Ikuti Blog ini

Ramli Nuh kata JHEAT Tidak Mampu Buktikan Ayah Pin Sesat

zczXASBesut - Rata-rata penduduk Kampung Batu 13, Hulu Besut, dekat sini, masih bimbang ajaran sesat Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 68, akan kembali semula sekiranya beliau tidak ditahan atau diambil tindakan.

Bagi mereka, biarpun binaan-binaan keberhalaan yang bercanggah Islam seperti telaga zamzam dan bahtera Nabi Noh sudah dirobohkan lebih tiga tahun lalu, ia tidak bermakna kegiatan Ayah Pin sudah berakhir.

Beberapa penduduk tempatan disini menolak kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhamad Ramli Nuh yang mendakwa keutamaan kerajaan negeri ialah menghapuskan ajaran itu dan bukan mengheret Ayah Pin ke mahkamah.

Pada 14 November baru-baru ini, Ramli Nuh menyifatkan tindakan menahan dan membicarakan Ayah Pin tidak penting tetapi yang paling penting ialah tindakan 'menghalau' Ayah Pin (ke Selatan Thailand) sudah berjaya.


Beliau juga melahirkan rasa keraguan dan tidak percaya kepada keupayaan mahkamah syariah dan menyatakan Ayah Pin mungkin boleh terlepas.

"Ini kerana perkampungan kumpulan itu di Besut sudah tidak aktif lagi. Para pengikutnya juga sudah tidak berjumpa seperti dahulu.

"Kalau kita tangkap dan bawa ke mahkamah, ia ambil masa yang panjang dan mungkin dia boleh terlepas kalau tidak ada bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahannya," kata Ramli Nuh yang dipetik oleh sebuah akhbar perdana.

Namun begitu penduduk kampung bimbang kerana menurut mereka Ayah Pin lelaki yang dianggap ‘tuhan’ oleh pengikut setia ajaran sesat itu, dikatakan masih lagi berulang-alik ke perkampungan itu.

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, walaupun lelaki berhak pulang ke perkampungan berkenaan kerana keluarganya masih tinggal di situ, namun penduduk bimbang dia mungkin meneruskan kegiatannya secara senyap.

“Selepas replika di kawasan itu dirobohkan pada Julai 2005 penduduk kurang mengambil perhatian terhadap apa yang berlaku di kawasan perkampungan itu sekarang.

“Namun, sejak kebelakangan ini, ramai penduduk melihat banyak kenderaan termasuk jenis mewah memasuki perkampungan itu dan perkembangan ini menimbulkan kesangsian dan kebimbangan penduduk,” kata penduduk tersebut.

Beliau juga menolak dakwaan konon Ayah Pin kini tenat akibat menghidap penyakit kronik dan bersembunyi di negara jiran sebagai pembohongan kerana lelaki itu dipercayai menetap di Tumpat, Kelantan.

Beliau mendakwa, Ayah Pin yang mempunyai pengikut terdiri pelbagai agama dan bangsa termasuk dari Singapura dan Indonesia dikatakan sentiasa ditemani dua atau tiga pengikut setianya setiap kali pulang ke perkampungan itu menaiki kereta bagi mengawal keselamatannya.

Sementara itu kenyataan Ramli Nuh menggambarkan bahawa kerajaan negeri khususnya Jabatan Hal Ehwal Agama (JHEAT) terlalu lemah hingga tidak dapat membawa bukti dan saksi bahawa Ayah Pin telah memesongkan aqidah Islam.

Katanya, untuk menahan seseorang yang dikaitkan dengan kesalahan membabitkan ajaran sesat sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

“Bukan sukar untuk kita menahan individu itu tetapi payah mencari bukti bagi mensabitkan kesalahan dilakukan. Tidak ada bukti yang boleh dibawa ke mahkamah untuk mendakwa Ayah Pin kerana menjalankan kegiatan yang bercanggah Islam.

“Memang kita tahu, dia (Ayah Pin) bersalah kerana memesongkan akidah masyarakat dan melakukan kegiatan bercanggah Islam tetapi dalam mahkamah, semua itu tidak boleh dipakai dan mahkamah memerlukan bukti kukuh dan itu yang kita tidak mampu buat,” katanya

Ramli Nuh tidak menafikan Ayah Pin masih berulang alik ke perkampungan itu seperti didakwa penduduk, namun beliau mengambil remeh tentang pergerakan Ayah Pin walaupun mengakui sentiasa membuta pemantauan.

“Itu hak dia dan kita tidak boleh menghalangnya pulang ke perkampungan itu kerana itu kampungnya dan masih ada keluarga yang tinggal di kawasan berkenaan,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) bagi mengenal pasti bentuk tindakan boleh diambil terhadap Ayah Pin.

Penduduk meluahkan rasa jemu dan bosan kerana terpaksa mendesak pihak berkuasa agama supaya dapat melakukan sesuatu termasuk menahan lelaki terbabit bagi mengelak kemungkinan dia meneruskan kegiatannya di perkampungan itu, namun hingga kini masih tiada tindakan.

“Kita bimbang Ayah Pin bertindak umpama menyelam sambil minum air apabila menjadikan keluarga sebagai alasan untuk kembali ke kawasan berkenaan, sebaliknya terus menjalankan kegiatannya secara senyap,” kata mereka yang dipetik oleh Metro Ahad.




Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .