Ikuti Blog ini

Masih Ada Musuh Dalam Selimut

Umno Tetap Untung Disebalik Pelawaan terhadap PAS – Aziz Bari

Semuanya bermula dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin yang menyatakan kesediaan Umno bekerjasama dengan PAS, sehingga membawa polemik politik ini berterusan dicanang di media-media massa.

Umno membuka ‘dasar buka pintu’, namun sehingga kini tiada nada positif diberi malah pemimpin tertingginya Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat awal-awal lagi sudah menutup pintu tersebut.

Menurut ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari, ‘pelawaan’ Umno itu hanya untuk memecahkan PAS daripada rakan seangkatan dalam Pakatan Rakyat (PR).

"Tidak syak lagi ini adalah helah politik Umno. Mereka tahu jika PAS termakan pujukan, PAS akan maut kerana kerusi yang dimenangi dengan sokongan bukan Melayu. Begitu juga negeri seperti di Kedah.

"PAS tewas di Terengganu dan Perlis sebab negeri itu negeri Melayu dan PAS tidak boleh bersaing dengan Umno. Ertinya Umno menggunakan PAS untuk memecahkan Pakatan Rakyat kerana PR bergantung kepada PAS. Ini mekanisma yang Umno lihat," katanya kepada Free Malaysia Today.

Menurut beliau, Umno sentiasa mendapat keuntungan daripada polemik politik ini, sedangkan PAS masih terkial-kial kerana mempunyai ‘musuh dalam selimut’.

Umno dilihat bijak dengan memainkan isu tersebut agar dapat memesongkan perhatian rakyat daripada isu ekonomi, rasuah yang sentiasa dibangkitkan Pakatan.

"Kerjasama ini sukar terjadi kerana tokoh utama iaitu Nik Aziz menentang keras. Dari perspektif Umno isu ini menguntungkan mereka kerana sekali lagi mereka dapat mengganggu permainan dengan isu yang tidak relevan ini.

"Isu ini dapat memesongkan perhatian rakyat dari isu lain seperti ekonomi,rasuah dan lain-lain yang penting buat Pakatan. Sebab itu yang untung – baik ia menjadi atau sebaliknya – ialah Umno.

Apa pun kesudahannya Umno sudah untung; PAS terkial-kial kerana di dalam kelambunya ada musuh dalam selimut," katanya yang juga pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa.

Setuju dengan Khalid

Malah beliau turut bersetuju dengan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad agar pemimpin yang menemui Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dipecat dalam parti.

"Saya fikir adalah bodoh kalau PAS ikut cakap Umno dan saya setuju dengan Khalid Samad yang mahukan pemimpin menemui Mufti Harussani ini dipecat.

"Pemimpin berkenaan jelas membelakangkan parti dan mementingkan diri sendiri. Kita lihat mereka yang dikaitkan dengan kerajaan perpaduan agak resah, mungkin mereka yang makan cili,"
katanya.

Harussani yang menawarkan diri sebagai pengantara baru-baru ini mendedahkan terdapat pemimpin PAS dan Umno menemuinya bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti bermusuh itu.

Namun masih tiada penjelasan lanjut diberi Harussani menyebabkan timbul banyak spekulasi di dalam kem PAS sendiri.

‘Kerjasama dapat kurangkan perbezaan dua parti’

Sementara itu, menurut Presiden Transparency International (Malaysia), Tan Sri Ramon Navaratnam setuju sekiranya tujuan kerjasama itu adalah untuk memperbaiki perpaduan masyarakat di negara ini.

Sambil merujuk kepada PAS-Umno, menurutnya melalui kerjasama yang akan terjalin itu dapat mengurangkan jurang perbezaan antara dua parti terbabit.

"Semua kerjasama antara parti politik adalah sesuatu yang baik, tetapi ia mesti bertujuan untuk meningkatkan perpaduan sedia ada. Harap ia bukan helah politik.

"Jika semua berminat masyarakat tanpa kira agama dan bangsa turut bersetuju kerana ia mengingatkan tentang Malaysia. Ini sekaligus dapat mengurangkan jurang perbezaan antara dua parti yang bertelagah," katanya.

Namun beliau memberi peringatan agar kerjasama itu bukanlah berkisarkan Melayu dan Islam semata-mata kerana ia bakal memberi implikasi kepada parti lain serta konsep Barisan Nasional.

"Mereka tidak boleh bersatu…ini Umno perlu jaga, jika berkongsi pendapat tidak mengapa. Tetapi bukan bersatu.

"Jika penyatuan ini berlaku, parti komponen lain seperti MIC,MCA, serta parti di Sabah dan Sarawak turut melakukan perkara yang sama.

Maka konsep BN akan hilang….," katanya memberi nasihat. -FMT
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .