Ikuti Blog ini

TIADA KERJASAMA DENGAN UMNO, IBARAT PIKUL BIAWAK HIDUP



PENGKALAN CHEPA - PAS membuat penegasan bahawa tidak akan melaksanakan sebarang kerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk.

Ianya diulangi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan PAS kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) petang tadi.

Menurutnya, kerjasama dengan Umno-BN hanya akan mendatangkan masalah dan tidak memberi apa-apa manafaat.

"Gagasan dengan Umno-BN tidak boleh menyelesaikan masalah kerana mereka masih lagi tebal dengan perkauman," ujarnya kepada pemberita.

Sedangkan pihak PAS ujarnya, mempunyai agenda tersendiri.

"Ini bermakna kita (PAS) menutup terus pintu rundingan bersama Umno-BN," tegasnya.

Terdahulu, dalam ucapan Dasarnya Ustaz Hadi menyatakan ia ibarat memikul biawak hidup.

"Perpaduan tersebut ibarat memikul biawak hidup, juga seperti memikul kezaliman dan segala masalah yang dimiliki Umno-BN," katanya lagi.

Justeru ujarnya PAS tidak akan meninggalkan bahtera yang selamat bagi memastikan usul Muktamar kali ke-54 di Ipoh, Perak terus dilaksanakan.

Mengulas lanjut mengenai hubungan PAS dengan bukan Islam menerusi penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) ahli parlimen Marang itu menyatakan ianya berbeza dengan kerjasama yang dibuat Umno dengan BN.

"Bezanya kita dengan Umno adalah kita mempunyai dasar Islam sebagai panduan untuk memastikan kita tidak tersasar daripada landasan yang sebenar.

"sedangkan Umno mengikuti cara sekular," tambahnya lagi.

Sementara itu ketika dibangkitkan status keahlian DHPP, beliau menyatakan sememangnya terdapat perbezaan antara ahli PAS dengan DHPP.

"Tetapi mereka (ahli DHPP) akan mencapai status keahlian PAS seperti biasa tidak lama lagi," katanya lagi.

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .