RAWANG, 2 Julai: Umurnya sudah 65 tahun. Namun kerana kecintaannya kepada ilmu dan pendidikan dia pergi ke serata masjid dan surau untuk mengajar agama sambil mengumpul sumbangan orang ramai untuk pembinaan sebuah pusat pendidikannya sendiri.
Itulah Ustaz Nik Razi Nik Mat, adik bongsu kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Nik Aziz adalah anak kedua dari lima adik beradik itu.
Malam tadi, sebagaimana bulan-bulan sebelum ini, Nik Razi, bekas pensyarah pendidikan Islam UITM itu memberikan kuliahnya di Surau As Siddiqin, Bandar Tasik Puteri dekat sini.
(Gambar: Nik Razi (kiri) memberikan kad sumbangan derma kepada salah seorang jamaah surau As Siddiqin malam tadi)
Selepas sahaja selesai kuliah maghrib itu, beliau mengeluarkan sekotak kad nama yang beliau namakan kad ANB iaitu singkatan kepada Akademi Nun Berhad.
Kad itu mengandungi nombor akaun bank serta nama dan alamat akademi pendidikan yang beliau mahu tubuhkan. Melalui kad itu, beliau memohon sumbangan orang ramai untuk membantu beliau mendirikan sekolahnya.
"Sekarang ini sudah kumpul setengah juta (ringgit), kami perlukan satu setengah juta lagi untuk menyiapkan sekolah ini," kata Nik Razi ketika memberikan penerangan tentang sekolah yang menjadi idamannya sebaik sahaja selesai kuliah.
Sekolah yang dinamakan Maahad Tahfiz ICT Nikmatillah yang terletak di Pulau Melaka akan dibina di atas tanah seluas enam ekar berhampiran dengan Maahad Darul Anwar yang kini terletak di sebelah rumah Nik Aziz.
Beliau jangka, persekolahan boleh dimulakan pada tahun 2012 dengan mensasarkan 300 pelajar untuk kumpulan pertama.
Sekolah ini, sebagaimana sekolah agama lain akan membolehkan pelajarnya mengambil peperiksaan SPM dan STAM. Namun, asas agama akan diberikan secukupnya untuk membolehkan para pelajar yang tamat dari sini menjadi pendakwah yang hebat.
Kerana cintakan ilmu, Nik Razi semasa mudanya telah mengembara ke seluruh dunia mencari ilmu termasuklah pusat ilmu Islam iaitu Mesir dan Pakistan serta India. Beliau kini memiliki master dalam pengajian Islam.
Setelah sekian lama menjadi pensyarah di UITM, Nik Razi mengambil pencen pilihan pada tahun 1994 lalu. Selepas pencen, beliau menjadi mudir kepada Maahad Muhammadi (Lelaki) iaitu sebuah sekolah agama terkenal di Kota Bharu.
Selepas tiga tahun kontrak di situ, beliau bertugas di Pondok Moden Kandis sebagai pensyarah kontrak sehingga kini.
Kerana kecintaannya kepada ilmu dan mahu memberikan ilmu yang terbaik itulah Nik Razi bergerak ke segenap surau dan masjid untuk mengumpulkan sumbangan orang ramai bagi merealisasikan cita-citanya itu.
Di samping mengumpulkan sumbangan melalui kupon-kupon khas, beliau juga menjual pelbagai jenis barangan khasnya dari Kelantan termasuk serunding daging untuk tujuan yang sama selepas beliau memberikan kuliah.
"Kalau tak habis barangan itu, saya tidak akan datang lagi mengajar kat surau bulan depan," kata Nik Razi sambil tersenyum bergurau dengan murid-muridnya.
(Gambar: Sebahagian bahan jualan yang dibawa Nik Razi. Keuntungannya digunakan untuk membina sekolah idamannya)
Ketika ditanya Harakahdaily, apakah beliau tidak mendapat bantuan dari kerajaan negeri untuk pembinaan sekolah ini, kerana menteri besarnya adalah abang beliau sendiri, sambil tersenyum Nik Razi berkata:"Adalah minta tetapi dia (Nik Aziz) kata, kalau beri, nanti orang lain pun akan minta juga. Jadi kena usaha sendiri." Bagi sesetengah pihak, tindakan Nik Aziz ini adalah kerana beliau tidak mahu menampakkan keluarga beliau mengambil kesempatan dengan kedudukan mereka.
Kepada pembaca yang sudi membantu Nik Razi mencapai cita-citanya, bolehlah memberikan sumbangan ke Mayban no akaun 153038986011.
Cek pula boleh ditulis atas nama Dana Modal Kewangan Ain no akaun BIMB Kota Bharu 03036010004548. Untuk sumber wang riba atau interest dan shubhat masukkan ke akaun BIMB 03018020377202. -Hrkh