SINGAPURA, 6 Okt: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat semalam diterima sebagai tetamu kehormat bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.
Beliau ke negara republik itu bagi memberi penghormatan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Kuan Yew berikutan kematian isterinya, mendiang Kwa Geok Choo.
Deligasi Tuan Guru Nik Aziz yang juga Musryidul Am PAS tersebut turut disertai Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa dan dua setiausahanya yang lain.
Ketibaan rombongan di Lapangan Terbang Changi, Singapura jam 10.20 pagi semalam, disambut Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Dr Ahmad Faisal Muhamad.
Mereka kemudianya ditempatkan sementara di bilik rehat di VIP Complex sebelum dibawa menziarah mendiang Kwa di Sri Temasek, kediaman rasmi Lee di Istana di sini.
Kunjungan ke Istana kemudiannya disambut anak kepada mendiang Kwa, Lee Hsien Loong yang juga Perdana Menteri republik ini sekarang.
TG Nik Aziz dibawa menziarah mendiang Kwa sebelum diberi peluang bertemu dan berbual-bual dengan Hsien Loong yang sentiasa berada di sisi mendiang ibunya sejak lawatan dibuka kepada umum semalam.
Semalam juga adalah hari terakhir untuk rakyat negara itu memberi penghormatan sebelum jenazah mendiang dibawa ke Mandai Crematorium hari ini untuk upacara terakhir.
Kwa, 89, meninggal dunia di rumahnya pada petang Sabtu lalu.
Ketika ditemui selepas lawatan itu, TG Nik Aziz berkata beliau mengharapkan ahli keluarga sabar menerima ketentuan tersebut.
(Gambar kiri: Tuan Guru bersama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura.)
"Saya hadir untuk ucap takziah kepada keluarga Kuan Yew. Jangan bersedih sangat dan saya yakin mereka sabar terima ketentuan ini," katanya ketika ditanya beberapa wartawan tempatan dan antarabangsa.
Menurutnya lagi, penganut Islam mempercayai bahawa hidup dan mati adalah kepunyaan Allah, dan dia berkuasa ke atas hamba-Nya.
"Semasa kita hidup ini kita kena isi betul-betul untuk keredhaan Allah sebab kita mati akan jumpa Dia (Allah).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lawatan tersebut juga adalah sebagai kunjungan balas terhadap lawatan Kuan Yew ke Kota Bharu awal tahun ini.
TG Nik Aziz bagaimanapun tidak dapat bertemu dengan Lee Kuan Yew sendiri semalam ekoran masalah kesihatan bekas perdana menteri Singapura itu dengan ditambah pula dengan suasana kematian isterinya.
Kuan Yew kini sedang mendapat rawatan ekoran infeksi pada paru-parunya selepas lawatan ke Eropah, baru-baru ini.
Difahamkan, pihak hospital juga tidak membenarkan Kuan Yew menerima kunjungan tetamu buat sementara waktu.
"Lee Kuan Yew datang melawat Kelantan awal tahun ini, dan ini adalah kunjungan balas saya.
"Walaupun tidak dapat bertemu, saya harap beliau berada dalam keadaan sihat," katanya. -Hrkh