Ikuti Blog ini

Rompakan Balak Berhemah Atas Nama JKKK Kini Terus Berlaku Lagi Di Pahang, Rancangan Tanah (RTK) Serta Tanaman Semula (RTB) Jadi Alasan !!

Kami tidak terkejut dengan pembongkaran yang dibuat dalam posting terbaru Blogger Braveheart dalam blognya berkenaan isu kelulusan kawasan kepada seorang "tokey balak" dari Mentakab Pahang baru-baru ini. Artikel yang bertajuk "alang-alang mandi biar basah" itu juga mendedahkan surat kelulusan kawasan membalak seluas 570 ekar oleh Pengarah Perhutanan Negeri Pahang kepada individu terbabit (tetapi nama tokey berkenaan dipadamkan).

Kaedah yang digunakan adalah sama iaitu bagi tujuan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) untuk tujuan Projek Tanaman Semula Berkelompok (RTB). Kawasan yang terbabit iaitu di Paya Pelong, Mukim Jenderak dalam Daerah Temerloh. Menurut surat pejabat hutan itu, permohonan "tokey berkenaan" telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang ke 11/2010 pada 7 April lalu. Antara alasan yang dinyatakan ialah pihak kerajaan negeri bersetuju meluluskan kawasan seluas lebih kurang 230.68 hektar (570 ekar) itu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Dato' Sharif Ahmad.

Apa yang amat mengecewakan pihak berkenaan ialah "tokey" terbabit dikatakan telah menguasai Ketua Kampung dan JKKK dalam Parlimen Temerloh sejak beberapa tahun yang lalu. Malah mereka juga mengatakan "Kalau dulunya Pahang pernah menganugerahkan gelaran "tengku Wong" kepada seorang peniaga kayu balak, kini wajar sekali diberikan gelarang "Tengku Akek" kepada peniaga kayu balak dari Mentakab kerana berjaya menguasai Ketua-ketua kampung / JKKK dalam Parlimen Temerloh yang diberikan konsesi kayu balak dalam kawasan rayau orang asli. Difahamkan beliau adalah "abangadik" kepada seorang YB dari Temerloh".

Soalnya, siapakah pemimpin dan YB yang dimaksudkan itu agaknya?.


Inilah bukti, surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Perhutanan Negeri Pahang

[Kami cuba menyiasat kebenaran laporan berkenaan dan berjaya mendapat maklumat tersebut. Difahamkan YB berkenaan telah menggunakan wang "tokey" terbabit sebanyak RM500,000 bagi tujuan membeli perwakilan untuk menang jawatan penting dalam pemilihan parti itu. Selepas beliau menang, maka dihadiahkan beratus-ratus kawasan balak kepada tokey terbabit yang bernilai jutaan ringgit. Kini hubungan mereka semakin akrab dan banyak kawasan balak yang terlarang ditarah atas nama projek tanaman semula berkelompok untuk diserahkan kepada tokey itu. Pendek kata "tokey" yang mempunyai "sawmill" dekat Mentakab itu kini makan hasil jasa YB berkenaan yang dipelihara sebaik-baiknya.

Akhirnya apa yang dilihat orang Melayu tertipu menjadi alat untuk melempiaskan nafsu puak-puak pemimpin atasan yang kaya raya menikmati hasil. Mereka memberilah sedikit tempias kepada Ketua Kampung dan JKKK untuk menutup mulut. Senario ini berlaku di seluruh negeri Pahang sebenarnya. Malah, Menteri Besar Pahang sendiri khabarnya hanya akan meluluskan kawasan bakal untuk JKKK. Namun, itu hanya topeng semata-mata, sedangkan hakikatnya pemimpin UMNO setempat yang kaya-raya makan lauknya. Sebaliknya JKKK hanya dapat menghirup kuah yang ditinggalkan.

Puak-puak UMNO BN pun memang tahu kejadian ini, namun dek kerana takut untuk melawan dan membongkarkannya maka dibiarkan saja ia berlaku. Soalnya, sampai bila ia harus terjadi?. Akhirnya yang mendapat untuk ialah beberapa kerat pemimpin UMNO yang menjawat jawatan penting di bahagian masing-masing. Sedangkan ahli-ahli akar umbi yang berjuang bermati-matian hanya diberikan
"duit teh" sebagai "gula-gula" untuk menutup mulut mereka. Rakyat kini terus ditipu lagi nampaknya]. -Pahang Daily
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .