengatakan Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang sah atau ketua eksekutif tetapi jawatan beliau sebagai Ketua Legislatif tidak berubah dan oleh itu akan terus menjalankan tugas sebagai Speaker.

BN mempunyai 28 Adun serta tiga ADUN bebas yang menyokongnya manakala PR mempunyai 28 ADUN dalam DUN Perak.

-- BERNAMA

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .