Ikuti Blog ini

Satu Lagi PRK Dun Kuala Nerang ?


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Umno bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil ekoran keputusan mahkamah mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kuala Nerang Datuk Syed Sobri Syed Hashim sebagai muflis Jumaat lalu.

Sambil mengakui belum ada butiran terkini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pihaknya akan berusaha untuk mengelakkan pilihan raya kecil dengan membuat rayuan.

Syed Sobri diisytihar muflis ekoran kegagalan syarikatnya membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengisytiharan bankrap terhadap Syed Sobri kemungkinan membuka ruang kepada satu lagi pilihan raya kecil.

“Kita akan selidik dan lihat dulu perkara ini... jika perlu buat rayuan, kita akan buat,” kata Shafie.

Shafie yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata, beliau belum menerima sebarang makluman daripada Syed Sobri sehingga ke hari ini.

“Sebenarnya tidak tahu apa status perkara ini. Syed Sobri juga tidak maklumkan kepada saya mengenainya.

“Dulu saya pernah jumpa dengan beliau tapi perkara lain,” kata Shafie kepada The Malaysian Insider ketika ditemui selepas melawat bilik media Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Jelas Shafie, parti bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk diadakan pilihan raya kecil membabitkan kerusi DUN Kuala Nerang.

“Kalau perlu merayu kita akan buat tapi sekiranya perlu buat persediaan dengan keadaan berhadapan pilihan raya kecil kita akan adakan.

“Tiada masalah bagi kita, tapi saya harap tidak ada pilihan raya kecil,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Syed Sobri, yang didakwa bersama tiga defendan yang lain termasuk syarikatnnya, sebagai muflis Jumaat lalu.

Bagaimanapun di peringkat minggu lalu, mahkamah dikatakan hanya mengisytiharkan Syed Sobri sebagai muflis selaku salah seorang pengarah syarikatnya.

Maklumat sebelum ini menyebut Syed Sobri merupakan pengasas Kulim Enterprise.

Beliau dipercayai akan membuat rayuan.

Syarikatnya dipercayai gagal menjelaskan baki caruman lebih RM700,000. KWSP dikatakan membawa kes itu 2003.

Syed Sobri ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam menafikan beliau muflis sambil berkata, ia sengaja disebarkan oleh musuh politiknya.

Pada awal November 2008, beliau dikatakan hampir muflis kerana hutang bank.

Bagaimanapun menurut Syed Sobri ketika itu, beliau sudah pun menjelaskan semua hutang bank sebanyak RM150,000.

Oleh itu katanya, peguam beliau juga telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan penghakiman mahkamah yang dikeluarkan 3 November 2008, mengisytiharkan dirinya muflis.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Syed Sobri menewaskan calon PAS, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805.
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .