KUALA TERENGGANU – Walau sebaik mana sekali pun rancangan diatur dan dilaksanakan, ia tetap akan gagal sekiranya tidak dipacu oleh modal insan yang cemerlang.
Model Ekonomi Baru (MEB) yang dilancarkan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak akan gagal sebagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) kerana menghadapi masalah pelaksana.
”Masalahnya adalah masalah pelaksana, pelaksana inilah yang berkait dengan modal insan,
”dalam kita membina modal insan kita mestilah melihat kepada komponen-komponen yang asasi kepada naluri dan fitrah manusia,”saran Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga ADUN Rhu Rendang berkata demikian ketika membahaskan titah perasmian Tengku Seri Panglima Raja dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam, 7 April.
Menurutnya, Allah menjadikan manusia mempunyai jasad, ruh, individu, masyarakat, bahan-bahan yang digunakan, kewajipan terhadap hak-hak Allah dan khilafah iaitu memakmurkan mukabumi dengan peraturan dan kebijaksanaan yang diturunkan olehNya.
Katanya, komponen tersebut merupakan mata rantai yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain dalam membangunkan modal insan.
”Kita bercakap tentang Ulul-albab, kita bercakap tentang ‘khaira ummah’ sebaik-baik umat, bercakap tentang ‘ummatan wasata’, umat yang pertengahan,
“tetapi kita tidak menyentuh mata-mata rantai yang merupakan komponen bagi membentuk Ulul-albab, penekanan yang utama ialah aqidah,”jelasnya.
Bagi orang Islam, beliau berkata, aqidah adalah mengikhlaskan diri kepada Allah SWT dan menolak ‘toghut’ iaitu setiap yang melampaui batas, bukan sahaja dalam aspek ibadah, bahkan dalam cara hidup.
Katanya, undang-undang dan peraturan yang melampaui batas akan menjadikan manusia turut melampau batas dan tidak seimbang diantara rohani dan jasad.
Sebagai contoh, berlaku ketidakseimbangan tersebut, kata beliau, adalah jawapan bertulis yang diberikan kerajaan tentang kewujudan pusat snooker dan karaoke di negeri ini, dimana, menurutnya, undang-undang dan peraturan sedia ada membenarkan sebanyak 70 buah pusat tersebut beroperasi.
”Manusia tidak boleh mengawal hawa nafsu, sebagai contohnya saya lihat disini terdapat ketidakseimbangan,
”Bukannya kita tidak boleh berhibur, boleh berhibur, tetapi sejauh mana batas-batas sempadan dalam hiburan ini,
”saya tidak nampak batas-batas sempadan ini berlaku dengan cara yang teguh dan kuat,”tegasnya.
Dengan itu, katanya, adalah perlu batas-batas sempadan yang dapat mengawal aspek-aspek negatif dari hiburan ini, kerana ia adalah perkara yang sangat penting.
Justeru, beliau berkata, adalah baik bagi kerajaan negeri, jika dilaksanakan undang-undang berdasarkan syari’at Islam yang telah diluluskan oleh DUN dan telah ditandatangani oleh tuanku Sultan serta telah digazetkan.
”Kami telah meluluskan undang-undang berdasarkan syari’at Islam dalam (pada) penggal yang lalu, kerajaan tidak menolak, terus menerima, dan Tuanku (Sultan) telah ‘sign’ (tandatangan) dan (telah) digazetkan,
”alangkah baiknya, perkara ini dilaksanakan dan kami bersedia untuk memberi kerjasama yang sepenuhnya,”katanya.- BO-