Ikuti Blog ini

Lagi gejala 'rasis' di sekolah

Dua lagi insiden pengetua dan guru 'rasis' dilaporkan. Kali ini, membabitkan sebuah sekolah di Muar, Johor dan sebuah lagi di Tengkera, Melaka.

Perkara ini didedahkan oleh ahli parlimen Bakri, Er Teck Hwa dan ADUN Bachang, Lim Jak Wong kepada Suara Keadilan Online.

Er (kiri) mendakwa pada April lalu, pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abu Bakar di Muar memaksa lebih 50 pelajar bukan Islam daripada tingkatan satu hingga lima supaya menadah tangan serta membaca doa bersama-sama pelajar Islam semasa perhimpunan bulanan sekolah itu.

Beliau mendakwa pengetua telah mengarahkan pelajar bukan Islam meniru cara berdoa pelajar Islam.

"Ibu bapa pelajar bukan Islam terbabit datang mengadu kepada saya mengatakan perkara ini amat tidak wajar dilakukan oleh pengetua tersebut. Mereka berkata pelajar ke sekolah untuk menuntut ilmu dan bukannya untuk dipaksa berbuat perkara yang berlawanan dengan kepercayaan agama masing-masing.

"Saya ingin tegaskan pihak kementerian pelajaran mesti mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pengetua yang bersikap rasis. Setakat memberi amaran kepada mereka yang bersifat rasis hanya menggalakkan mereka mengulangi perbuatan itu," kata Er.

Beliau berkata aduan telah dibuat kepada Jabatan Pendidikan Johor dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong (kanan) dan pengetua berkenaan hanya diberi amaran sahaja.

Kejadian di sekolah ini berlaku beberapa bulan sebelum insiden seorang pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman di Kulai yang didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pelajar Cina dan India pada Ogos lalu.

Sementara itu pada Julai lalu, seorang guru agama di Sekolah Menengah Perempuan Methodist di Tengkera, Melaka pula telah didakwa memarahi pelajar sebuah kelas sekolah dengan mengeluarkan kata-kata perkauman.

Ini berikutan beberapa pelajar perempuan Melayu berpakaian tidak menutup aurat ketika memperagakan fesyen dalam satu aktiviti di sekolah itu.

Guru terbabit kemudiannya memarahi pelajar kelas berkenaan yang terdiri daripada berbilang kaum dengan menyalahkan pelajar Cina di atas perbuatan pelajar Melayu yang tidak menutup aurat.

Malah guru agama tersebut mendakwa pelajar Cina memakai seluar pendek kerana mahu menjual tubuh mereka.

Lim berkata perbuatan guru itu tidak boleh dimaafkan langsung kerana kesan apa yang diluahkannya akan mempengaruhi pelajar menteladani guru berkenaan.

Walaupun, Lim berkata beliau dimaklumkan bahawa guru itu telah ditukar ke sekolah lain namun tindakan berkenaan dianggap tidak memadai.

"Tindakan keras mesti diambil dengan memecat guru berkenaan, tidak cukup sekadar menukar daripada satu jabatan ke jabatan yang lain.

"Inilah akibatnya guru diberikan mesej dan indoktrinasi yang salah ketika diwajibkan menghadiri kursus BTN. Apabila dalam keadaan marah mereka tidak boleh mengawal diri mereka lalu keluarlah semua sifat rasis yang terpendam selama ini di dalam diri mereka hasil ajaran BTN," kata Lim.

Beliau memberi amaran sekiranya kerajaan berlembut terhadap pengetua atau guru 'rasis', keharmonian serta perpaduan pelajar pelbagai kaum di sekolah negara ini akan turut terjejas dan menerima kesan buruk.

Er juga sependapat dengan Lim bahawa kejadian pengetua dan guru sekolah yang bersikap rasis adalah kesan daripada doktrin politik 'ketuanan Melayu' ciptaan Umno yang seringkali menjadi teras kepada kursus anjuran Biro Tatanegara (BTN) yang diwajibkan kepada kakitangan kerajaan dan golongan pelajar.

Menurut Lim warga pendidik yang menghadiri kursus BTN telah diberi maklumat serta 'semangat' yang salah sehingga apabila dalam keadaan marah, mereka menghamburkan segala kenyataan rasis yang dipelajari serta diterapkan ke dalam minda guru-guru berkenaan.-M'kini
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .