PUTRAJAYA, 26 Ogos: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan mahkamah sebelum ini yang mengarahkan Felda membayar pampasan lebih RM11 juta kepada 354 peneroka sebuah rancangan Felda di Kelantan.
Keputusan ini dipercayai akan membuka ruang kepada lebih tindakan saman terhadap Felda dalam isu manipulasi pengredan kelapa sawit oleh Felda terhadap penerokanya.
Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sherif, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan Felda berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengetepikan permohonan Felda membuat rayuan terhadap perintah Mahkamah Tinggi Kota Bharu supaya agensi itu membayar RM7.8 juta ganti rugi dan faedah kepada peneroka-peneroka itu.
Panel hakim selain Alauddin adalah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif, mendapati mahkamah itu tidak dapat membenarkan permohonan itu kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa menyemak semula keputusan awalnya.
Mahkamah juga memerintahkan Felda membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.
Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkan Felda membayar RM7.8 juta bersama faedah kepada peneroka-peneroka itu setelah peguam agensi itu gagal hadir di mahkamah semasa saman itu didengar.
Selepas mendengar keterangan saksi-saksi mereka, mahkamah membuat keputusan memihak kepada peneroka.
(Gambar: Para peneroka Felda bersama peguam mereka di perkarangan Mahkamah Persekutuan hari ini...gambar Malaysiakini)
Jumlah itu kemudiannya meningkat kepada RM11 juta bersama faedah terkumpul. Setiap peneroka dianggarkan akan menerima RM30,000 sebagai ganti rugi.
Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.
Mereka menamakan Felda, pengurus Felda Kemahang 3 Ibrahim Ismail (yang telah meninggal dunia) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, sebagai defendan. Seramai 100 peneroka hadir di mahkamah hari ini.
Mereka diwakili sepasukan peguam diketuai Wan Rohimi Wan Daud manakala Felda diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Tahniah dari PAS
Sementara itu, PAS merakamkan ucapan tahniah kepada 354 peneroka Felda Kemahang 1 yang berjuang bagi menegakkan hak dan keadilan lebih sepuluh tahun.
Kesabaran menanti keputusan mahkamah membuahkan hasil bilamana mahkamah memutuskan Felda membayar sebanyak RM11 juta sebagai gantirugi kerana menipu gred kelapa sawit mereka.
Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.
"Dengan keputusan hari ini bermakna apa yang didakwa oleh persatuan ANAK adalah tepat dan ia akan membuka mata pihak berkenaan agar membayar kepada seluruh peneroka gred perahan yang sebenar," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
PAS, kata Tuan Ibrahim, menyelar kenyataan dari Pengerusi Felda Datuk Dr Yusuf Nor baru-baru ini bahawa parti pembangkang memasuki Felda untuk memecahbelahkan peneroka felda.
"Kami hanya inginkan keadilan kepada peneroka Felda yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Tidak timbul soal memecahbelah felda; kerana sebahagian penyokong dan ahli PR adalah peneroka dan generasi kedua Felda," kata beliau.
Katanya lagi, mereka menuntut keadilan agare diberi ke atas mereka, dan kerajaan seharusnya tidak mengula-gulakan mereka dengan memberi duit raya sedangkan di waktu yang sama merampas hak gred perahan sawit jauh lebih besar dari apa yang diberi sebagai saguhati tersebut.
"Bagi PAS Felda mesti berterus terang dalam segala urusan dengan peneroka, bukan hanya mengenakan pelbagai potongan dalam keadaan peneroka dipaksa menerima harga dan kos yang ditentukan oleh felda.
"Kos seperti baja, meracun, jalan ladang, loding dan sebagainya sehingga hutang peneroka Felda mencecah angka yang tidak munasabah; namun oleh kerana mereka terikat dengan perjanjian yang tidak adil menyebabkan hasil mereka terus dipotong oleh Felda," katanya.
Sehubungan itu, PAS juga, katanya, mengesa pihak Felda menyegerakan geran hak milik kepada semua peneroka yang telah selesai melunaskan bayaran kembali, bahkan ada di antara peneroka telah melunaskan hutang lebih dari 5 tahun, namun masih belum mendapat geran hak milik lagi.
"Semoga kejayaan hari ini membuktikan bahawa PAS dan PR benar-benar berjuang demi membela nasib peneroka Felda yang telah ditindas bertahun-tahun lama oleh sistem yang tidak adil kepada mereka," katanya. -Hrkh