Beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat menggantung kain rentang di depan pintu utama Parlimen ekoran tidak ada tindakan diambil terhadap kain rentang milik Umno, yang didakwa menghina Parlimen.
Dr Hatta Mohd Ramli (PAS-Kuala Krai) berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak seharusnya membenarkan mana-mana sepanduk mewakili parti digantung di Parlimen. Katanya, Parlimen adalah tempat berprotokol selain meraikan seluruh rakyat bukannya untuk berpolitik.
"Kalau iklan tentang aktiviti kerajaan dan parlimen tidak menjadi masalah tetapi ini program parti politik," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.
Sementara itu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) menegaskan, tujuan mereka menggantung sepanduk Pakatan Rakyat itu bagi mengetahui pendirian pentadbiran Parlimen mengenai perkara itu.
Sebelum ini, Teresa membuat protes dalam Dewan Rakyat terhadap sepanduk Umno, bagaimana pun Speaker menegaskan ia adalah di luar bidang kuasanya.
"Selepas saya buat protes, Speaker kata ini bukan bidang kuasa beliau. Jadi kalau Speaker kata tak ada kuasa, maksudnya parti lain pun boleh buat perkara sama. Kita nak tahu apa pendirian Speaker atau pentadbiran Parlimen?" soalnya.
Isnin lalu, Teresa Kok yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP membangkitkan perkara itu di dalam dewan. Beliau mempertikai tindakan menggantung sepanduk itu dan mahu semua parti diberi peluang yang sama.
Namun Speaker, Tan Sri Amin Mulia berkata, perkara itu tidak ada kena-mengena dengan persidangan dan tidak seharusnya dibawa ke dalam Dewan. Tambah Teresa lagi, tiada asas yang membolehkan Umno menggantung sepanduk perhimpunan agung mereka kerana ianya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bukan di Parlimen.
"Perhimpunan mereka berlangsung di PWTC, jadi apa kena-mengena dengan Parlimen?" soalnya.
Abdullah Sani (PKR-Hulu Langat) pula berkata, Pakatan Rakyat ingin menguji kuasa mana yang digunakan kerajaan kerana sebelum ini, Pakatan tidak pernah diberi peluang yang sama walaupun telah membuat permohonan untuk menggantung sepanduk atau mengadakan sebarang program.
"Kita nak lihat di mana keadilan. Ini ujian di mana kuasa Speaker, di mana kuasa DBKL. Kalau mereka cabut sepanduk kita, bermaksud merekalah yang berkuasa. Sebelum ini pun, kita sentiasa mengikut prosedur dalam membuat permohonan untuk program kita tapi tak pernah diluluskan," katanya.