GEORGETOWN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengorak selangkah lagi untuk merealisasikan impian menjadikan negeri itu sebagai pusat halal antarabangsa, dengan menubuhkan sebuah ‘Task Force’ yang dianggotai seramai lima Exco kerajaaan negeri dan 26 ahli mewakili kerajaan negeri dan agensinya, dewan-dewan perniagaaan, pihak swasta dan ahli akademik.
Pasukan yang dipengerusikan oleh Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Abdul Malik Kassim diumumkan pelancarannya oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dalam suatu majlis ringkas di sini 15 November lalu.
Task Force berkenaan menurut Guan Eng akan berperanan sebagai agensi pelaksana dan landasan bagi menetapkan hala tuju dan polisi dalam merancang cadangan kerajaan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat hab halal antarabangsa.
Jelasnya pasukan tersebut akan berfungsi berlandaskan prinsip urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus ) yang mengutamakan kebajikan rakyat dan menjunjung sistem demokrasi.
Jika negara majoriti bukan Islam seperti Thailand, kata Guan Eng boleh memajukan industri halal, tidak ada sebab Malaysia boleh ketinggalan dalam bidang ini.
Sementara Abdul Malik berkata kerajaan akan membangunkan 131 ekar di kawasan industri di Bukit Minyak, Seberang Perai sebagai Taman Perindustrian Halal.
“Dua syarikat tempatan yang mengeluarkan produk perubatan halal, menjadi syarikat pertama yang akan beroperasi di Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang di jangka tahun depan.
Menurut Malik Halagel (M) Sdn Bhd, pengeluar gelatin halal untuk farmasi dan GranuLab (M) Sdn Bhd, pengeluar bahan tulang sintetik bersetuju mendirikan kilang masing-masing di taman berkenaan.
“Kerajaan juga sedang membincangkan secara serius dengan beberapa syarikat tempatan yang berminat,” katanya.
Tambah Malik, kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan Penang Port Sdn.Bhd untuk mewujudkan pelabuhan halal kedua dunia selepas pelabuhan Rotterdam Belanda.
Anggota Task Force antaranya Mufti Negeri Pulau Pinang, Haji Hassan Ahmad, Pengurus Besar Invest Penang Wan Zaleha Mohd Nordin, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang Rosli Jaafar, Pengerusi JBC- IMTGT (Malaysia) Fauzi Naim Noh, Pengarah Urusan Penang Port Sdn. Bhd Ahmad Ibni Hajar, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Rizal Faris Mohideen, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang Tan Kok Ping, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Islam Malaysia Pulau Pinang, Mohd Yusoff Latifff, Pengerusi Malaysia International Chambers of Commerce dan Industry, Penang & Northern Branch, Nazir Ariff, Ketua Eksekutif Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd, Jamil Bidin, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM, Profesor Dr Yaacob Che Man, Naib Canselor USM Dzulkifli Abdul Razak dan Pengarah Pusat Halal Universiti Chulalongkorn Thailand Winai Dahlan. Ketua Menteri bertindak sebagai sebagai Penasihat.