Kemaskini - titah Tengku Baderulzaman mengesahkan kegagalan kerajaan dalam membasmi kemiskinan.
KUALA TERENGGANU - PAS menyambut baik teguran yang dibuat oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud Tengku Baderulzaman dan berharap dapat memberikan peringatan dan kesedaran kepada kerajaan negeri.
Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata teguran tersebut adalah amat wajar memandangkan kemiskinan di negeri Terengganu masih di tahap tercorot.
(Gambar - Tengku Baderulzaman bersalaman dengan ADUN PAS, Dr Syed Azman - Batu Burok, berjabat tangan sambil diperhatikan oleh Dato' Tengku Hassan - Ladang)
Beliau berkata, negeri Terengganu masih mendapat jolokan ‘negeri kaya rakyat miskin’ walaupun berbilion ringgit wang telah dibelanjakan sejak Barisan Nasional merampas pemerintahan daripada PAS pada tahun 2004.
Katanya, kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kemiskinan rakyat kerana ia menjadi 'alat politik' untuk meraih sokongan dan undi semasa pilihanraya.
”Kemiskinan menjadi 'alat politik' untuk meraih sokongan, kekayaan hasil negeri di bazirkan dengan projek-projek yang tidak menguntungkan dan (tidak) memberi manfaat (yang banyak) kepada rakyat,”ujarnya ketika ditemui.
Oleh itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, kerajaan bukannya membela rakyat, tetapi mengambil kesempatan menindas dan mengugut rakyat yang miskin.
Justeru, katanya, pembangunan yang dihebahkan oleh kerajaan hanyalah projek-projek yang menguntungkan pimpinan Umno serta kroni.
”Rakyat di ugut dengan budaya 'subsidi', tak sokong Umno tak dapat ‘wang ehsan’ tak dapat ‘dana khas’ duit raya,
”tak sokong Umno tak dapat bantuan rumah PPRT, tak dapat bantuan basikal dan macam-macam lagi ugutan,
“Konon, atas nama ‘Pembangunan’ buat projek sana-sini, yang dapat projek pemimpin Umno dan kroni, rumah penduduk dirobohkan, penduduk Melayu dalam kawasan Bandar dihambat keluar, merempat di bumi sendiri,”tegasnya.
Mengulas perkara yang sama, ADUN Ladang Dato’ Tengku Hassan Omar berkata titah Tengku Badrulzaman mengesahkan kegagalan kerrajaan dalam membasmi kemiskinan.
Selain kurang ‘fokus’, kata beliau, perlaksanaan pemberian bantuan oleh kerajaan dan agensi masih berlaku pilih kasih dan ‘pilih bulu’.
“Kata Tengku Baderulzaman, (kerajaan) basmi kemiskinan belum membanggakan, maknanya kerajaan gagal menangani isu ini dengan baik,
“mungkin kurang ‘fokus’ (tumpuan) dan perlaksanaan masih pilih kasih, bantuan diberi masih ambil kira ‘orang kita’ atau ‘orang dia’,
“banyak (kewangan) dihabiskan dalam bentuk pemberian ‘wang ehsan’, tetapi tidak menyediakan peluang pekerjaan secukupnya untukk tinggikan pendapatan rakyat,”tegasnya.
Kerajaan negeri Terengganu ditegur oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud, dalam titah pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bermula hari ini, Isnin, 5 April.
Tengku Baderulzaman bertitah kemiskinan masih ‘menghantui’ kehidupan rakyat Terengganu, walaupun banyak program dilaksanakan oleh kerajaan, namun masih belum menunjukkan hasil yang membanggakan.
Justeru, Tengku Baderuzzaman menekankan, supaya kerajaan negeri Terengganu memberikan penumpuan dan memberi bantuan hanya kepada golongan yang layak sahaja.
Selain itu, Tengku Baderulzaman turut meminta kerajaan negeri memberikan tumpuan tentang kemudahan perumahan untuk rakyat, pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, sektor pertanian dan asas tani.
Titah beliau turut menekankan supaya pembaziran, penyelewengan dan salah urus hendaklah di hapuskan daripada pengurusan awam. - BO-