Fikir semula pelaksanaan Undang-Undang Syariah
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri khususnya melalui Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri diminta memikirkan semula pelaksanaan undang-undang syariah seperti yang termaktub dalam al-Quran agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa menepati syariat Islam.
Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Sura) berkata, sekiranya ingin mengatasi masalah sosial di negeri ini yang dilihat semakin berleluasa, penubuhan satu jawatankuasa yang menggunakan pendekatan holistik al-Quran mampu mengurangkan masalah tersebut dalam kalangan remaja hari ini.
“Ini sebab, rata-rata remaja yang terlibat dalam aktiviti yang tidak bermoral kebanyakan lemah dalam pengetahuan agama dan kita percaya sekiranya jawatankuasa ini dilulus dan dilaksanakan, masalah itu dapat dikurangkan walaupun tidak seratus peratus,” katanya ketika membahaskan ucapan Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR), Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, semalam.
Sementara itu, Wan Hassan meminta Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada pembinaan satu hospital baru di Dungun kerana ia sangat penting dalam soal kesihatan masyarakat di kawasan itu.
“Perkara ini sangat penting kerana hospital yang sedia ada dibina sejak 1960- an lagi dan banyak kemudahan tidak mencukupi dalam memberikan perkhidmatan terbaik.
“Kita berharap permohonan ini akan dapat dikaji dan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10),” katanya.
Beliau juga menyarankan penekanan pembelajaran al-Quran tidak hanya terhad kepada kanak-kanak di peringkat prasekolah sahaja kerana pada masa sekarang masih terdapat pelajar di sekolah rendah dan menengah yang tidak dapat me-nguasai pembacaan al-Quran sepenuhnya.
Katanya, Kerajaan Negeri perlu memikirkan alternatif terbaik seperti menambahkan bilangan kelas agama supaya generasi muda dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk mendalami dan menghafaz al-Quran.
“Memang diakui Kerajaan Negeri begitu menitikberatkan pembangunan akademik namun usaha ke arah melahirkan generasi celik al-Quran juga wajar diberi penekanan,” katanya. – Sinar Harian