Di bawah pemerintahan Umno-BN, orang Melayu-Islam bukan sahaja semakin jauh dan tidak didekatkan kepada Islam, malah ada yang murtad. Manakala orang bukan Islam pula, mereka bukan sahaja ditakut-takutkan dan ditanam perasaan prejudis terhadap Islam, malah ada yang berani menentang Islam secara terbuka.
Lantaran itu, PAS juga menerima kesannya apabila turut sukar mendekati masyarakat bukan Islam. Namun hasil usaha tanpa pernah jemu, masyarakat bukan Islam semakin menilai PAS hingga temboh pemisah selama ini dapat diruntuhkan. Pada ketika sama, masyarakat bukan Islam semakin menjauhi Umno-BN setelah melihat tindakan mereka yang semakin banyak menggugat keharmonian antara kaum dan agama.
Buat julung kalinya di negeri ini, satu dialog antara PAS yang diwakili Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Ustaz Dr. Mujahid Yusof dengan panganut Kristian telah diadakan di Gereja Christ of The King, Sungai Petani baru-baru ini.
Pelbagai persoalan ditanya yang menunjukkan bahawa mereka selama ini telah meragui dan salah faham terhadap Islam dan PAS. Antaranya berhubung kalimah Allah, murtad, Suruhanjaya Antara Agama (IFC), pelapis kepimpinan ulama, perkataan kafir, hudud, bahkan perkataan 'Mujahid' turut dibangkitkan.
Pun demikian, penjelasan diberikan Ustaz Mujahid nyata membantu meleraikan kesangsian selama ini sekaligus membuka ruang kelegaan buat mereka. Walaupun imbal balas yang diterima di kalangan mereka mengakui masih ada perasaan was-was, namun dialog itu telah membuka mata mereka terhadap kesederhanaan PAS dan berharap dapat diadakan lebih kerap selepas ini.
Terdahulu, Ustaz Mujadid dalam ucapan aluannya menghuraikan pendirian PAS dan prinsip Islam mengenai kebebasan dan hubungan antara agama, isu kalimah Allah, susur galur kekeluargaan Nabi Ibrahim hingga Nabi Muhammad dan sejarah Kristian - Islam serta ketuhanan Allah, rasuah, arak dan judi serta isu-isu negara. Hadir sama Ketua Paderi Gereja Christ of The King, Father Nelson; Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Hu Pang Chaw dan aktivis masyarakat, Anil Netto.