Ikuti Blog ini

Isu Patriotisme: Zahid Dah Terhantuk Bakal Terkangkang Pula


Isu patriotisme: Saya jawab usul MP DAP 13 Dis, kata Zahid

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan menjawab di Dewan Rakyat pada 13 Disember ini berhubung usul isu patriotisme yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran baru-baru ini.

Zahid (gambar) sebelum ini didakwa mempersoalkan semangat patriotisme orang India dan Cina negara ini, dan dilaporkan sebagai antara punca bukan Melayu kurang menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Penjelasan mengenai usul Ahli Parlimen Ipoh Barat akan saya jawab 13 Disember di Parlimen. DAP Perak pun dah tolak dia?” kata beliau yang juga Naib Presiden Umno dalam mesej Twitter.

Dewan Rakyat sebelum ini menetapkan minggu kedua untuk membahaskan usul berkenaan.

Zahid akan berhadapan dengan perbahasan usul dipotong gaji RM10 ekoran jawapan beliau mengenai sebab-sebab bukan Melayu kurang menyertai ATM di Dewan Rakyat dua minggu lalu.

Usul itu dikemukakan oleh Kulasegaran ekoran jawapan beliau di Dewan Rakyat 9 November lalu.

Kulasegaran ketika dihubungi berkata, beliau belum dimaklumkan tarikhnya tetapi lazimnya akan diketahui beberapa hari sebelum ditetapkan oleh Parlimen.

“Perlu menunggu giliran (tarikh usul dibawa),” kata Kulasegaran sambil menambah, “adalah sesuatu yang baik beliau sedia tampil memberikan penjelasan mengenai apa yang beliau mengatakan demikian sebelum ini.”

“Kementerian mendapati penyertaan kaum bukan Melayu terutama kaum Cina dan India masih berkurangan berkemungkinan disebabkan kekhuatiran terhadap disiplin yang ketat, ganjaran kurang berbanding swasta, tiada galakan daripada keluarga serta semangat patriotisme yang belum cukup tinggi,” kata Zahid di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun dalam satu kenyataan dikeluarkan di Jakarta yang dipetik Bernama keesokan hari, Zahid mendakwa ATM tidak ada prasangka kaum dalam pengambilan anggotanya dan oleh itu tidak timbul persoalan bukan Melayu kurang semangat patriotisme.

Zahid berkata rakyat daripada semua kaum boleh menyertai ATM dan berpeluang menyandang jawatan berpangkat tinggi.

Kata beliau, jawapannya di Dewan Rakyat mengenai faktor-faktor rendahnya penyertaan bukan Melayu dalam ATM dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik ilmiah.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata kesemua anggota Kabinet telah diarah agar tidak lagi membincangkan secara terbuka isu itu.

Kata beliau, Kabinet menyerahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pendekatan bagi menambah bilangan bukan Melayu dalam ATM.

“Kami telah mengambil pendirian, memandangkan Kabinet dan Perdana Menteri telah menasihatkan kami bahawa tiada lagi, kesemua bentuk retorik dan hujah secara terbuka.

“Buat kerja untuk membuktikan bahawa kita ini ikhlas dalam mahukan perkhidmatan tentera diwakili dengan baik (oleh semua kaum),” kata beliau. -TMI


Siapa kata tentera untuk Melayu saja?

Statistik pengambilan perajurit ATM pada 2009 menunjukkan kaum Melayu mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu sebanyak 91.55 peratus berbanding kaum Cina iaitu 0.1 peratus diikuti India sebanyak 1.01 peratus dan lain-lain kaum sebanyak 7.35.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota Kementerian Pertahanan Mejar Jeneral Datuk Abdul Aziz Ibrahim berkata, dakwaan bahawa ATM untuk kaum Melayu sahaja juga adalah tidak berasas, lapor Bernama.

"Siapa cakap ATM untuk orang Melayu sahaja. Hanya Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sahaja yang dikhususkan untuk orang Melayu, selain daripada itu ia adalah terbuka (untuk semua).

"Kita masih ada pelbagai cabang lagi. Tentera Laut (TLDM) dan udara (TUDM), ia dibuka untuk semua bangsa dan kita tidak memberi layanan istimewa untuk satu-satu bangsa itu," beliau dipetik sebagai berkata.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada perdebatan panas berhubung kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa bukan Melayu kurang patriotik kerana tidak berminat menyertai tentera.

Banyak pihak tampil mempertikaikan kenyataan itu, termasuklah oleh bekas-bekas pegawai tentera.-mk
Related Posts with Thumbnails
hak cipta terpelihara ©2011. MUSLIMEEN UNITED .