Ikuti Blog ini

PAS bentuk jawatankuasa anti saman ekor

KUALA LUMPUR, 30 Julai: Datuk Mahfuz Omar (kanan) berkata, Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat bersetuju membentuk Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Beliau yang juga pengerusi lujnah itu berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat lujnah pada 28 Julai lepas.

Katanya, jawatankuasa bertindak yang dipengerusikan beliau itu bagi menangani masalah kenderaan dan pemilik yang disenarai hitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tidak dibenar memperbaharui cukai jalan ekoran saman ekor yang dilakukan oleh pihak polis yang bertentangan dengan perlembagaan dan perundangan negara.

Jawatankuasa bertindak KASE yang dipengerusikan oleh beliau sendiri selaku Naib Presiden PAS akan bermesyuarat pada 2 Ogos ini di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur jam 11.00 pagi.

Mesyuarat itu, ujarnya untuk merumus tindakan yang akan diambil ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi membela rakyat khususnya pemilik kenderaan.

“Satu sidang media akan diadakan pada 2 Ogos jam 12.30 tengah hari di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Semua pihak media dan blogger dijemput hadir,” ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyelar sikap yang ditunjukkan oleh kerajaan Umno BN yang tetap meneruskan saman ekor walaupun pelbagai pihak menentang perlaksanaannya.

Timbalan ketuanya, Azman Shapawi Abdul Rani (kiri) berkata, ini berdasarkan kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada sidang media mereka pada 9 Julai yang lalu.

Menurut Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof bahawa tindakan itu untuk memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab.

PDRM juga pada masa sama, menurutnya, akan menyenaraihitamkan pemilik kenderaan yang gagal melunaskan saman selepas tiga bulan notis diserahkan.

Abdul Aziz berkata, tindakan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 17 dan Seksyen 29 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya juga telah menyerahkan notis saman kepada lebih 2.5 juta pemilik kenderaan sejak September 2009.

Azman berkata, tindakan itu jelas membelakangkan slogan keramat Umno BN iaitu ‘Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’.

Ini, katanya kerana dengan perlaksanaan itu akan menyebabkan penerima notis saman terpaksa membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah.

Ini juga, menurutnya boleh dikategorikan sebagai ‘ISA Kedua’ seperti mana yang telah diungkit oleh Ketua DPPP, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi sebelum ini.

Katanya lagi, dengan perlaksanaan saman ekor itu juga kerajaan sebenarnya tidak bertindak untuk mendidik rakyat tetapi terus menghukum.

“Di dalam kaedah Islam, sebelum menjatuhkan hukuman perlu ada kaedah mendidik dahulu agar bijak menilai buruk baik sesuatu perkara. Kemudian, sekiranya melakukan juga kesalahan, harus dibicarakan terlebih dahulu. Dan sekiranya didapati bersalah, barulah hukuman dijalankan,” ujarnya.

Dengan perlaksanaan saman ekor itu juga, katanya menguatkan lagi dakwaan bahawa kerajaan Umno BN sememangnya ketandusan sumber kewangan dan kekeringan cara bagaimana hendak menambah hasil negara selain daripada mengalihkan beban itu untuk ditanggung oleh rakyat.

“Sudahlah rakyat dibebani dengan kenaikan harga minyak dan barang baru-baru ini atas alasan ‘penyelarasan subsidi’. Kini rakyat ditambah lagi dengan satu lagi bebanan,” katanya.

Di dalam isu itu, ujarnya Pakatan Rakyat (PR) perlulah menghapuskan semua bentuk saman ekor serta memansuhkan yang tertunggak dan melaksanakan satu kaedah yang lebih mendidik kepada pengguna jalan raya sekiranya diberi peluang menjadi kerajaan Pusat.

Ini, ujarnya bukan bererti tiada langsung saman tetapi hukuman yang lebih mendidik dan lebih berkesan.

“Melihatkan kedegilan kerajaan yang tidak mahu mendengar rintihan rakyat dengan terus melaksanakan pelbagai polisi yang mencengkam rakyat, DPPP merasakan hanya satu jalan sahaja yang akan menyebabkan kerajaan mendengar rintihan rakyat iaitu dengan memilih PR di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang,” ujarnya. -Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .