Ikuti Blog ini

Kematian Baharuddin : Kerajaan, Polis Nampak Macam Nak 'Cuci Tangan'- Wan Azizah

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mahu punca kematian peserta Baharuddin Ahmad disiasat dengan adil dan saksama.

Menurut beliau, punca kematian Allahyarham yang menyertai himpunan Bersih untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 Julai lalu masih tidak diketahui keluarga beliau walaupun ramai saksi menyaksikan tindakan polis pada hari tersebut.

"Cara polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tangani himpunan tuntutan yang murni itu menunjukkan ada sesuatu yang tak kena dengan sistem negara kita, " kata beliau dalam sidang media di sini hari ini.

Polis sebelum ini telahpun membuat kenyataan bahawa mangsa meninggal dunia akibat penyakit jantung yang dialaminya.

Setakat ini, keluarganya hanya menerima surat kebenaran membawa keluar jenazah untuk dikebumikan, namun masih belum menyatakan sebab kematian kerana masih menunggu hasil ujian makmal.

"Kita percaya ajal di tangan Tuhan tetapi cara hidup dan mati jadi pengajaran kepada kita.

"Apa-apa yang berlaku kita mesti tuntut keadilan kepada arwah. Kita mesti buat secara adil dan saksama," kata beliau lagi.

Pengerusi Biro Displin PKR itu turut mempersoalkan mengenai kenyataan rasmi kematian Baharuddin oleh kerajaan dan polis yang seolah-olah cuba 'mencuci tangan' dari sebarang tanggungjawab.

"Apa yang kita tahu, Baharuddin sihat ketika keluar dari rumah pada hari itu.

"Tindakan polis menembak gas pemedih mata pada orang ramai yang tidak bertindak ganas pada hari itu dilihat semua. Saya nampak dengan mata sendiri di Sogo polis mengejar orang ramai yang telahpun bersurai. Adakah itu namanya 'crowd control' ?," soal beliau merujuk kepada ratusan video dan gambar serta cerita orang ramai mengenai kejadian pada 9 Julai lalu.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .