Ikuti Blog ini

Mazlan Aliman fail saman RM20 juta

TEMERLOH, 17 Ogos: Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman memfailkan saman malu terhadap empat pihak bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM20 juta atas apa yang disifatkannya sebagai penahanan salah pada insiden di Felda Lembah Klau, Mac lalu.

Saman tersebut telah difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh, semalam dengan menamakan empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Awang Sulong, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), pegawai polis, Mohd Azran Rahmat dan Kerajaan Malaysia.

Dalam sidang media selepas penyerahan writ saman tersebut, Mazlan berkata tindakan diambil setelah beliau dan keluarganya menerima kesan diaibkan di khalayak umum dan dilayan seolah-olah beliau seorang penjenayah.

“Atas peristiwa yang berlaku saya dan keluarga saya termasuk anak-anak saya merasa malu apabila di sekolah anak saya ditanya rakan-rakannya sebab-sebab beliau ditahan di lokap. Saya rakyat Malaysia dan merupakan anak peneroka juga mengapa saya dilayan macam penjenayah,” soalnya.

Peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, ada asas berlaku penahanan yang salah dilakukan pihak terbabit ke atas Mazlan yang boleh dicabar di mahkamah.

“Ada terdapat percanggahan fakta bagi tujuan mengelirukan terhadap penggunaan seksyen 441 iaitu penahanan dilakukan atas kesalahan pencerobohan jenayah yang dikenakan ke atas Mazlan, maka kita ada asas yang cukup kuat untuk mencabarnya di mahkamah,” katanya.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim, Pengerusi Hal Ehwal Peneroka Kebangsaan, Suhaimi Said dan Pengerusi Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid menyokong penuh tindakan saman yang dilakukan Mazlan.

“Atas apa yang berlaku kita melihat bagaimana pihak pengurusan Felda telah melakukan tindakan kurang ajar dan melampaui bidang kuasa masing-masing sehingga menyekat hak dan kebebasan rakyat. Oleh yang demikian itu, kami menyokong penuh tindakan yang dilakukan oleh Mazlan,” kata mereka.-Hrkh

Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .