Ikuti Blog ini

Edisi Khas Muktamar PAS : ULAMA' PERLU PERLENGKAP THAQAFAH


Ditulis oleh Jabatan IT PAS Pusat

MACHANG, 10 Jun – Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Ahmad Yaakob menekankan agar ulamak perlu teguh serta lengkap dengan thaqafah bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

"Sejak lama dulu ulama berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun cabaran ini tidak melemahkan mereka untuk menyebarkan Islam," ujarnya.


Di samping itu jelas beliau, ulamak perlu memperkuat diri mereka dengan memahami fahaman-fahaman baru yang merosakkan masyarakat.

"Seperti yang dilakukan oleh Imam al-Ghazali, beliau bukan sahaja membaca pemikiran Greek dan Yunani, malah beliau berupaya mematahkan pemikiran tersebut dengan hujah yang kukuh dan diterima oleh zamannya," tambahnya.

Peranan ulama adalah sangat penting untuk memimpin masyarakat. Mereka bertangungjawab memberi inzar memandangkan keadaan masyarakat Islam pada hari ini jauh lebih teruk berbanding masyarakat jahiliah dahulu.

"Dahulu, pemikiran umat dirosakkan oleh akidah muktazilah, khawarij, qadariyyah dan jabariyyah dalam keadaan negara Islam masih utuh dan berkuasa,

"Sekarang fahaman liberal, sekular, komunis, sosialis dan nasionalis bukan sahaja mempengaruhi pemikiran masyarakat tetapi menjadi anutan utama masyarakat Islam. Kerajaan juga seolah-olah tidak mementingkan hal ini untuk diatasi,” jelasnya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan agar semua ahli dewan membuat persiapan sewajarnya. “Ulamak juga perlu lebih berani mengeluarkan ijtihad bagi menyelesaikan masalah baru yang membelenggu masyarakat," katanya lagi.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .